- Berita
- EV
- Spesifikasi Xpeng X9 Ultra Bocor – Kepintaran Luar Biasa Dengan 3 Cip AI
-full_normal.jpg)
MPV Xpeng X9 dilaporkan bakal memiliki varian ‘Ultra’ baharu, hanya beberapa minggu setelah versi range-extender (EREV) diperkenalkan. Perkara ini disahkan melalui pemfailan terbaru kepada Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat (MIIT) China.
Menurut laporan portal automotif CarNewsChina, peningkatan terbesar bagi X9 Ultra ini bukan terletak pada kuasa motor, tetapi pada otak pemprosesannya. MPV elektrik ini dikuasakan oleh tiga cip AI Turing Xpeng, yang secara kolektif menjana kuasa pengkomputeran sehingga 2,250 trilion operasi setiap saat (TOPS), angka yang sangat luar biasa.
Tiga Cip AI Meningkatkan Kepintaran ADAS & Kokpit

-full_normal.jpg)
Kuasa pemprosesan yang besar ini diagihkan untuk meningkatkan kecerdasan kenderaan ke tahap yang lebih tinggi:
- Sistem ADAS: Dua daripada cip AI ini berfungsi menggerakkan model besar Vision Language Action (VLA) bagi sistem bantuan pemanduan canggih (ADAS).
- Kokpit Pintar: Cip ketiga dikhususkan untuk meningkatkan prestasi model besar Vision Language Model (VLM) di bahagian kokpit pintar. Peningkatan ini menjanjikan pengalaman pemanduan dan interaksi dalam kabin yang jauh lebih lancar dan intuitif.
Perubahan Kecil Rekaan
-full_normal.jpg)
-full_normal.jpg)
Dokumen MIIT tersebut tidak mendedahkan banyak imej terbaru, namun X9 Ultra dijangka menerima kemas kini reka bentuk yang kecil, menyamai perubahan yang diberikan kepada model X9 PowerX EREV sebelum ini.
Perubahan dijangka dapat dilihat pada bahagian lampu kabus hadapan, bahagian bampar bawah dan reka bentuk bampar belakang. Dua pilihan saiz rim akan ditawarkan, iaitu 19 inci dan 20 inci, kedua-duanya menampilkan rekaan jejari yang dioptimumkan untuk prestasi aerodinamik yang baik.
Baca: MPV Elektrik XPeng X9 Dilancarkan Di Malaysia – Dari RM269,888
Trenkuasa Kekal Sama


Trenkuasa MPV X9 Ultra dijangka tidak berubah, mengekalkan pilihan motor tunggal pacuan roda hadapan (FWD) dan dwi-motor pacuan semua roda (AWD) seperti model sedia ada. Versi FWD dengan motor tunggal menghasilkan kuasa 315 hp (235 kW), manakala versi AWD menggunakan dua motor yang menghasilkan output gabungan 496 hp (370 kW).
Walaupun spesifikasi terperinci bateri tidak didedahkan, kedua-dua varian FWD dan AWD X9 Ultra dilaporkan akan dijana oleh bateri lithium ternari yang dibekalkan oleh CALB.
Tarikh Pelancaran Masih Misteri
Setakat ini, Xpeng belum mengumumkan sebarang tarikh pelancaran atau butiran tambahan bagi X9 Ultra. Memandangkan tahun 2025 hampir berakhir, varian MPV elektik berkuasa AI ini dijangka akan membuat kemunculan rasmi dalam tahun 2026.
Sumber: CarNewsChina
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv