- Berita
- EV
- BYD Bakal Lancar Jenama EV Mewah Terbaru, Denza Suku Pertama 2025
BYD Bakal Lancar Jenama EV Mewah Terbaru, Denza Suku Pertama 2025
Denza D9
Pengeluar automotif dari China, BYD, dijangka melancarkan jenama kenderaan elektrik (EV) mewah terbaru, Denza, di pasaran Malaysia pada suku pertama tahun 2025. Perkara ini diumumkan oleh Pengarah Urusan BYD Malaysia, Eagle Zhao, semasa pelancaran BYD Seal Dynamic.
Denza merupakan hasil kerjasama antara BYD dan Mercedes-Benz. Jenama ini diwujudkan khas untuk pembangunan EV premium yang menawarkan teknologi terkini dan pelbagai ciri mewah.
Jangkaan Model Pertama: MPV Denza D9
Denza D9 dikesan di Malaysia Julai lalu (Foto: Akmal Azmi via Facebook Paultan)
Pihak BYD bagaimanapun tidak mendedahkan secara spesifik apakah model yang bakal dilancarkan kelak, namun Paultan melaporkan bahawa MPV elektrik, Denza D9 telah dikesan di Malaysia dalam pelekat samaran pada Julai lalu.
Model ini dilaporkan telah dilancarkan buat pertama kali di China pada tahun 2022, sebelum versi pemanduan sebelah kanan (RHD) dilancarkan pada Jun tahun lalu di Hong Kong. Dua pilihan trenkuasa ditawarkan iaitu kenderaan elektrik (BEV) dan hibrid plug-in (PHEV).
Trenkuasa & Prestasi Denza D9 Versi Elektrik
Versi elektrik ditawarkan dalam tiga varian iaitu 620 Premium, 600 4WD Premium dan 600 4WD Flagship pada harga antara CNY 379,800 dan CNY 469,800 (~RM234,000 hingga ~RM300,000).
Versi BEV ini dikuasakan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 103 kWj, yang menyokong pengecasan pantas DC sehingga 166 kW.
Varian asas, 620 Premium, diberikan motor elektrik tunggal yang dipasang pada gandar hadapan menghasilkan 308 hp dan 360 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 9.5 saat dengan jarak perjalanan sehingga 620 km mengikut piawaian CLTC.
Bagi dua varian pacuan empat roda yang lebih tinggi, diberikan satu lagi motor elektrik yang dipasang pada gandar belakang dengan output 60 hp dan 110 Nm meningkatkan output gabungan kepada 369 hp dan 470 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat. Namun, jarak perjalanan berkurang kepada 600 km.
Trenkuasa & Prestasi Denza D9 Versi Hibrid Plug-in
Untuk versi PHEV pula, lima varian ditawarkan iaitu 970 Deluxe, 1050 Premium, 980 4WD Premium, 980 4WD Premium Edition, 980 4WD Flagship dengan harga pasaran bermula daripada CNY 339,800 hingga CNY 449,800 (~RM218,000 hingga ~RM288,000).
Versi PHEV ini dikuasakan oleh enjin petrol 1.5 liter turbo dengan output 137 hp/231 Nm yang digabungkan dengan motor elektrik 228 hp/340 Nm. Varian PHEV pacuan roda hadapan menghasilkan gabungan kuasa sebanyak 365 hp, manakala varian 4WD diberikan motor elektrik tambahan dengan kuasa 60 hp/110 Nm pada gandar belakang untuk output keseluruhan yang lebih tinggi.
Varian terendah menggunakan bateri 20 kWj yang boleh dicas dengan pengecas DC sehingga 45 kW. Bila dicas penuh, jarak EV yang boleh dicapai ialah sehingga 103 km, manakala jarak hubrid pula sehungga 970 km (CLTC). Varian lain pula dipasangkan dengan bateri 40 kWj dengan input DC sehingga 80 kW. Dengan cas penuh jarak EV yang mampu dicapai bermula daripada 200 hingga 190 km, manakala jarak hibrid pula dari 980 hingga 1,050 km.
Persaingan di Pasaran Malaysia
Kehadiran Denza D9 dijangka akan memberikan persiangan kepada beberapa pemain utama dalam segmen MPV mewah di Malaysia seperti Toyota Alphard dan Vellfire.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv