- Berita
- EV
- Pengedar Proton e.MAS Dibawa Lihat Geome Xingyuan di China – Mungkinkah Ini e.MAS 5?
Pengedar Proton e.MAS Dibawa Lihat Geome Xingyuan di China – Mungkinkah Ini e.MAS 5?
Baru-baru ini, jenama kenderaan elektrik (EV) nasional, Proton e.MAS, menganjurkan satu kunjungan rasmi ke China bersama beberapa pengedarnya. Sepanjang lawatan itu, pengedar diberi peluang untuk mengunjungi fasiliti pengeluaran Geely dan melihat beberapa model kenderaan jenama di bawah naungan Geely.
Menariknya, salah satu model yang diperlihatkan kepada para pengedar ialah Geome Xingyuan, sebuah hatchback elektrik yang baru dilancarkan di China pada awal tahun ini. Dalam sebuah video pendek yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Proton e.MAS, model Xingyuan dilihat seperti diberikan perhatian ‘eksklusif’ daripada para pengedar Proton e.MAS. Mungkinkah model ini bakal diperkenalkan di bawah Proton e.MAS kelak?
Spesifikasi Ringkas Geome Xingyuan
Geome Xingyuan diposisikan sebagai salah satu produk EV peringkat permulaan (entry-level) bagi jenama tersebut. Dengan ukuran panjang 4,135 mm, lebar 1,805 mm, tinggi 1,570 mm, serta jarak roda 2,650 mm, saiz Xingyuan hampir sama dengan model BYD Dolphin yang kini dipasarkan di Malaysia.
Untuk pasaran China, Geome Xingyuan hadir dengan dua varian kuasa. Varian asasnya menggunakan enjin berkuasa 78 hp (58 kW) dengan kelajuan maksimum 125 km/j, manakala varian tertinggi pula diberikan motor yang lebih berkuasa, iaitu 114 hp (85 kW) dengan kelajuan maksimum 135 km/j.
Dari segi bateri, varian asas Xingyuan dibekalkan dengan pek bateri LFP yang dibangunkan CATL berkapasiti 30.12 kWj yang mampu memberikan jarak pemanduan hingga 310 km berdasarkan standard CLTC. Sementara itu, varian tertinggi menggunakan bateri LFP 40.16 kWj, juga dari CATL, yang menawarkan jarak pemanduan lebih baik, iaitu sekitar 410 km.
Kemungkinan Proton e.MAS Membawa Geome Xingyuan ke Malaysia
Tumpuan khusus yang diberikan terhadap Geome Xingyuan semasa lawatan ke kilang Geely di Hangzhou Bay memberi petunjuk bahawa Proton mungkin mempunyai rancangan untuk memperkenalkan hatchback EV kompak ini ke pasaran tempatan. Ini bukanlah sesuatu yang asing dalam industri automotif, di mana pengeluar kenderaan sering kali dibawa untuk meninjau model tertentu sebelum dilancarkan.
Buat masa ini, Proton hanya mengesahkan satu model di bawah sub-jenama EV e.MAS mereka, iaitu Proton e.MAS 7. Sekiranya Proton e.MAS memutuskan untuk membawa masuk model Xingyuan ini, ada kemungkinan ia akan mengikut corak penjenamaan yang sama seperti model sebelumnya, mungkin Proton e.MAS 5?
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv