- Berita
- Global
- Tiada Lagi Sedan Volkswagen Arteon Di Eropah
Volkswagen menghentikan pengeluaran sedan Arteon di Eropah
Syarikat yang berpangkalan di Wolfsburg, Jerman, Volkswagen, dijadualkan untuk menjadi pengeluar kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya bermula tahun 2035. Rancangan peralihan ini telah mendorong VW untuk menghentikan pengeluaran dan membatalkan beberapa model dengan enjin pembakaran dalaman (ICE), termasuk beberapa model dengan jumlah jualan yang rendah.
Model terkini yang menjadi ‘mangsa’ ialah sedan Arteon. Menjawab persoalan yang diutarakan oleh Motor1 berkenaan model tersebut, wakil daripada VW, Martin Hube mengesahkan bahawa pengeluaran untuk Arteon telah dihentikan bagi pasaran Eropah.
Sedan VW Arteon generasi terkini (kiri) dan versi wagon model ini, Arteon Shooting Brake (kanan)
Hube, yang juga bertanggungjawab terhadap model lain VW, Passat dan Touareg, turut mengesahkan bahawa versi terakhir Arteon untuk pasaran Eropah adalah keluaran tahun 2023 yang dihasilkan di kilang VW Emden di Jerman. Tetapi, keluaran versi wagon model ini, Arteon Shooting Brake, masih diteruskan di kilang VW Osnabrück.
Kedua-dua model wagon, Arteon Shooting Brake (kiri) dan Passat B9 yang baru dilancarkan (kanan) akan dijual di pasaran Eropah.
Mengulas mengenai model wagon tersebut, beliau memaklumkan bahawa Arteon Shooting Brake akan terus dihasilkan sehingga tahun 2026, namun ia tidak akan diberikan penyegaran semula dalam versi facelift.
Sedan ID.7 (kiri) kini berdiri sebagai satu-satunya model sedan VW yang ditawarkan untuk pasaran Eropah. Sementara itu, versi wagon, ID.7 Tourer (kanan) pula akan diperkenalkan tidak lama lagi.
‘Kematian’ Arteon daripada pengeluaran, bermaksud kini satu-satunya model sedan VW yang ditawarkan di pasaran Eropah ialah sedan elektrik ID.7.
Dijangkakan, VW akan menghentikan pengeluaran lebih banyak lagi model ICE lain sebagai persediaan ke arah mobiliti elektrik sepenuhnya. Salah satu model yang dijangka akan dihentikan tidak lama lagi ialah Golf Mk8.5 Facelift yang dikatakan sebagai model Golf versi ICE terakhir dihasilkan.
Masa depan sedan Arteon yang dipasang di dalam negara (CKD) masih menjadi tanda tanya…
Memandangkan sedan Arteon telah dihentikan pengeluarannya di pasaran Eroprah, nasib Arteon versi Malaysia yang dikeluarkan daripada kilang Pekan, Pahang VW Malaysia, masih tidak diketahui.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv