- Berita
- Pandu Uji
- [PANDU UJI] Chery Tiggo 7 Pro: Banyak Ciri Hebat Tapi Harga Marhaen, Ini 6 Kelebihannya...
[PANDU UJI] Chery Tiggo 7 Pro: Banyak Ciri Hebat Tapi Harga Marhaen, Ini 6 Kelebihannya...
Sejak model pertama Chery dilancarkan di Malaysia pada tahun 2023, pengaruh jenama ini di pasaran tempatan terus berkembang, dengan model-model Chery semakin banyak dapat dilihat meluncur megah di jalan raya.
Terbaru, syarikat ini telah melancarkan sebuah SUV segmen C, Chery Tiggo 7 Pro, kembar yang lebih kecil kepada Tiggo 8 Pro. Walaupun baru dilancarkan, CariCarz telah mendapat peluang untuk memandu uji model ini buat beberapa hari, dan pada pendapat kami, ini 6 SEBAB kenapa Chery Tiggo 7 Pro sebuah SUV yang wajib dipertimbangkan kalau anda rancang nak beli sebuah kereta baharu.
1. Reka Bentuk yang Sporty
Dari segi rekaan, Chery Tiggo 7 Pro tampil lebih sporty dalam saiz yang lebih kompak berbanding Tiggo 8 Pro. Tetapi oleh kerana saiz badannya yang lebih kecil, ia dipasangkan dengan rim aloi yang juga kecil, berukuran 18 inci dan bukannya 19 inci seperti yang terdapat pada 8 Pro. Penggunaan kaliper brek merah juga menaikkan lagi aura sporty model ini.
Sudut lain seperti gril depan bercorak berlian dan lampu belakang LED yang berkelebaran penuh, adalah antara elemen yang menjadi sentuhan eksklusif model-model Tiggo.
2. Kabin Premium yang Selesa dan Sarat dengan Teknologi
Ruang kabin Tiggo 7 Pro kelihatan mewah dengan penggunaan balutan bertekstur kulit dan gentian karbon faux. Gaya mewah diserlahkan lagi oleh veneer kayu pada konsol tengah.
Penggunaan tempat duduk semi-bucket memberikan rasa sporty, cukup empuk dan selesa, ditambah pula dengan kehadiran fungsi pelarasan automatik dan pengudaraan, keselesaannya menjadikannya sesuai untuk perjalanan jarak jauh.
Bukan sekadar sedap dipandang dan selesa, model ini juga sarat dengan kelengkapan lain yang memaksimumkan lagi pengalaman seperti skrin paparan 24.6 inci jenis melengkung, sistem pengecasan tanpa wayar, port pengecas USB dan sistem audio Sony 8 speaker.
Untuk mengawal fungsi kenderaan, beberapa butang kawalan fizikal disediakan seperti kawalan pendingin hawa, mod pemanduan dan kamera 540 darjah kenderaan, berbeza dengan kebanyakan model moden lain yang ‘membenamkan’ butang kawalan di dalam skrin infotainmen.
3. Ruang Kabin dan Kargo Luas
Walaupun bersaiz lebih kecil, Tiggo 7 Pro mempunyai ruang kabin yang cukup luas untuk keselesaan lima orang dewasa. Ruang kargo 475 liter boleh ditingkatkan hingga 1,672 liter dengan melipat tempat duduk belakang.
4. Penumpang Belakang Juga Selesa
Selain ruang yang luas, keselesaan untuk penumpang belakang 'terjamin' dengan kehadiran corong pendingin hawa. Untuk mengecas, terdapat satu port USB-A disediakan.
5. Prestasi Pemanduan & Tahap Penggunan Bahan Api yang Baik
Dikuasakan oleh enjin empat silinder turbo 1.6 liter, Tiggo 7 Pro menawarkan kuasa 194 hp dan tork 290 Nm. Ia boleh mencapai kelajuan 0-100 km/j dalam 8.3 saat dan kelajuan maksimum 205 km/j. Mod pemanduan yang dinamik menjadikan pemanduan lebih menyeronokkan.
Yang menariknya, walaupun dalam mod biasa seperti Eco dan Normal, Tiggo 7 Pro meluncur dengan begitu lancar, satu pengalaman yang cukup mengujakan bagi penulis. Dalam mod Sport bagaimanapun, terasa sedikit masalah torque jerking tetapi tidak terlalu ketara.
