- Berita
- Berita Auto
- KTMB, ERL Laksana Tiket Integrasi, Bulan Ini Ada Diskaun

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) jalin kerjasama melaksanakan tiket integrasi bagi menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan rel sebagai pengangkutan awam.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, kolaborasi ini bertujuan menyediakan pilihan perkhidmatan pengangkutan yang lebih mudah, cepat dan fleksibel kepada para penumpang yang menggunakan aplikasi KITS KTMB.
“Selain itu, ia memberi pilihan kepada mereka untuk membuat tempahan tiket dari semua stesen KTMB ke lapangan terbang dalam satu transaksi,” katanya dalam satu kenyataan.
Bersempena dengan perasmian tiket integrasi antara kedua-dua pengendali rel ini, KTMB akan menawarkan diskaun tiket perkhidmatan KLIA Ekspres sebanyak RM5 bermula hari ini sehingga 19 September 2024 untuk menggalakkan penggunaan perkhidmatan tiket intergrasi ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd Noor berkata, hasil kerjasama itu sudah tentu akan memberi kelebihan kepada ERL dan KTMB selain meningkatkan kesedaran orang ramai berkenaan tiket integrasi.
“Sebagai permulaan kami memilih 5 stesen KTMB yang mempunyai permintaan yang tinggi iaitu Alor Setar, Sungai Petani, Butterworth, Bukit Mertajam dan Ipoh.
“Pada masa hadapan, kami berharap untuk memasukkan lebih banyak stesen KTMB dalam penjualan tiket integrasi ini seperti Pulau Sebang (Melaka), Segamat, Gemas dan Johor Bahru,” katanya.
Untuk tempoh penjualan bulan Ogos 2024, jualan tiket menerusi kerjasama ini telah terjual sebanyak 1,327 tiket berdasarkan kedua – dua platform itu.
Penjualan tiket integrasi kedua – dua perkhidmatan adalah sebanyak 958 tiket dan baki 369 tiket adalah perjalanan menggunakan satu perkhidmatan sahaja.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/

