- Berita
- EV
- MPV smart HY11 (#5) Dikesan Sedang Diuji – Bakal Dipertontonkan Di Beijing Auto Show!
MPV smart HY11 (#5) Dikesan Sedang Diuji – Bakal Dipertontonkan Di Beijing Auto Show!
MPV elektrik smart HY11 (smart #5?), yang telah dikesan semasa ujian jalan raya sebenar di China, bakal membuat kemunculan sulungnya di pameran Beijing Auto Show 2024 akan datang.
Dibangunkan dengan kerjasama Mercedes-Benz dan Geely, jenama automotif Jerman, smart Automobil, telah beralih daripada penghasilan kereta mikro kepada model elektrik. Melalui kerjasama ini, Geely menyumbangkan kepakaran dari segi kejuruteraan dan teknologi smart, manakala Mercedes-Benz pula memberi tumpuan kepada rekaan.
Buat masa ini, barisan kereta smart terdiri daripada smart #1 dan juga smart #3 yang bakal dilancarkan di Malaysia pada perterngahan tahun ini. Syarikat ini menyasarkan untuk memiliki tujuh model daripada pelbagai segmen kenderaan menjelang tahun 2027.
Dari segi rekaan, smart HY11 tampil segak, dengan overhang yang pendek serta reka bentuk lampu hadapan yang berbeza. Model ini dilihat menggunakan tiang hitam serta cermin belakang yang kecil sama seperti pada smart #1. Ciri lain ialah spoiler pada hujung bumbung belakang, rel bumbung, serta pemegang pintu jenis terbenam.
Dari segi mekanikal, buat masa ini, satu-satunya perkara yang kita tahu adalah HY11 menggunakan sistem suspensi double wishbone, berbeza dengan sistem yang digunakan pada smart #1 dan #3, iaitu sistem McPherson. Maklumat mengenai trenkuasanya masih belum didedahkan, namun kita boleh menjangkakan model ini akan ditawarkan dalam versi satu motor dan dua motor, seperti model smart yang lain.
Bergerak masuk ke bahagian dalam kabin, konsep minimal seperti model smart lain masih terserlah, kali ini dengan skrin digital yang lebar pada konsol tengah.
Ciri menarik lain ialah pad pengecas tanpa wayar, kluster instrumen LCD dengan papar pandu (HUD) serta penukar gear di sebalik stereng seperti yang digunakan pada kereta keluaran Mercedes.
HY11 mungkin dibangunkan berdasarkan platform Geely SEA, sama seperti smart #1 dan #3, membolehkannya menampuang kuasa 800V, serta hadir dengan pakej keselamatan (ADAS) khas smart, Smart Pilot Assist 3.0.
Sebaik dilancarkan di China kelak, model ini dijangka akan terjual dengan laris memandangkan permintaan terhadap MPV kecil pasaran negara tersebut cukup tinggi.
Nantikan perkembangan terkini mengenai model ini yang akan kami kongsikan dari masa ke masa. Dijangkakan, banyak pendedahan akan dibuat menjelang kemunculannya di pameran Beijing Auto Show 2024 tidak lama lagi.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv