- Berita
- EV
- Mercedes-Benz Malaysia, DC Handal Bekerjasama Perluas Rangkaian Pengecasan EV
Mercedes-Benz Malaysia, DC Handal Bekerjasama Perluas Rangkaian Pengecasan EV
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) memperkukuhkan jaringan pengecasan kenderaan elektrik (EV) di negara ini menerusi kerjasama dengan pengendali stesen pengecasan tempatan, DC Handal. Melalui kerjasama ini, MBM telah melancarkan pusat pengecasannya yang keenam di Bamboo Hills, Kuala Lumpur.
Pusat pengecasan terbaru yang direalisasikan melalui kolaborasi dengan Hap Seng Star ini melengkapkan lagi rangkaian MBM selepas menjalinkan kerjasama dengan beberapa pengendali pengecas EV lain seperti JomCharge, ChargEV, Gentari dan P.UP.
Pembukaan pengecas Mercedes-Benz ini menjadikan Bamboo Hills sebagai salah satu hab pengecasan EV utama di Malaysia, yang turut menempatkan pelbagai stesen pengecas dari pelbagai jenama dan pengendali lain.
Serlahkan Komitmen Terhadap Mobiliti Lestari
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden MBM, Amanda Zhang berkata, “Bamboo Hills merupakan titik penting di mana kami mempergiat usaha pengecasan, membawa pemilik kenderaan elektrik ke era di mana inovasi, prestasi dan kelestarian bertemu. Dengan kerjasama DC Handal dan Hap Seng Star, menegaskan lagi komitmen kami untuk membina ekosistem EV Mercedes-Benz yang diperkukuh oleh rangkaian pengecasan yang cekap dan berteknologi tinggi di Malaysia.”
Tambah beliau, inisiatif ini sejajar dengan strategi Ambition 2039 Mercedes-Benz di peringkat global yang mengutamakan mobiliti lestari.
Pengarah DC Handal, Zamri Mahmud pula berkata, “Kerjasama kami dengan Mercedes-Benz Malaysia di Bamboo Hills adalah langkah penting dalam usaha pembangunan infrastruktur pengecasan yang boleh dipercayai dan berkualiti tinggi untuk memenuhi jangkaan pemandu EV premium. Kami komited untuk memperkasakan ekosistem mobiliti elektrik negara melalui penyelesaian tenaga inovatif dan pengembangan stesen pengecas.”
MBM bersama rakan niaga runcitnya juga merancang untuk memperluaskan lagi jaringan pengecas EV di seluruh negara, dengan pelancaran lokasi tambahan dijangka menjelang hujung tahun ini.
Baca: Mercedes-AMG CLE 53 4Matic+ Coupe Kini Rasmi Di Pasaran – Dari RM722,888
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv