- Berita
- Berita Auto
- 15,575 Kereta Proton Terjual Okt 2025, Proton Saga Paling Laku

Jualan kereta jenama Proton sekali lagi melonjak apabila berjaya menjual sebanyak 15,575 unit pada bulan lepas manakala Proton Saga meraih jualan tertinggi dalam 12 tahun selepas pelancaran model baharunya, baru-baru ini.
Jumlah itu meningkat sebanyak 16.3 peratus berbanding bulan sebelumnya, menjadikan jumlah keseluruhan jualan bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini sebanyak 129,872 unit.
Di sebalik data itu, Proton Saga pula meraih jualan tertinggi dalam 12 tahun apabila sebanyak 8,373 unit terjual pada bulan Oktober, sekali gus mencatat rekod tertinggi sejak Julai 2013 dan kini berada di tangga kedua carta jualan nasional.

Jumlah jualan bagi sepuluh bulan pertama tahun ini mencecah 59,107 unit, menandakan pencapaian kukuh yang bakal menjadi penanda aras bagi generasi baharu Proton Saga untuk terus menambat hati para peminatnya.
Selain Proton Saga, Proton X50 yang terus mencipta momentum sejak diperkenalkan pada 24 Julai lalu. Sebanyak 2,693 unit lagi terjual pada bulan Oktober, menjadikan jumlah keseluruhan jualan dari Ogos hingga Oktober sebanyak 10,418 unit.


Secara keseluruhan, jualan tahun setakat ini meningkat 24.7 peratus berbanding tahun 2024 kepada 23,847 unit. Peningkatan ini membuktikan keyakinan pengguna terhadap SUV segmen-B terkemuka PROTON yang menggabungkan prestasi, reka bentuk sporty, teknologi pintar dan ciri keselamatan yang menyeluruh.
Manakala e.MAS 7 terus menerajui pasaran EV negara menerusi penjualan 758 unit pada bulan sama, menjadikan keseluruhan jualan setakat tahun ini sebanyak 7,413 unit dan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai model EV nombor satu di Malaysia.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Zhang Qiang berkata, pihaknya amat berterima kasih atas sambutan hebat yang diberikan pelanggan terhadap model Proton Saga sedia ada.
"Kami turut menghargai minat tinggi terhadap model baharu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. "Kami juga menantikan penghantaran pertama Proton e.MAS 5 yang diharapkan dapat mengukuhkan lagi kedudukan Proton e.MAS sebagai jenama kenderaan elektrik utama di Malaysia,” katanya.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/