- Berita
- EV
- Setelah 2 Tahun Diperkenalkan, Volvo EX90 Akhirnya Masuki Fasa Pengeluaran
Setelah 2 Tahun Diperkenalkan, Volvo EX90 Akhirnya Masuki Fasa Pengeluaran
Hampir dua tahun berlalu sejak Volvo memperkenalkan SUV elektrik, Volvo EX90, buat pertama kali. Akhirnya, kenderaan elektrik (EV) tersebut telah memasuki fasa pengeluaran di kilang Volvo di Charleston, South Carolina, AS, dengan sasaran untuk mula diserahkan dan dipasarkan di negara tersebut pada separuh kedua tahun ini.
Pada mulanya, EX90 dirancang untuk memulakan pengeluaran pada awal tahun 2024, dan dijangka akan mula dipasarkan pada suku pertama, namun disebabkan oleh beberapa isu berkaitan perisian on-board, pengeluar kenderaan Sweden itu terpaksa menangguhkan pengeluarannya beberapa bulan ke hadapan.
Model yang telah membuat penampilan awam pertamanya pada November 2022, EX90 dikatakan sebagai SUV andalan atau flagship elektrik baharu bagi Volvo, berdiri seiring dengan XC90 yang disukai ramai. EV baharu ini dibangunkan berdasarkan platform SPA2 Volvo, yang ditambah baik daripada SPA1 (digunakan pada XC90 dan EX90) menggunakan bateri daripada CATL yang berkapasiti 111 kWj.
Walaupun mempunyai senibina elektrikal yang boleh menampung 400 Volt, EX90 menyokong pengecasan DCFC hingga 250 kW, membolehkan bateri besarnya mencapai daripada 10% hingga 80% dalam masa hanya 30 minit.
Untuk trenskuasanya, EX90 ditawarkan dalam versi RWD dengan satu motor dan juga AWD dengan dua motor. Varian tertinggi yang berprestasi menggunakan sistem pacuan AWD boleh mencapai output setinggi 510 hp (380 kW) dan 910 Nm. Manakala untuk jarak perjalanan EV, EX90 mencatatkan jarak maksimum dianggarkan antara 590–600 km (WLTP).
Selain prestasi yang baik, EX90 juga menampilkan semua ciri teknologi terkini Volvo, menjadikannya sebagai sebuah model yang bersedia untuk pemanduan autonomi Tahap 3 kerana kehadiran ciri-ciri seperti sensor LiDAR, radar dan ultrasonik. Selain itu, kabinnya dilengkapi dengan sistem infotainmen berukuran 14.5 inci yang menggunakan Snapdragon Cockpit Platform, terbaru daripada Qualcomm, dikuasakan oleh sistem operasi Google Built-In terbaru.
Volvo EX90 akan mula dipasarkan di Amerika Utara pada separuh kedua tahun 2024, dengan harga bermula daripada $77,990 (~RM366,124).
Di negara kita, Volvo Cars Malaysia (VCM) belum membuat sebarang pengumuman untuk memperkenalkan SUV EV ini untuk tahun 2024. Walau bagaimanapun, pengeluar automotif tersebut sebelum ini pernah memberikan petunjuk kedatangan kembar EX90 yang lebih kecil, Volvo EX30, sebelum diikuti oleh model MPV, Volvo EM90.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv