- Berita
- Global
- Ini Dia Info Chery Tiggo 4 HEV CSH, Enjin 1.5 Liter, Boleh Gerak Lebih 1,000 KM?
Ini Dia Info Chery Tiggo 4 HEV CSH, Enjin 1.5 Liter, Boleh Gerak Lebih 1,000 KM?
Pengeluar kereta terbesar di China, Chery mengumumkan ketibaan model terbaharu hybrid yang dikenali sebagai Chery Super Hybrid (CSH) dimana ia akan turut ditampilkan di Malaysia, tidak lama lagi.
Selain Tiggo 8 PHEV yang ditayangkan pada Auto Shanghai 2025, nampaknya satu lagi model CSH, Chery Tiggo 4 HEV, juga akan didedahkan di Malaysia dalam tempoh terdekat ini.
Model ini sebenarnya sudah pun ditunjukkan kepada kami sempena Chery International Business Summit 2025 (CIBS 2025) pada minggu lalu.
Sebenarnya, Tiggo 4 HEV pada asalnya adalah versi hibrid siri-paralel (HEV) bagi SUV sub kompak Tiggo 4, yang juga dikenali sebagai Chery Tiggo Cross di pasaran seperti Indonesia dan Thailand.
Melihat penampilan luarannya, Tiggo 4 HEV kelihatan agak serupa dengan Tiggo 4 Pro versi facelift yang dijual di Indonesia dan Thailand.
Ia mengekalkan banyak ciri yang sama dengan Tiggo 7 dan Tiggo 8, terutama dari segi gril hadapan berbentuk heksagon dengan corak berbentuk berlian, lampu hadapan LED yang tajam dengan lampu nyalaan siang hari jenis menegak, serta lampu belakang LED.
Selain itu, tertera logo ‘Hybrid’ di bahagian belakang yang sebenarnya membezakan model HEV ini daripada varian enjin pembakaran dalaman.
Dari segi dimensi, Tiggo 4 HEV berukuran panjang 4,318 mm, lebar 1,831 mm, tinggi 1,665 mm dan mempunyai jarak roda 2,610 mm, yang meletakkannya ia sama dengan SUV crossover subkompak lain seperti Honda WR-V, Perodua Ativa, dan Mazda CX-3.
Selain persamaan di bahagian luaran, kabinnya juga agak sama dimana kenderaan hibrid crossover ini mengekalkan susunan dwi-skrin di bahagian hadapan yang sama seperti kembar petrolnya.
HEV ini mempunyai konsol tengah yang telah direka semula, ada tombol penukar gear yang lebih minimalis dan panel kawalan suhu digital yang baharu, dan pengecas tanpa wayar telah diposisikan semula.
Perbezaan paling ketara antara Tiggo 4 HEV dan versi petrol adalah versi HEV ini menggantikan enjin 1.5-liter 4-silinder turbo petrol dengan sistem janaan kuasa HEV khas.
Sistem ini terdiri daripada enjin petrol 1.5-liter 4-silinder yang menghasilkan 97 hp dan tork 118 Nm, manakala transmisi hibrid khas 3-kelajuan (DHT) pula dilengkapi dengan motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa setakat 201 hp dan tork 310 Nm.
Tiggo 4 HEV menawarkan kadar penggunaan bahan api yang agak mengagumkan iaitu 5.4 liter bagi setiap 100 km manakala Chery mendakwa secara keseluruhannya, model ini sebenarnya mampu melakukan perjalanan sehingga 1,000 km..
Di sebalik itu, timbul pula berita mengenai rancangan Chery Malaysia untuk memperkenalkan Tiggo 4 (atau Tiggo Cross) ke pasaran tempatan.
Ini kerana, Chery sebelum ini ada mengumumkan bahawa SUV itu akan dilancarkan sekitar suku keempat tahun lalu sebelum ditangguhkan tanpa mendedahkan tarikh baharu.
Dengan versi hibridnya sudah pun dipertontonkan, ada kemungkinan Chery Malaysia akan melancarkan Tiggo 4 HEV bersama versi enjin pembakaran dalaman sekali gus, menjadikannya satu-satunya model berkuasa hibrid dalam kalangan pesaingnya.
Jadi, apa pendapat anda tentang Chery Tiggo 4 HEV? Adakah anda lebih suka Chery Malaysia membawa masuk SUV subkompak berkuasa hibrid ini berbanding versi turbo dengan enjin pembakaran biasa?
Gallery














Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Biarpun syarikat Utusan Melayu, tempat saya bekerja sudah ditutup namun semangat juang sebagai wartawan tetap mekar dalam sanubari