- Berita
- EV
- Pengeluaran SUV Elektrik, Nevo E07, Sebuah "Transformer" Boleh Jadi Trak Pikap, Kini Bermula
Pengeluaran SUV Elektrik, Nevo E07, Sebuah "Transformer" Boleh Jadi Trak Pikap, Kini Bermula
Pengeluaran sebuah kereta gaya badan hibrid SUV/trak pikap elektrik, Nevo E07, keluaran syarikat automotif China, Changan telah dimulakan pada 19 Julai baru-baru ini. Model yang dijadualkan akan dilancarkan pada Oktober tahun ini dijangka akan dipasarkan pada harga RMB 300,000 (~RM 194,000).
Satu Kereta Setiap 60 Saat
Kilang Digital Changan yang menjadi lokasi pengeluaran model mewah jenama ini dibangunkan dengan kerjasama bersama Huawei dan China Unicom. Barisan kimpalan kilang ini dilengkapi dengan 185 stesen kimpalan dan 471 robot, manakala barisan pemasangan mempunyai 183 stesen kerja di laluan utama, mampu menghasilkan satu kereta setiap 60 saat.
Rekaan Nevo E07
Nevo E07, dibina di atas platform SDA (Super DNA) Changan, menggunakan casis aloi aluminium sepenuhnya dan menawarkan konfigurasi dwi-moden yang unik di mana pengguna boleh membuat pertukaran daripada mod SUV kepada pikap atau sebaliknya dengan mudah.
Menurut CarNewsChina, kenderaan ini berukuran 5,045 mm panjang, 1,996 mm lebar dan 1,640/1,665/1,695 mm tinggi, dengan jarak roda 3120 mm.
Model dengan lima tempat duduk ini memiliki berat bersih 2,278 kg, jarak kelegaan tanah maksimum 227 mm dan memiliki kemampuan meredah air sedalam 600 mm.
Trenkuasa & Prestasi Nevo E07
Hibrid SUV/pikap ini akan ditawarkan dengan pilihan rim 20 inci dan 21 inci, dengan pengguna mempunyai pilihan antara versi pacuan dua roda atau pacuan semua roda.
Model pacuan dua roda dilengkapi dengan motor elektrik 252 kW (338 hp), manakala model dwi-motor pacuan empat roda mempunyai motor elektrik yang dipasang di bahagian depan dan belakang 440 kW (590 hp). Untuk tenaga, kedua-dua model dipasangkan dengan pek bateri litium ternari.
Dari segi prestasi, apa yang diketahui setakat ini adalah versi pacuan empat roda mampu bergerak lebih laju iaitu daripada 0 ke 100 km/j dalam masa hanya 4 saat, dengan kelajuan maksimum 210 km/j.
Kabin Nevo E07
Tempat duduk barisan hadapan boleh dilaraskan secara automatik untuk keselesaan maksimum. Ruang kokpit dilengkapi dengan skrin kawalan tengah bersaiz 15.4 inci, skrin hiburan yang terpasang pada siling, papar pandu (HUD) AR, sistem audio 18 speaker dan lampu ambien 256 warna.
Kabin belakang mempunyai kapasiti beban sehingga 300 kg. Apabila tempat duduk belakang dilipat dan pintu kargo ditutup, ruang ini mencapai mencapai kepanjangan 1,667 mm dan kelebaran 1,028 mm, sehingga mampu memuatkan seorang dewasa berketinggian 186.5 cm.
Tetapi sekiranya pintu kargo dibuka, ruang tersebut memanjang kepada 2,880 mm dan melebar kepada 1,550 mm.
Sistem Keselamatan Nevo E07
Nevo E07 ialah kenderaan pertama yang didatangkan dengan sistem bantuan pemanduan pintar yang dibangunkan sendiri oleh Changan, yang menggunakan 11 kamera, lima radar gelombang milimeter (millimetre-wave), 12 radar ultrasonik dan dua lidar.
Ini Pendapat CariCarz…
Nevo E07 sememangnya menawarkan keunikan tersendiri, namun, di CariCarz.com, kami masih tidak pasti sama ada akan ada permintaan yang tinggi untuk kenderaan utiliti hibrid sebegini.
Kami percaya pembeli yang mencari SUV akan cenderung kepada sebuah SUV biasa dan mereka yang mencari pikap elektrik mungkin akan lebih tertarik kepada Geely Radar atau BYD Shark. Namun, kita nantikan sahaja bagaimana penerimaannya sebaik dilancarkan nanti.
Sumber: CarNewsChina
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv