- Berita
- Global
- Toyota Corolla Facelift Dengan 'Wajah Prius' Dikesan Di China
Setelah tujuh tahun berlalu sejak pelancaran Toyota Corolla generasi ke-12 (E210), kini model ini dikhabarkan akan menerima facelift yang membabitkan perubahan besar. Di laman web Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat (MIIT) China, muncul imej Corolla terbaru dengan rekaan yang menampilkan sentuhan digunakan pada Prius dan Camry versi terkini.
Rekaan Lebih Segar
Sudut depan Corolla facelift berbentuk hammerhead seperti Prius dan Camry, lengkap dengan lampu LED tajam berbentuk C dan jalur lampu halus yang menghubungkan kedua-dua lampu depan. Bampar hadapan diperbaharui dengan komponen ambilan udara lebih kecil dan bentuk lebih aerodinamik.
Walaupun diberikan perubahan besar di bahagian depan, profil keseluruhan Corolla sedan ini kekal sama. Pilihan rim baru mungkin diperkenalkan khas untuk pasaran China. Sudut belakang juga tidak mengalami perubahan besar kecuali kemasan hitam baharu yang menghubungkan lampu LED di bahagian belakang.
Setakat ini, hanya gambar luar dipamerkan di laman MIIT, jadi kabin Corolla facelift masih menjadi tanda tanya.
Ciri Mekanikal Corolla Facelift
Menurut laporan CarScoops, Corolla facelift untuk pasaran China masih menggunakan enjin 1.8 liter 4 silinder 2ZR. Pilihan trenkuasa yang ditawarkan adalah termasuk enjin petrol standard atau hibrid (HEV). Versi HEV akan menggunakan bateri NMC yang menawarkan kadar penggunaan bahan api serendah 4.13 liter setiap 100 km.
Selain itu, varian 2.0 liter 4 silinder dengan kuasa 169 hp juga ditawarkan, dengan kelajuan maksimum sehingga 180 km/j.
Toyota Corolla Di Malaysia
Toyota Corolla GR Sport (kiri) & Corolla 1.8G (kanan) yang ditawarkan di pasaran Malaysia
Toyota Corolla di Malaysia kali terakhir mendapat sentuhan baru pada awal tahun ini dengan varian GR Sport yang lebih sporty, berharga RM149,800. Varian standard kini hanya satu, iaitu 1.8G pada harga RM144,800, dan buat masa ini belum ada varian hibrid yang ditawarkan.
Foto: MIIT China via CarScoops
Baca: Toyota Corolla GR Sport 2025 Kini Di Malaysia – Dari RM149,800, Guna Sistem Transmisi Lebih Sporty!
Baca: 6 Sebab Kenapa Toyota Corolla Masih Berbaloi Untuk Dimiliki Pada Tahun 2025
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv