- Berita
- Kereta Baru
- SUV Elektrik smart #5 Dipertontonkan – 3 Varian, Lancar Oktober Nanti
SUV Elektrik smart #5 Dipertontonkan – 3 Varian, Lancar Oktober Nanti
Setelah diperkenalkan buat pertama kali di Malaysia Autoshow 2025 (MAS 2025), smart Malaysia (PRO-NET) akhirnya memperlihatkan versi pemanduan sebelah kanan (RHD) untuk SUV elektrik flagshipnya, smart #5. Dijadualkan dilancarkan secara rasmi pada Oktober ini, model #5 bakal ditawarkan dalam tiga varian iaitu varian Pro, Premium dan Brabus. Versi yang dapat CariCarz dekati baru-baru ini ialah Premium dan Brabus, dan ini segalanya yang perlu anda tahu...
Tiada Varian Summit Edition di Malaysia
Model Summit Edition yang diperlihatkan semasa MAS 2025 tidak akan memasuki pasaran Malaysia. Buat masa ini, versi yang diinspirasikan daripada model lasak pacuan 4x4 ini hanya ditawarkan di pasaran antarabangsa lain seperti Hong Kong dan Eropah.
Ciri Mekanikal smart #5
Varian asas, Pro, menggunakan motor tunggal pacuan roda belakang (RWD) dengan kuasa 335 hp dan tork 373 Nm, mampu memecut 0-100 km/j dalam 6.9 saat dengan pilihan mod pemanduan Eco, Normal dan Sport. Ia menggunakan bateri NCM 76 kWj dengan jarak pemanduan WLTP sehingga 465 km. Ia menyokong pengecasan AC 11 kW dan DC 150 kW.
Varian Premium menggunakan motor RWD lebih berkuasa 358 hp, tork 373 Nm dengan pecutan 6.5 saat dan dipasangkan dengan bateri NMC berkapasiti lebih tinggi, 100 kWj, yang membolehkan jarak WLTP maksimum 590 km. Ia menyokong pengecasan AC 22 kW dan DC 400 kW yang dapat mengecas dari 10% hingga 80% dalam 20 minit.
Varian paling berkuasa, Brabus pula hadir dengan sistem dua motor pacuan semua roda (AWD) menghasilkan 637 hp dan 710 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 3.8 saat, berkelajuan maksimum 200 km/j. Jarak WLTP yang dijanjikan daripada bateri NMC 100 kWj (sama seperti Premium) ialah 540 km. Varian ini dilengkapi suspensi sporty dan mod pemanduan khas seperti Snow, Sand, Mud, Rock, Adaptive dan Brabus.
Baca: smart #5 Brabus EV Paling Berkuasa Jenama Setakat Ini Diperkenalkan
Rekaan Menyerlah smart #5
smart #5 direka dengan aura yang lebih gah sebagai model terpanjang dan terbesar keluaran smart setakat ini. Panjangnya ialah 4,705 mm, lebar 1,920 mm dan tinggi 1,705 mm dengan jarak roda 2,900 mm. Saiz ini bagaimanapun sedikit kecil jika dibandingkan dengan EV SUV premium lain dalam segmen yang sama seperti Xpeng G6, BYD Sealion 7 dan Zeekr 7X.
Dari segi rekaan, varian Premium tampil dengan lampu depan LED Cyberlight Matrix yang unik bersama lampu nyalaan siang (DRL) LED yang berkelebaran penuh pada sudut depan, konsep rekaan sama turut digunakan untuk lampu belakang.
Ciri lain ialah pemegang pintu jenis pop-out, logo smart yang bercahaya pada tiang D dan rim aloi 20 inci direka tertutup untuk aerodinamik. Empat pilihan warna badan dua tona ditawarkan iaitu Meta Black, Cyber Silver, Pulsar Ruby dan Saturn Beige, kesemuanya didatangkan dengan bumbung berwarna Eclipse Black.
Varian Brabus pula menerima sentuhan sporty pada pelbagai sudut dengan kit badan Brabus yang merangkumi lip depan, skirt sisi, bampar agresif depan dan belakang serta spoiler bumbung. Rim aloi Brabus Monoblock berukuran 21 inci diberikan kemasan berwarna hitam. Varian tertinggi in ditawarkan dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Atom Matte Grey, Meta Black dan Digital White.
Kabin Mewah & Canggih smart #5
Sama seperti versi yang ditawarkan di pasaran antarabangsa lain, smart #5 Malaysia hadir dengan sistem paparan tiga skrin, termasuk dua skrin infotainmen AMOLED 13 inci yang disokong oleh teknologi cip AMD V2000 dan kluster meter digital 10.3 inci serta papar pandu realiti terimbuh (AR-HUD) 25.6 inci di sebalik stereng.
Untuk hiburan, kabinnya dilengkapi sistem audio mewah 20 speaker 2,000 watt daripada Sennheiser Signature Sound, lengkap dengan audio keliling Dolby Atmos, menjadikannya sebagai kereta pertama di dunia yang menggunakan teknologi audio terkenal Jerman ini.
Walaupun lebih rendah berbanding varian Brabus, ruang kabin smart #5 Premium kelihatan lebih mewah dengan penggunaan bahan premium iaitu balutan kulit dan venier daripada kayu sebenar dalam segenap ruang. Walaupun model yang dipertontonkan menggunakan warna tema coklat, kami dimaklumkan bahawa pasaran Malaysia bakal menerima kabin bertemakan warna hitam.
Ciri menarik lain adalah termasuk tempat duduk depan dengan fungsi pengudaraan, tempat duduk belakang dengan fungsi pemanasan, dua pad pengecas tanpa wayar, sistem pencahayaan ambien 256 warna, bumbung kaca panorama penuh, port USB-C di pelbagai sudut dan banyak lagi.
Varian Brabus turut dilengkapi dengan semua kemudahan teknologi yang terdapat pada varian Premium, namun diberikan sentuhan sporty seperti stereng suede, tempat duduk hadapan berjahit logo Brabus dengan balutan upholsteri Dinamica berwarna hitam dan jahitan merah, tali pinggang keledar merah, serta kemasan gentian karbon menggantikan venier kayu.
smart #5 juga praktikal dengan ruang but seluas 630 liter boleh diperluaskan kepada 1,530 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Terdapat ruang frunk sehingga 72 liter, namun varian Brabus yang memiliki dua motor mengurangkan ruang frunk kepada 47 liter.
Sistem Keselamatan Pintar
Varian Premium dan Brabus diberikan pakej keselamatan aktif yang komprehensif lengkap dengan fungsi ADAS seperti Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC), Pengesanan Titik Buta (BSD), Bantuan Penukaran Lorong (LCA), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Keluar Lorong (LDW), Amaran Lintasan Trafik Hadapan dan Belakang (FCTA & RCTA), Bantuan Parkir Automatik Penuh (FAPA) dan banyak lagi.
Dengan semua ciri canggih, elemen premium dan prestasi mantap yang didatangkan pada model ini, smart #5 bakal memberikan persaingan hebat dalam segmen SUV elektrik premium Malaysia tahun ini.
Baca: EV smart #5 Bakal Guna Sistem Audio 20 Speaker Sennheiser
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv