- Berita
- Kereta Baru
- Leapmotor B10 Kini Rasmi Di Malaysia – Dari RM99,800 Untuk 200 Terawal
Leapmotor B10 Kini Rasmi Di Malaysia – Dari RM99,800 Untuk 200 Terawal
![]()
SUV elektrik segmen C, Leapmotor B10 kini rasmi dilancarkan di Malaysia dalam dua varian iaitu Life dan Design. Model import sepenuhnya (CBU) ini menyasarkan pembeli yang mencari SUV lima tempat duduk praktikal dengan spesifikasi yang menarik.
Bagaimanakah Rekaan Leapmotor B10?



Dibangunkan berdasarkan binaan LEAP3.5 dan platform Cell-to-Chassis (CTC) 2.0+, kerangka kereta ini direka dengan bantuan pakar dari Stellantis, di mana bateri diintegrasikan terus ke dalam casis.
Hasilnya adalah pengendalian yang lebih mantap:
- Imbangan Sempurna: Kereta menjadi sangat stabil kerana bateri yang terintegrasi itu menurunkan pusat graviti, memberikan agihan berat hadapan-belakang hampir 50:50 yang ideal.
- Kukuh dan Selamat: Struktur badan kereta sangat kukuh (torsional stiffness 36,360 Nm/darjah), membuatkan pemanduan terasa lebih tepat dan selamat.
Leapmotor B10 hadir dengan saiz badan kompak yang berukuran 4,515 mm panjang, 1,885 mm lebar dan 1,655 mm tinggi, dengan jarak roda 2,735 mm serta jarak kelegaan tanah 170 mm yang hampir sama dengan Proton e.MAS 7. Model ini direka dengan gaya badan yang aerodinamik mencatatkan nilai rintangan yang rendah hanya 0.265 Cd.
-full.jpg)
-full.jpg)
Reka bentuknya moden dengan lampu LED halus dan panjang di bahagian hadapan. Dari tepi, dapat dilihat model ini dipasangkan dengan tayar 225/50 di depan dan tayar 235/50 di belakang pada rim 18 inci.
Walaupun mempunyai berat bersih antara 1,780–1,845 kg (bergantung kepada varian), ia menggunakan konfigurasi suspensi McPherson di hadapan dan multi-link di belakang. Ini menjadikan pengendalian B10 lebih lincah di selekoh berbanding model C10. Talaan suspensi untuk pasaran eksport dilakukan oleh Stellantis di Balocco Proving Ground, Itali.

Model ini ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu Starry Night Blue, Dawn Purple, Pearly White, Tundra Grey dan Metallic Black.
Bagaimanakah Prestasi B10?
Leapmotor B10 ditawarkan dalam dua varian di Malaysia iaitu Life dan Design. Berikut adalah ringkasan spesifikasi yang ditawarkan pada kedua-duanya:
- Life (56.2 kWj, 442 km NEDC/361 km WLTP)
- Design (67.1 kWj, 516 km NEDC/434 km WLTP)
Kedua-duanya menggunakan bateri LFP CATL dan ditawarkan dalam versi pacuan roda belakang (RWD) dengan motor 218 hp (160 kW) dan tork 240 Nm.
Dari segi pengecasan, model ini menerima cas AC sehingga 11 kW yang membolehkan bateri berkapasiti 56.2 kWj dicas penuh dalam masa 4.2 jam, manakala bateri yang lebih besar, 67.1 kWj, dalam masa 5.6 jam.

Model ini turut menyokong pengecasan pantas DC sehingga 140 kW (bateri 56.2 kWj) dan sehingga 168 kW (bateri 67.1 kWj). Kedua-dua unit ini mampu dicas dari 30% ke 80% dalam masa kira-kira 19 hingga 20 minit.
Model ini didatangkan standard dengan fungsi Vehicle-to-Load (V2L) yang membolehkan pengecasan perkakasan luaran pada kadar 3.3 kW.
Tiga mod pemanduan ditawarkan iaitu Comfort, Standard dan Sport.
Bagaimanakah Kabin dan Tahap Keselesaan B10?

Di dalam ruang kabin Leapmotor B10 yang berkeluasan 2,390 mm, sarat dengan teknologi canggih yang termasuk panel instrumen digital 8.8 inci dan skrin sentuh 14.6 inci resolusi 2.5K yang dikuasakan oleh sistem operasi Leap OS 4.0 (dengan cip Snapdragon SA8155 16GB memori) yang menyokong kemas kini Over-the-Air (OTA).
-full.jpg)



Ciri navigasi Here Maps turut ditawarkan, bersama pengecas tanpa wayar 15W dan empat port USB di barisan tempat duduk depan dan belakang.
Varian Design menawarkan tempat duduk depan yang boleh dilaraskan secara automatik, dan hadir dengan fungsi pemanas dan pengudaraan. Ciri menarik lain ialah bumbung suria panoramik, sistem audio premium 12 speaker, kad kunci NFC serta aplikasi Leapmotor untuk kawalan AC dan pintu dari jarak jauh.
Untuk ruang kargo, butnya menawarkan kapasiti 430 liter yang boleh diluaskan kepada 1,700 liter apabila kerusi belakang direbahkan. Ruang simpanan tambahan disediakan di bahagian hadapan (frunk) dengan kapasiti 25 liter.
Sejauh Manakah Tahap Keselamatan Leapmotor B10?
Leapmotor B10 dilengkapi sistem ADAS Tahap 2 lengkap dengan 12 sensor ultrasonik, termasuk kawalan jelajah adaptif, brek kecemasan autonomi (AEB), bantuan kekal lorong, bantuan kesesakan lalu lintas, pengesanan titik buta, brek lintasan traik belakang dan sebagainya. Ia turut dilengkapi dengan tujuh beg udara dan kamera 360°.
Berapakah Harga Jualan Leapmotor B10 di Malaysia?

Leapmotor B10 ditawarkan pada harga RM107,000 untuk varian Life dan RM118,000 untuk varian Design. Bagaimanapun, sempena pelancarannya, model ini ditawarkan pada harga promosi RM99,800 (Life) dan RM109,800 (Design) untuk 200 pelanggan terawal.
Pembelian didatangkan dengan waranti kenderaan selama 6 tahun atau 150,000 km (4 tahun/100,000km pengeluar + 2 tahun/50,000km waranti lanjutan) serta waranti bateri 8 tahun atau 160,000 km. Servis dijadualkan setiap setahun atau 20,000 km (yang mana terlebih dahulu).
-full.jpg)
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv

