- Berita
- EV
- Toyota BZ3X Masuk Pasaran Hong Kong, Macau
Toyota bZ3X buat julung kalinya muncul dalam versi pacuan sebelah kanan (RHD) di pasaran Hong Kong dan Macau, baru-baru ini.
Menurut CarNewsChina, model ini dijual pada harga sekitar HK$259,000 ( RM140,033) di Macau, manakala harga untuk pasaran Hong Kong masih belum didedahkan.
Ini menunjukkan peningkatan harga yang agak ketara berbanding versi pacuan sebelah kiri (LHD) yang dijual di China iaitu cuma 139,800 yuan ( RM82,589). Pendek kata, versi RHD ini sedikit mahal berbanding model asal LHD.
Malah, laporan sama turut menyebut bahawa model RHD buatan China ini, yang dibangunkan bersama oleh Toyota dengan pengeluar automotif China GAC, akan dieksport ke pasaran RHD seperti Jepun, UK, Australia, New Zealand dan Singapura.
Buat masa ini, masih belum diketahui bila ia akan dilancarkan ke pasaran lain, namun tempahan untuk model ini sudah dibuka di Macau dan Hong Kong.
Untuk makluman, Toyota bZ3X dilancarkan awal tahun ini dengan pek bateri 70 kWh dimana ia disumbat dengan satu motor elektrik.
Untuk itu, ia mampu menghasilkan kuasa setakat 204 PS (150 kW) dan 210 Nm. Selain itu, ia menawarkan jarak maksimum NEDC sehingga 565 km, menyokong pengecasan AC 6.6 kW dan DC 90 kW, serta keupayaan vehicle-to-load (V2L).
Dari segi dimensi, Toyota bZ3X berukuran 4,600 mm panjang, jarak roda 2,765 mm, lebar 1,850 mm dan tinggi 1,645 mm.
Ia dipadankan dengan rim 19 inci serta casis yang menggunakan suspensi MacPherson struts di depan dan torsion beam di belakang.
Menurut CarNewsChina, ia juga menawarkan ruang but sehingga 427 liter.
Seperti kebanyakan EV “premium” keluaran China, Toyota bZ3X turut hadir dengan pelbagai ciri moden.
Antaranya skrin infotainmen tengah 14.6 inci yang besar dipadankan dengan sistem audio Yamaha 11 pembesar suara, tempat duduk depan dengan fungsi pemanas dan pengudaraan, kawalan pendingin hawa dwi-zon dengan corong belakang, dan banyak lagi.
Apa yang penting, Toyota bZ3X dilengkapi dengan pelbagai ciri Sistem Bantuan Pemanduan Lanjutan (ADAS). Bagaimanapun, versi eksport RHD tidak disertakan dengan sensor LiDAR yang ada pada versi pasaran China.D
Apa pula pandangan anda, adakah BEV Toyota ini akan diterima sekiranya diperkenalkan di Malaysia? Kongsikan pendapat anda!
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/