- Berita
- EV
- Porsche Sentuhan 'Asia' Taycan Turbo S Celestial Jade Memukau Pandangan
Porsche tidak mengambil masa lama untuk memperkenalkan versi istimewa bagi model EV Taycan yang baru sahaja dikemaskini, khas bagi rantau ASEAN iaitu Porsche Taycan Turbo S Celestial Jade.
Edisi ini diilhamkan daripada batu permata jade, dan merupakan model one-off kedua Taycan, selepas Porsche Taycan Turbo K-Edition yang diperkenalkan khusus untuk pasaran Korea.
Sentuhan Istimewa yang Memukau
Model edisi khas ini tampil menyerlah dengan warna hijau unik yang diambil daripada batu jed yang terkenal di Asia. Keistimewaan cat ini terletak pada kemasan yang menggabungkan dua rona berbeza iaitu Urban Bamboo dan Shifting Carbon. Teknologi cat istimewa Chromaflair yang digunakan menghasilkan kesan warna berubah (colour-shifting) melalui penggunaan lapisan serpihan aluminium setebal 1µm, yang memerlukan masa selama 80 jam untuk disempurnakan secara manual.
Selain daripada warna badan yang diinspirasikan daripada batu jed, Taycan Celestial Jade turut menampilkan beberapa elemen reka bentuk bertema Asia. Antaranya ialah logo khas yang diilhamkan daripada makhluk mitos China, 'Longma', yang digambarkan sebagai kepala naga ('long') dan badan kuda ('ma'). Lencana ini bukan sahaja terdapat pada plak tiang B, tetapi juga pada perehat kepala tempat duduk, ambang pintu karbon, lampu puddle dan banyak lagi.
Bahagian dalamnya, Taycan Celestial Jade menawarkan tempat duduk yang dibalut kulit dua tona, iaitu Englishgreen dan Slate Grey. Di samping itu, model ini menggunakan rim aloi Taycan Exclusive Design bersaiz 21 inci dalam kemasan gentian karbon berkilat.
Prestasi Pemanduan
Dihasilkan berdasarkan varian Taycan Turbo S, Taycan Celestial Jade dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda (AWD) dwi-motor yang menghasilkan 775 ps (570 kW) dan 1,100 Nm tork. Sekiranya mod Boost diaktifkan, kuasa puncak boleh meningkat kepada 952 ps (700 kW), membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 2.4 saat, dengan kelajuan maksimum dihadkan kepada 260 km/j.
Bateri 105 kWj yang ditingkatkan kini menawarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 630 km mengikut penilaian WLTP. Ciri pengecasan turut dinaik taraf dengan sokongan pengecasan pantas DC (DCFC) sehingga 320 kW, yang membolehkan ia dicas daripada 10% kepada 80% dalam masa hanya 18 minit.
Jelajah ASEAN
Taycan Turbo S Celestial Jade ini pertama kali dipertontonkan kepada umum di Singapura awal minggu ini. Peminat Porsche di Malaysia dan Thailand juga berpeluang untuk menyaksikan model one-off ASEAN ini dengan lebih dekat, kerana ia bakal dibawa ke kedua-dua negara ini sebelum dilelong tahun depan.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv