- Berita
- EV
- Pengganti Honda NSX Adalah Sebuah Supercar Elektrik?

Honda NSX dilaporkan akan hadir sebagai sebuah supercar elektrik sepenuhnya pada tahun 2027/2028.
Dua tahun telah berlalu sejak Honda menghentikan pengeluaran model prestasi ikoniknya, NSX. Selepas pelbagai khabar angin dan spekulasi, kini dilaporkan bahawa model ikonik ini akan 'kembali' sebagai supercar elektrik, dijangka dilancarkan pada tahun 2027 atau 2028.
Pengumuman Semasa Monterey Car Week
Semasa acara Monterey Car Week hujung minggu lalu, seorang eksekutif tertinggi Honda mendedahkan bahawa syarikat sedang membangunkan model prestasi versi EV baharu. Walaupun eksekutif itu tidak menyatakan secara spesifik bahawa ia akan dinamakan sebagai NSX, model EV baharu ini bakal menampilkan beberapa aspek utama yang terdapat dalam model sportcar ikonik tersebut.


"Kami akan memperkenalkan model sport terbaru dalam tahun 2027 atau 2028," kata Naib Presiden Eksekutif Global Honda, Shinji Aoyama kepada Motor1 semasa acara Monterey Car Week.
"Kami mungkin tidak akan menamakannya sebagai NSX, tetapi ia merupakan sejenis kenderaan seperti NSX," tambah Aoyama.
Teknologi dan Reka Bentuk Baharu
Tambah Aoyama, EV berprestasi itu akan menggunakan platform elektrik baharu Honda, 0 Series, yang akan digunakan buat pertama kalinya dalam sebuah sedan elektrik yang dijangka dilancarkan pada tahun 2026. Meskipun dilengkapi dengan sistem pacuan elektrik sepenuhnya, eksekutif Honda tersebut berjanji bahawa EV sport itu kekal ringan dan kompak.
"Pendekatan pembangunan kami untuk kereta 0 Series ini adalah nipis (kecil) dan ringan," kata Aoyama kepada Motor1.
"Ini bermaksud, secara asasnya, bagaimana untuk membuat platform yang lebih nipis berbanding kenderaan sedia ada. Jadi walaupun dengan dimensi bateri [yang besar], kami cuba membuat kenderaan yang lebih nipis. Ini akan membolehkan kami merealisasikan [penghasilan] kenderaan yang lebih rendah. Ini juga bermakna kami dapat menghasilkan ruang kabin yang lebih besar,” jelasnya lagi.
NSX Elektrik: Evolusi Logik?

Acura NSX generasi pertama (kiri) & Acura NSX generasi kedua (kanan)
Walaupun sesetengah peminat mungkin tidak bersetuju dengan idea ini, NSX elektrik adalah satu evolusi yang ‘logik’ memandangkan model generasi kedua sebelumnya juga dilengkapi dengan sistem separa elektrik yang dianggap sebagai evolusi kepada enjin V6 daripada model asal. Oleh itu, sepertimana yang dilakukan ke atas model sebelum ini, perkara yang sama mungkin berlaku untuk generasi NSX yang akan datang.


Namun yang menjadi persoalan adalah adakah Honda mampu menawarkan kualiti pengendalian yang sama, sebaik model lain seperti Civic Type R ke dalam platform baharu ini, lebih-lebih lagi untuk platform elektrik?
Pelancaran dalam Tahun 2027/2028
Seperti yang dimaklumkan oleh Aoyama, kereta sport elektrik ini dijangka akan diperkenalkan dalam tahun 2027 atau 2028. Sementara itu, kita boleh menjangkakan lebih banyak maklumat mengenai projek ini akan didedahkan dari masa ke masa menjelang tarikh pelancarannya.

Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
A Bachelor of English Language and Literature graduate with an obsession for the finer details. Sofea uses her background in translation to decode the technicalities of automotive innovation. She is dedicated to delivering impactful, meticulously researched articles that provide a narrative far beyond the spec sheet. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv

