- Berita
- Kereta Baru
- Honda CR-V Dual-Tone Edition Kini Di Pasaran – Terhad 300 Unit, Dari RM169,900
Honda CR-V Dual-Tone Edition Kini Di Pasaran – Terhad 300 Unit, Dari RM169,900

Sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-25, Honda Malaysia (HM) mengumumkan syarikatnya itu kini menawarkan versi khas, CR-V Dual-Tone Edition, eksklusif untuk CR-V generasi keenam varian E dan V.
Bumbung Kontra Berwarna Hitam
Dua pilihan warna badan yang ditawarkan ialah Ignite Red Metallic (merah) dan Platinum White Pearl (putih) dengan gabungan warna kontra hitam pada bahagian bumbung, tiang tingkap, perumah cermin sisi, gril depan dan bawah serta skirting.
Selain daripada penggunaan warna luaran dua tona ini, tiada sebarang perubahan lain dari segi mekanikal atau kelengkapan kabin dilaporkan.
Spesifikasi Lain Kekal Sama

Varian E dan V kekal menggunakan trenkuasa yang sama seperti yang diperkenalkan pada Disember 2023 lalu yang mana kedua-duanya dikuasakan oleh enjin yang sama iaitu 1.5L VTEC Turbo 4-Silinder dengan output 193 PS / 243 Nm. Kuasa disalurkan melalui sistem transmisi automatik CVT kepada roda hadapan (FWD) untuk varian E dan kesemua roda (AWD) pada varian V.
Menurut Honda, teknologi trenkuasa ini menghasilkan purata penggunaan bahan api antara 7.0 hingga 7.5 liter/100 km.

Dari segi keselamatan, kedua-dua varian ini kekal dilengkapi dengan sistem keselamatan sama yang terdapat pada versi standard, iaitu pakej bantuan keselamatan canggih (ADAS) Honda Sensing yang terdiri daripada sembilan ciri keselamatan aktif, di samping ciri standard seperti Honda LaneWatch dan kamera parkir 360 darjah.
Harga Jualan CR-V Dual-Tone Edition
Honda Malaysia mengesahkan bahawa hanya 300 unit CR-V Dual-Tone Edition ditawarkan dengan harga bermula daripada RM169,900 untuk varian E dan RM181,900 untuk varian V, harga yang dinyatakan tidak termasuk insurans.
Harga ini termasuk waranti kenderaan selama 5 tahun tanpa had perbatuan, serta pakej servis buruh percuma sebanyak lima kali dalam tempoh 5 tahun atau 100,000 km.

Sejak pengeluaran CR-V secara CKD dimulakan di kilang Pagoh, Melaka pada tahun 2003, hampir 149,000 unit model ini telah dikeluarkan. Versi generasi terkini yang dilancarkan pada Disember 2023 telah mencatatkan jualan lebih 11,300 unit, menguasai 36% pasaran dalam segmen SUV sederhana tempatan.
Baca: [PANDU UJI] Honda CR-V 2.0 e:HEV RS – Model Sporty yang Jimat Minyak & Praktikal!
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv