- Berita
- Berita Auto
- MOT Mahu Lapangan Terbang Tawau Dinaik Taraf Dalam 36 Bulan
Kementerian Pengangkutan mahu projek menaik taraf Lapangan Terbang Tawau yang bernilai RM120.9 juta disiapkan dalam tempoh 36 bulan seperti ditetapkan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata projek itu, yang dijangka siap pada 2028, akan memberi limpahan manfaat kepada rakyat khususnya dalam sektor pelancongan dan perdagangan melalui fasiliti moden dan selesa.
"Penting (untuk) kontraktor siapkan (projek) tepat masa... saya akan pantau projek ini dan setiap minggu saya akan minta laporan kemajuan semasa mesyuarat pasca Kabinet," katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek cadangan menaik taraf Lapangan Terbang Tawau hari ini.
Beliau berkata pihaknya akan turut memastikan projek itu berjalan lancar tanpa mengganggu operasi lapangan terbang, dan kontraktor perlu merancang pembinaan mengikut fasa, jadual serta kesesuaian atau integrasi dengan operasi lapangan terbang.
Projek berkenaan dikendali oleh syarikat pembinaan tempatan Sabah, membabitkan peningkatan kapasiti terminal penumpang daripada 1.5 juta kepada 2.5 juta orang setahun.
Projek berkenaan turut melibatkan penambahan jambatan udara, penambahbaikan apron pesawat, menaik taraf sistem penyaman udara dan kaunter pendaftaran daftar masuk serta kemudahan awam seperti tandas.
"Elemen penting naik taraf ini juga adalah penyediaan kawasan daftar masuk imigresen dan e-Imigresen antara penerbangan domestik dan antarabangsa yang selesa serta selamat, yang mematuhi piawaian antarabangsa.
"Pada masa ini, pemeriksaan imigresen bagi penerbangan domestik dan antarabangsa dilakukan di tempat yang sama menyebabkan berlaku kekeliruan, dan dikhuatiri terdapat penumpang yang terlepas daripada pemeriksaan," katanya.
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/