- Berita
- Kereta Baru
- Suzuki Swift Sport ‘Final Edition’ Dilancar, Harga Cuma RM137,900
Suzuki Swift Sport ‘Final Edition’ Dilancar, Harga Cuma RM137,900
Pengimport dan pengedar kereta Suzuki tempatan, Naza Eastern Motors (Suzuki Cars Malaysia) melancarkan versi khas run-out bagi model Swift Sport generasi ketiga (kod casis: ZC33S) untuk pasaran tempatan.
Untuk makluman, versi yang dinamakan sebagai ‘Final Edition’ sebenarnya tidak sama dengan ‘ZC33S Final Edition’ yang dilancarkan oleh Suzuki di pasaran Jepun pada tahun lalu.
Bagaimanapun, pengumuman mengenai ‘Final Edition’ ini sebenarnya amat bermakna buat para peminat untuk mendapatkan hot hatch ikonik keluaran pengeluar dari Hamamatsu ini secara rasmi melainkan anda memilih untuk membeli melalui laluan import semula atau import selari (grey import).
Menjengah luarannya, Naza Eastern Motors menampilkan rekaan istimewa dengan garisan pelekat berwarna emas pada bonet, pintu, dan bampar hadapan.
Selain itu, terdapat juga lencana tulisan ‘Sport’ yang disepadukan pada pelekat pintu. Kesemua ini dilengkapkan dengan warna luaran eksklusif Pearl Super Black, selain dipadankan dengan rim. 16 inci yang hadir secara standard.
Terdapat penambahbaikan pada edisi ini iaitu ia hadir dengan kemasan ekzos bertekstur karbon, visor pintu seperti yang terdapat pada edisi khas ‘Silver Edition’, serta lencana khas ‘Malaysia Final Edition 68 Swift Sport’ pada pintu hadapan dan penutup but belakang.
Sebenarnyam angka ‘68’ merujuk kepada ulang tahun kemerdekaan negara kita yang ke-68 tahun ini. Pelancaran ini juga bertepatan dengan karnival jualan Merdeka kumpulan Naza.
Melihat kabinnya, ia hadir dengan panel trim gentian karbon tempa baharu, skrin sesentuh Soundstream 10 inci yang menggantikan unit asal 7 inci. Malah, sistem audio enam pembesar suara masih dikekalkan.
Selain perubahan kosmetik ini, tiada sebarang perubahan mekanikal dilakukan. Pendek kata, model khas ini masih mengekalkan enjin petrol turbo K14C 1.4L 4-silinder yang menghasilkan 140 HP dan 230 Nm, dipacu ke roda hadapan (FWD) melalui kotak gear automatik 6-kelajuan.
Tiada pilihan transmisi manual ditawarkan untuk edisi khas ini, tetapi kotak gear automatik tersebut hadir dengan paddle-shifters bagi kawalan tambahan. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 KM/J hanya dalam8 saat dengan kelajuan maksimum 205 KM/J.
Difahamkan, terdapat beberapa ciri dikekalkan daripada model Swift Sport standard termasuk lampu hadapan projektor LED, lampu kabus halogen, sistem kemasukan tanpa kunci dan butang mula, paparan kluster multi-info, serta kawalan pendingin hawa automatik.
Dari aspek keselamatan, Suzuki Swift Sport Final Edition tempatan ini masih menawarkan enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek kecemasan, kawalan kestabilan elektronik (ESP), serta bantuan mula mendaki (hill-hold assist).
Dari segi harga, model CBU (Completely Built-Up) yang diimport sepenuhnya ini dijual pada harga RM137,900 tanpa insurans. Harga ini menjadikannya RM7,900 lebih mahal berbanding model CBU Swift Sport biasa, tetapi RM4,000 lebih murah berbanding edisi khas Silver Edition.
Harga tersebut turut merangkumi waranti kilang 3 tahun atau 100,000 KM yang ditawarkan oleh Naza Eastern Motors.
Memandangkan ini adalah edisi run-out, pihak pengedar tidak menyatakan jumlah unit yang akan ditawarkan.
Namun begitu, dijangka stok adalah terhad, jadi mereka yang berminat dinasihatkan untuk segera membuat tempahan di bilik pameran rasmi syarikat tersebut.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/