- Berita
- Global
- Subaru Dedah Barisan Model Untuk TAS 2026, Video Teaser WRX STI S4 Manual Juga Ditayang
Subaru Dedah Barisan Model Untuk TAS 2026, Video Teaser WRX STI S4 Manual Juga Ditayang

Selain Honda, Nissan dan Suzuki, Subaru juga mendedahkan barisan model sportynya sempena pameran Tokyo Auto Salon (TAS) 2026 yang akan diadakan pada 9 Januari di Tokyo, Jepun, minggu depan.
Namun apa yang bakal menarik perhatian ialah model WRX misteri yang dipaparkan dalam sebuah video teaser ringkas.
Berbalik model yang akan ditayangkan nanti ialah WRX berwarna kuning terang serta Levorg STI Sport R-Black Limited II STI Performance Edition yang akan menerajui barisan model Subaru tahun ini.
Antara ciri yang menarik buat kedua-dua edisi khas WRX dan Levorg ini ialah warna baharu Sunrise Yellow yang didatangkan sebagai standard, dipadankan pula dengan rim aluminium hitam matte bersaiz 18 inci serta pelbagai perincian luaran kemasan hitam.


Menjengah bahagian kabinnya, STI Sport R-Black Limited II STI Performance Edition ini dilengkapi tempat duduk sporty Recaro dengan upholsteri berlubang berwarna kuning, jahitan hitam, serta sisipan seakan suede.
Bagaimanapun, tiada perubahan mekanikal yang disahkan setakat ini, namun Subaru memaklumkan bahawa kedua-duanya akan dilengkapi dengan pilihan aksesori serta komponen STI Performance.

Turut didedahkan ialah Impreza ST-H STI Performance Edition dengan Plus Package, yang pada asasnya merupakan versi dipertingkatkan bagi Impreza hatchback generasi keenam.
Berasaskan varian ST-H, model khas ini dipertingkatkan dengan beberapa komponen STI Performance bagi memberikan penampilan yang lebih agresif selain meningkatkan prestasi pengendalian.
Walaupun gambar akhbar rasmi mempamerkan Impreza khas ini dalam warna biru klasik Subaru, model sebenar yang akan dipamerkan di TAS 2026 nanti akan tampil dalam warna hitam istimewa, dengan kemasan dan aksen merah yang kontras di bahagian dalaman.
Barisan ini diteruskan dengan beberapa model kereta lumba, dengan yang paling menonjol ialah model baharu Subaru untuk siri Super Taikyu 2026 akan datang, dimana difahamkan ia akan menggunakan bahan api neutral karbon.


Jentera misteri ini akan ditemani dengan dua kereta lumba iaitu BRZ GT300 yang dikemas kini untuk bertanding dalam Kejuaraan Super GT, serta kereta rali WRX VBH yang dinaik taraf dan ditala khusus untuk kelas JN-1 dalam Kejuaraan Rali Jepun.
Selain itu, nampaknya sebuah model misteri yang ditunjukkan melalui dua video teaser ringkas adalah mungkin kereta sedan prestasi WRX STI S4 semasa, dimana ia berkemungkinan dilengkapi kotak gear manual.
Sementara itu, video pertama memaparkan sebuah WRX STI S4 berwarna biru yang dipandu dengan bunyi khas transmisi manual, manakala video kedua menunjukkan sebahagian dalaman kereta tersebut, di mana paddle shifter CVT sudah tidak kelihatan.


Buat masa ini, WRX STI S4 dijual di pasaran Jepun dengan transmisi automatik CVT sebagai standard, manakala pilihan manual hanya ditawarkan di pasaran seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.
Namun begitu, tidak lama lagi kita akan dapat melihat model misteri ini secara langsung, apabila ia membuat penampilan sulung pada 9 Januari 2026 nanti.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/

