- Berita
- Kereta Baru
- Tempahan Untuk TQ Wuling Bingo Elektrik Sudah Dibuka, Ada 2 Varian
Tempahan Untuk TQ Wuling Bingo Elektrik Sudah Dibuka, Ada 2 Varian

TQ Wuling Bingo sudah dibuka untuk tempahan sekali gus memberi bayangan model ini akan dilancarkan secara rasminya ke pasaran tempatan, tidak lama lagi.
Tempahan yang dibuka secara dalam talian menunjukkan ia ditawarkan dalam dua varian untuk pasaran Malaysia,iaitu versi varian Pro boleh gerak sejauh 333 km dan satu lagi versi Max, sejauh 410KM.
Kedua-dua varian ini menawarkan bumbung berwarna hitam namun varian Pro didatangkan dalam warna Neon Blue dan Milky White manakala Max ditambahkan dengan warna Lavender Purple serta dua warna lagi sama dengan Pro.


Para pelanggan yang berminat dengan model comel ini boleh membuat tempahan dengan membayar RM50 dan memilih pusat pengedar mengikut kehendak mereka.

Untuk makluman, terdapat empat pusat pengedar di wilayah tengah, tiga di wilayah selatan, lima di wilayah utara, dan tiga di pantai timur.
TQ Wuling sebelum ini ada mengumumkan harga anggarannya cuma sekitar RM100,000, tetapi dengan pengeluaran CKD, harga pelancaran dijangka jauh lebih rendah, sekali gus berpotensi menjadikan Bingo salah satu EV paling mampu milik di Malaysia.
Dari segi ukuran, model ini lebih besar berbanding pesaing terdekat seperti BYD Seagull. Dimensi keseluruhan adalah 3,950 mm panjang, 1,708 mm lebar, dan 1,580 mm tinggi, dengan jarak roda sepanjang 2,560 mm.
Kedua-dua varian Bingo dilengkapi motor hadapan dimana ia mampu menghasilkan kuasa setakat 67 hp dan 150 Nm, serta dipadankan dengan bateri Wuling Magic LFP berkapasiti 31.9 kWh untuk Pro dan 37.9 kWh untuk Max.
Varian Pro menawarkan jarak 333 KM mengikut CLTC (273 KM WLTP), manakala varian Max pula 410 KM.
Dikhabarkan, varian Max boleh memecut dari 0–50 km/j hanya dalam 5.3 saat dan mempunyai kelajuan maksimum yang diisytiharkan pada 130 km/j.

Kedua-dua varian disertakan dengan pengecasan pantas DC 50 kW, yang dikatakan mampu mengecas bateri dari 30–80% dalam masa 35 minit.
Berdasarkan model pra-pengeluaran yang kami lihat, Bingo nampaknya merupakan sebuah kereta empat tempat duduk, dengan hanya dua tali pinggang keledar di bahagian belakang.
Ini merupakan perkara penting untuk pembeli yang membandingkan EV kompak, kerana kebanyakan pesaing dalam segmen ini direka untuk lima tempat duduk.


Menjengah bahagian luarannya, Bingo hadir dengan lampu LED selain bentuknya yang bulat membuatkan ia kelihatan agak comel.
Melihat kabinnya, ia hadir dengan dua skrin 10.25 inci, sistem kemasukan dan penghidupan tanpa kunci, upholsteri kulit sintetik, dan tempat duduk berkuasa.
Namun adakah ini cukup untuk menjadikannya pencabar kuat dalam segmen EV peringkat permulaan, dan mampu menewaskan Proton e.MAS 5?
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/