Dari segi kecekapan bahan api, Chery mendakwa bahawa enjin 1.6 liter TGDi pada Tiggo 7 Pro mencatatkan purata penggunaan bahan api serendah 7 liter/100 km, atau 14.2 km/liter. Dalam tempoh seminggu kami menguji kereta ini, termasuk perjalanan jauh ke Pekan, Pahang, penggunaan bahan api yang dicatatkan adalah sekitar 13.6 km/liter, yang hampir dengan angka yang dinyatakan.
Sebagai perbandingan, beberapa pesaing dengan enjin berpengecas turbo seperti Tiggo 7 Pro juga menawarkan kadar penggunaan bahan api yang serupa. Namun, memandangkan Tiggo 7 Pro memiliki prestasi yang lebih baik, pada pendapat kami SUV ini masih lagi 'juara' dalam segmennya (jika tidak dibandingkan dengan model yang menggunakan trenkuasa separa elektrik). Sebagai sebuah model bukan hibrid, tahap penggunaan bahan api Tiggo 7 Pro cukup baik.
6. Ciri Keselamatan Lengkap
Tiggo 7 Pro dilengkapi dengan 17 fungsi ADAS, termasuk kawalan jelajah adaptif (ACC), pengesan titik buta (BSD), bantuan keluar lorong (LCA), amaran keluar lorong (LDW), pengelak keluar lorong (LDP), bantuan kekal lorong kecemasan (ELK), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), brek lintasan trafik belakang (RCTB) dan banyak lagi. Kesemua fungsi ini memberikan Tiggo 7 Pro kemampuan pemanduan separa autonomi Tahap 2.5.
Sepanjang tempoh pandu uji ini, kami mendapati kesemua ciri ADAS yang ditawarkan berfungsi dengan baik terutamanya bantuan kekal lorong serta RCTA dan RCTB. Sensiviti kesemua fungsi ini boleh dikawal melalui sistem infotainmen sekiranya anda berasa tidak selesa atau tidak biasa dengan sesetengah fungsi, lebih selamat daripada terus dimatikan.
Selain itu, walaupun SUV ini mungkin agak besar untuk sesetengah individu yang sebelum ini memandu kenderaan lebih kecil, kehadiran kamera 540 darjah memudahkannya untuk dikawal dengan yakin di kawasan yang sempit atau parkir.
Ciri lain yang disediakan ialah sistem pemantau tekanan tayar (TPMS) yang tidak ditawarkan pada sesetengah model lain dalam segmen sama. SUV ini juga dilengkapi tayar ganti bersaiz penuh, memberikan ketenangan fikiran kepada pemandu.
Berapakah Nilai untuk Semua Keistimewaan Ini?
Model yang bergaya sporty di luar, menawan dan sarat dengan teknologi tinggi di dalam, ciri keselamatan yang canggih pada segenap ruang serta pengalaman pemanduan yang menyeronokkan, menjadikan Chery Tiggo 7 Pro sebuah SUV yang sempurna.
Harga untuk semua ciri premium ini hanyalah RM123,800! Bukan itu sahaja, 2,000 pelanggan terawal boleh membeli model ini pada harga serendah RM119,800 sahaja!
Pembelian ini juga termasuk pakej waranti dan servis yang komprehensif Chery Auto Malaysia yang terdiri daripada waranti standard selama 7 tahun atau 150,000 km, perkhidmatan tundaan 24 jam selama 7 tahun atau 150,000 km serta pakej servis percuma selama 5 tahun.
SPESIFIKASI CHERY TIGGO 7 PRO 2024
ENJIN | Petrol, 4 silinder turbo 1.6 liter |
TRANSMISI | Automatik DCT 7 kelajuan, FWD |
KUASA | 194 hp |
TORK | 290 Nm |
0-100 KM/J | 8.3 saat |
V-MAX | 205 KM/J |
KECEKAPAN BAHAN API | 7 litres/ 100 KM (atas kertas) |
BERAT | 1,512 KG (bersih, atas kertas) |
HARGA | RM123,800 Tidak termasuk insuras |
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv