- Berita
- Tips
- MIROS: 7 Tips Cara Selamat Untuk Memandu Ketika Hujan
Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menggesa semua pengguna jalan raya memandu secara berhemah terutama ketika musim hujan yang melanda di beberapa negeri sejak kebelakangan ini.
Amaran langkah berjaga-jaga itu dikeluarkan memandangkan berdasarkan kajian, risiko kemalangan meningkat 14% ketika hujan.
Ini kerana faktor seperti permukaan jalan raya yang licin, penglihatan menjadi terhad dan air bertakung menyebabkan kenderaan hilang kawalan.
Malah, hujan juga menyebabkan penurunan keupayaan pemandu dalam menilai jarak penglihatan menyebabkan mereka tidak dapat menilai jarak brek dan jarak berhenti.
Bukan itu sahaja, hujan juga sebenarnya menjejaskan penglihatan sisi melalui cermin sisi kenderaan ketika pemandu memotong kenderaan lain.
Cahaya lampu daripada kenderaan lain juga menjejaskan penglihatan disebabkan permukaan cermin yang basah dan pantulan cahaya pada jalan licin sebenarnya boleh mengelirukan pemandu mengenai jarak sebenar kenderaan di sekeliling mereka.
Sementara itu, Ketua Pengarah MIROS, Dr, Siti Zaharah Ishak berkata, pengguna jalan raya perlu tahu bahawa memandu dalam keadaan hujan sebenarnya menuntut perhatian lebih tinggi.
“Untuk itu, MIROS menyeru kepada semua pengguna jalan supaya mengurangkan kelajuan kenderaan, memastikan jarak selamat antara kenderaan lain dan sentiasa menggunakan lampu dengan cara yang betul ketika hujan.
“Langkah ini kelihatan mudah namun ia boleh menjadi penentu keselamatan nyawa di jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sehubungan itu, MIROS berkongsi 7 tips mengenai keselamatan pemanduan semasa hujan:
1. Pastikan kenderaan kereta berada dalam keadaan baik.
2. Kurangkan kelajuan memandangkan ketika permukaan licin, ia memerlukan masa untuk membrek.
3. Elak guna lorong kecemasan kecuali kes kecemasan sebenar. Ini kerana kenderaan yang berhenti di lorong kecemasan semasa hujan mempunyai risiko tinggi untuk dirempuh kenderaan lain.
4. Pastikan buka lampu kenderaan ketika hujan tetapi jangan guna lampu tinggi.
5. Bagi penunggang motosikal, pastikan anda guna pakaian kalis air dan menggunakan jaket yang mempunyai pantulan Cahaya.
6. Jangan guna telefon bimbit atau aktiviti lain yang boleh mengalihkan perhatian semasa memandu.
7. Jangan sesekali meredah air banjir kerana tindakan itu bukan sahaja mengancam nyawa malah bah besar sebenarnya boleh menghanyutkan kenderaan anda.
Ingat, pandulah dengan berhati-hati sehingga sampai ke destinasi. Biar lambat, asalkan selamat!
Gallery





Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Biarpun syarikat Utusan Melayu, tempat saya bekerja sudah ditutup namun semangat juang sebagai wartawan tetap mekar dalam sanubari