- Berita
- Gaya Hidup
- PEKEMA Hulur Sumbangan Kepada 4 Sekolah Di Perak
Selain menumpukan hal-hal mengenai pengimportan kereta, Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) tidak melepaskan peluang untuk melakukan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
Terbaharu, PEKEMA melalui Yayasan PEKEMA menghulurkan bantuan berbentuk keperluan barangan sekolah kepada beberapa sekolah di sekitar Perak.
Setiausaha Kehormat PEKEMA, Ahmad Faresh Ahmad Zahid berkata, sumbangan itu sebenarnya untuk meringankan beban pelajar dari keluarga kurang berkemampuan.
Menurutnya, seramai 2000 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan telah menerima sumbangan barangan keperluan asas persekolahan sempena Program Kembali ke Sekolah 2024.
"Ini antara CSR tahunan di bawah teras komuniti yang dijalankan PEKEMA bertujuan meringankan beban kos sara hidup masyarakat.
"Persiapan persekolahan membabitkan kos yang agak tinggi lebih-lebih lagi bagi keluarga berpendapatan rendah dalam kategori B40 dan asnaf, justeru setiap tahun PEKEMA tampil menyediakan bantuan keperluan asas persekolahan seperti pembiayaan program sekolah, pemberian beg sekolah dan juga duit," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani MoU dan Simbolik Penyerahan beg sekolah, Dewan Transformasi Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, Perak, pagi tadi.
Antara sekolah yang menerima bantuan beg sekolah itu ialah SK Changkat Jong, SK Selabak, SK Redang Punggor dan SK Sultan Idris II, Perak.
Mengulas lanjut mengenai program CSR PEKAMA, beliau berkata, program tersebut akan melibatkan Zon Tengah, Selatan, Utara, Timur, Sabah dan Sarawak.
Selain bantuan dana pendidikan, PEKEMA turut menyalurkan bantuan bagi mereka yang terlibat dengan bencana alam dan masyarakat yang memerlukan.
Gallery



Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Biarpun syarikat Utusan Melayu, tempat saya bekerja sudah ditutup namun semangat juang sebagai wartawan tetap mekar dalam sanubari