- Berita
- Global
- Wagon Elektrik, BMW i5 Touring, Buat Kemunculan Sulung di Singapura
Wagon Elektrik, BMW i5 Touring, Buat Kemunculan Sulung di Singapura
Beberapa bulan selepas kemunculan sulungnya, wagon elektrik BMW i5 Touring G61 akhirnya membuat penampilan pertamanya di rantau ASEAN di Singapura baru-baru ini. Untuk pasaran negara tersebut, i5 Touring tiba dalam varian eDrive40 sahaja, dengan spesifikasi trenkuasa yang sama seperti kembar sedan yang telah dilancarkan di Malaysia.
Trenkuasa & Prestasi
Untuk pasaran Singapura, i5 eDrive40 Touring yang dilancarkan menggunakan satu motor RWD yang sama seperti kembar sedannya, dengan kuasa sistem keseluruhan mencecah 335 hp (250 kW) dan 430 Nm, membolehkannya membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 6.1 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum yang dihadkan secara elektronik pada 193 km/j.
Kapasiti Bateri & Pengecasan
i5 eDrive40 Touring dilengkapi dengan pek bateri 81.2 kWj dengan senibina elektrikal yang mampu menampung 400 volt. Dengan cas penuh, model ini boleh mencapai jarak perjalanan EV sehingga 548 km berdasarkan standard WLTP.
Untuk pengecasan, i5 eDrive40 Touring spesifikasi Singapura boleh dicas dengan pengecas AC dan DC yang masing-masing dihadkan pada 22 kW dan 205 kW.
Rekaan & Sentuhan Sporty M Sport
Dari segi rekaan, i5 eDrive40 Touring di Singapura didatangkan standard dengan kit badan M Sport, yang membuatkannya tampil lebih sporty. Antara sentuhan M Sport yang diberikan adalah termasuk bilah mendatar pada gril kidney di bahagian depan yang dikelilingi oleh pencahayaan BMW Iconic Glow LED, lambang M Sport pada fender depan, kemasan hitam berkilat pada beberapa bahagian badan, termasuk perumah cermin sisi dan rim aerodinamik M berukuran 20 inci.
Selain ciri kosmetik, sentuhan M Sport juga turut diberikan pada sistem jentera ini seperti suspensi M Sport, yang membuatkannya berdiri lebih rendah sebanyak 8 mm berbanding model standard.
Kabin
Menjengah ke bahagian dalam kabin, i5 wagon di pasaran tersebut kelihatan tidak jauh berbeza daripada versi sedannya, namun dengan beberapa ciri yang tidak terdapat di pasaran kita.
Antara kelengkapan penting di kabin ini ialah skrin lengkung BMW yang dikuasakan oleh BMW OS 8.5, papar pandu (HUD), upholsteri kulit buatan Veganza, stereng kulit M dan sistem audio 12 speaker Harman Kardon yang boleh dinaik taraf kepada sistem lebih premium 18 speaker daripada Bowers & Wilkins.
Selain pakej BMW Live Cockpit Professional standard, sistem infotainmen i5 wagon untuk pasaran Singapura juga hadir dengan fungsi sambungan 5G terbina dalam (built-in) dan perkhidmatan AirConsole, yang membolehkan pengguna strim video dan bermain permainan video melalui skrin infotainmen.
Ruang Bagasi Praktikal
Dengan garis bumbung yang memanjang, i5 Touring tampil sebagai pilihan yang lebih praktikal berbanding sedan. Ruang bagasi standardnya mencapai kapasiti 570 liter. Masih tidak cukup? Boleh diperluaskan lagi sehingga 1,700 liter apabila tempat duduk barisan belakang dilipat.
Harga Jualan di Singapura
Termasuk bayaran sijil pemilikan (COE), BMW i5 eDrive40 Touring baharu ini dijual pada harga SGD 399,888 (~RM1.389 juta) untuk pasaran Singapura. Harga tersebut termasuk pengecas rumah BMW Wallbox 22 kW dan pakej langganan stesen pengecasan Shell Recharge sebanyak 10,000 kWj selama 3 tahun tanpa had bulanan.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv