- Berita
- Global
- Porsche 911 Club Coupe Edisi Terhad 70 Unit, Sambut 70 Tahun Porsche Club of America
Porsche 911 Club Coupe Edisi Terhad 70 Unit, Sambut 70 Tahun Porsche Club of America

Porsche meraikan ulang tahun ke-70 kelab pemilik kereta terbesar dunia, Porsche Club of America (PCA), dengan memperkenalkan model istimewa, Porsche 911 Club Coupe. Model eksklusif ini terhad kepada hanya 70 unit, khas untuk ahli PCA di Amerika Syarikat dan Kanada sahaja.
Ciri Mekanikal Porsche 911 Club Coupe

Dibangunkan berasaskan model Carrera T 992.2, 911 Club Coupe merupakan model khas ketiga yang dicipta untuk PCA selepas edisi Carrera S 997 (2005) dan GTS 991 (2015). Walaupun mendapat nama khas, tiada peningkatan mekanikal berbanding Carrera T standard kerana model tersebut sudah dilengkapi dengan pelbagai ciri prestasi yang terbaik.
Baca: Porsche 911 Carrera S 2025 Kini Lebih Berkuasa – 473 HP, Tiada Versi Manual


Di bawah hud, terletak enjin 3.0 liter turbo kembar enam silinder sebaris yang menghasilkan 388 hp dan tork 449 Nm. Enjin ini dipadankan dengan sistem transmisi manual enam kelajuan dan pacuan roda belakang (RWD), memberikan pengalaman pemanduan yang mengujakan kepada peminat jentera manual.
Model ini turut dilengkapi sistem suspensi sport Porsche Active Suspension Management (PASM) yang menurunkan ketinggian kereta sebanyak 10 mm berbanding Carrera standard. Selain itu, ia memiliki limited-slip differential mekanikal dengan Porsche Torque Vectoring, stereng gandar belakang, sistem ekzos sport, pakej Sport Chrono dan brek yang dipertingkatkan.
Rekaan Eksklusif Porsche 911 Club Coupe


Dari segi reka bentuk, 911 Club Coupe mengekalkan rupa Carrera T dengan sentuhan khas daripada Porsche Exclusive Manufaktur. Kesemua 70 unit didatangkan dengan warna eksklusif Sholar Blue Metallic (biru), dinamakan sempena pengasas PCA, Bill Sholar.




Elemen khas lain termasuk aksen merah pada bampar depan dan penutup enjin, logo “70 year PCA”, tulisan Club Coupe berwarna perak pada pintu, serta rim aloi dua tona bersaiz 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang.
Kabin Dengan Sentuhan Istimewa




Di dalam kabin, pemilik akan disambut dengan ambang pintu bercahaya yang bertulis Porsche Club of America. Logo ulang tahun ke-70 PCA turut terdapat pada lampu lantai dan konsol tengah, manakala papan pemuka menampilkan logo Club Coupe. Model ini menggunakan stereng GT Sport dan tombol gear walnut yang diambil daripada Carrera T versi standard.




Upholsteri kulit hitam dengan jahitan berwarna Speed Blue (biru) dan Guards Red (merah) menjadi tema kabin, dengan pilihan tambahan fabrik tartan retro untuk tempat duduk. Pemilik juga menerima manual khas dan kunci kereta edisi terhad dalam warna Sholar Blue (biru).

Menambahkan lagi aura eksklusif model istimewa ini, Porsche turut memperkenalkan jam tangan edisi terhad oleh Porsche Design yang direka sepadan dengan spesifikasi edisi kali ini.
Pengeluaran Porsche 911 Club Coupe

Pengeluaran 911 Club Coupe edisi terhad ini akan bermula pada musim luruh tahun ini, dengan penghantaran dijangka dimulakan pada musim bunga 2026. Bagi yang tidak berpeluang memiliki salah satu daripada 70 unit ini, sebuah model akan dipamerkan di Muzium Porsche sebagai penghormatan kepada kelab pemilik yang bersejarah ini.
Baca: Porsche 911 Carrera & Carrera 4 GTS Hybrid Rasmi Di Malaysia – Dari RM1.43 Juta

Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv

