- Berita
- Kereta Baru
- Chery Tiggo 7 PHEV CSH & Tiggo 8 PHEV CSH Kini Rasmi Di Malaysia – PHEV Termurah Malaysia? Dari RM129K
Chery Tiggo 7 PHEV CSH & Tiggo 8 PHEV CSH Kini Rasmi Di Malaysia – PHEV Termurah Malaysia? Dari RM129K
Chery Tiggo 7 PHEV CSH dan Chery Tiggo 8 PHEV CSH
Chery Malaysia secara rasmi telah melancarkan dua buah kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) terbaru untuk pasaran Malaysia, Tiggo 7 PHEV CSH dan Tiggo 8 PHEV CSH, yang dilengkapi dengan teknologi Chery Super Hybrid (CSH) generasi terkini yang telah diberikan penambahbaikan ketara daripada generasi terdahulu.
Sistem Hibrid Canggih Dengan Jarak Perjalanan Cecah 1,200 KM
Kedua-dua model yang telah dipertontonkan buat pertama kali semasa acara Malaysia Autoshow 2025 (MAS 2025) ini menggunakan sistem trenkuasa CSH yang sama terdiri daripada enjin 1.5 liter 4 silinder turbo dengan kuasa 154 hp dan tork 220 Nm serta dua motor elektrik dengan output 201 hp dan tork 310 Nm. Turut membekalkan tenaga kepada jentera ini ialah bateri LFP berkapasiti 18.3 kWj.
Kuasa disalurkan kepada roda melalui sistem transmisi khusus hibrid (DHT) tiga kelajuan. Gabungan sistem ini memberikan kereta kuasa maksimum sebanyak 342 hp (255 kW) dan tork 525 Nm, membolehkan kenderaan membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa sepantas 4.26 saat.
Bateri yang digunakan memberikan jarak perjalanan elektrik sepenuhnya sehingga sekitar 90 km, sementara tangki bahan api berkapasiti besar 60 liter memberi jangkauan keseluruhan sehingga 1,200 km (WLTP).
Untuk pengecasan, sistem trenkuasa CSH menerima pengecasan AC dengan input 6.6 kW dan pengecas pantas DC 40 kW. Dengan pengecas AC, masa yang diambil hanya tiga jam, manakala DC pula memerlukan masa sekitar 19 minit untuk dicas dari 30% ke 80%. Ia turut boleh dicas dengan plug tiga pin biasa yang mengambil masa hanya 8.5 jam untuk dipenuhkan dari 10% ke 100%.
Bateri CSH dilengkapi sistem keselamatan canggih, Guardian, yang dibangunkan sendiri oleh Chery yang termasuk ciri pemotongan kuasa voltan tinggi secara automatik sekiranya berlaku sebarang insiden. Bateri ini juga menerima pengiktirafan kalis debu dan air IP68, selain mampu bertahan dalam suhu ekstrem dari -35°C ke 60°C.
Menurut Chery, sistem hibrid yang digunakan kali ini secara keseluruhannya memiliki kecekapan suhu yang tinggi sehingga 44.5%, sekaligus menjadikan kadar penggunaan bahan api lebih efisien.
Rekaan Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV
Dari segi reka bentuk, kedua-dua model Tiggo 7 dan 8 memperlihatkan perubahan kecil berbanding versi enjin petrol Pro. Bagi Tiggo 7, model PHEV menampilkan wajah hadapan baharu dengan gril berbentuk berlian yang diapit oleh lampu depan LED yang tirus dan corak lampu baru ala Tiggo 8 Pro. Ciri menarik lain di sudut ini adalah kehadiran lampu kabus dan lampu belok aktif. Bahagian belakang pula diberikan lampu LED jenis through-type yang unik, rim aloi 18 inci kini dalam rekaan baharu serta bampar belakang dengan kemasan yang lebih menyerlah. Versi ini tidak memiliki ekzos kembar seperti Pro.
Chery Tiggo 7 CSH PHEV
Chery Tiggo 8 CSH PHEV
Sementara itu, Tiggo 8 PHEV kini menggunakan lampu depan LED yang tirus, bampar hadapan dan gril diberikan rekaan semula. Logo pada versi kali ini lebih menyerlah terutama pada waktu malam kerana menyala. Dari tepi, model ini diberikan rim lebih besar bersaiz 19 inci dan pemegang pintu jenis terbenam. Bahagian belakangnya hampir sama seperti versi standard, tetapi dengan penyingkiran empat muncung ekzos asal, kerana kini digantikan dengan dua muncung faux yang mungkin kurang menarik untuk sesetengah orang.
Kabin Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV
Kabin Tiggo 7 PHEV CSH
Memasuki bahagian kabin, perubahan pada Tiggo 7 PHEV tidak begitu ketara. Ia masih menggunakan dua skrin berukuran 12.3 inci, tetapi rekaan stereng kini diambil daripada model J7 dan konsol tengah direka semula yang menyerlahkan gaya lebih moden. Konsol tengah kini menempatkan tombol gear kristal serta suis khas untuk mod pemanduan hibrid (HEV) dan elektrik (EV). Ciri menarik lain ialah pencahayaan ambien 64 warna dan tempat duduk sport dengan fungsi pengudaraan dan memori.
Kabin Tiggo 8 PHEV CSH
Berbeza dengan Tiggo 7, perubahan pada ruang dalaman Tiggo 8 PHEV lebih ketara. Sistem dwi-skrin lama digantikan dengan satu skrin terapung di bahagian tengah yang lebih besar, disertai meter digital yang lebih kecil berukuran 10.25 inci. Sama seperti Tiggo 7, rekaan stereng diambil dari J7. Sistem infotainmen boleh disambungkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Gear dikawal menggunakan tuil di sebelah kanan di sebalik stereng, sama seperti model X50 facelift yang terbaru. Mod pemanduan boleh dikawal dengan tombol putar yang terdapat pada konsol tengah. Kelengkapan menarik lain ialah 10 speaker Sony, pendingin hawa dua zon dan tempat duduk dalam balutan kulit sintetik yang boleh dilaraskan kepada enam arah secara automatik serta pengecas tanpa wayar 50W dengan sistem penyejukan.
Harga Jualan & Waranti
Model PHEV terbaru Chery ini ditawarkan di pasaran pada harga RM129,800 untuk Tiggo 7 PHEV CSH dan RM159,800 untuk Tiggo 8 PHEV CSH.
Pembelian adalah termasuk waranti kenderaan selama 7 tahun/150,000 km, bateri EV selama 8 tahun/160,000 km yang membolehkan penukaran 1-ke-1 sekiranya kesihatan bateri lebih rendah daripada 70%, serta servis percuma selama 5 tahun.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv