- Berita
- Kereta Baru
- Leapmotor C10 PLUS Capai 510 KM, Cas 22 Minit – Beli Awal, Diskaun RM13,000!
Leapmotor C10 PLUS Capai 510 KM, Cas 22 Minit – Beli Awal, Diskaun RM13,000!
.jpg)
Leapmotor C10 PLUS kini rasmi menerjah pasaran negara dengan kuasa lebih padu bagi tahun 2026.
Stellantis Malaysia telah melancarkan model Leapmotor C10 yang terkini bagi tahun 2026, C10 PLUS, bersama varian eksklusif yang terhad, C10 PLUS Night Edition untuk pasaran tempatan. SUV segmen D ini hadir dengan prestasi yang jauh lebih ‘garang’, jarak gerak lebih jauh, dan kecekapan pengecasan yang lebih pantas. Harganya? RM148,000, peningkatan sebanyak RM23,000 berbanding versi sedia ada. Tetapi…
Ada Promosi Menarik!
Stellantis Malaysia menawarkan promosi ‘kaw-kaw’ sehingga 31 Mac 2026:
- Rebat Tunai: RM9,000 untuk kedua-dua model, menjadikan harganya hanya RM139,000.
- Subsidi Insurans: RM4,000 tambahan untuk pelanggan terawal.
- Jumlah Penjimatan: Cecah RM13,000!
Lebih Laju Daripada Biasa
Sistem trenkuasa C10 PLUS telah diberikan perubahan besar daripada versi standard. Berbanding model 2025, varian PLUS ini kini menggunakan platform 800V yang lebih canggih.
Antara peningkatan aspek trenkuasa yang dijanjikan adalah seperti berikut:
- Kuasa: Melonjak kepada 299 hp dan tork 360 Nm (berbanding 215 hp/320 Nm sebelum ini).
- Pecutan: 0-100 km/j kini sepantas 6.2 saat.
- Bateri: Kapasiti lebih besar iaitu 81.9 kWj.
- Jarak Gerak: Kini mencecah 510 km (WLTP), 86 km lebih jauh daripada versi sebelum ini.
Lebih Cekap Tenaga
Bukan sahaja lebih laju, C10 PLUS juga lebih cekap. Dengan kadar penggunaan tenaga hanya 15.1 Wj/KM, ia merupakan antara SUV yang paling jimat penggunaan elektrik dalam kelasnya.
Bagi urusan pengecasan, sokongan pengecas pantas DC kini ditingkatkan kepada 180kW. Ini bermakna ia boleh dicas dalam masa hanya sekitar 22 minit dari 30% ke 80% iaitu 8 minit lebih pantas daripada sebelum ini.
Ruang Kabin C10 PLUS
Tiada sebarang perubahan dinyatakan dalam aspek rekaan, kecuali kemunculan Night Edition yang diberikan sentuhan luaran eksklusif. Foto di atas menunjukkan ruang kabin Leapmotor C10 versi sedia ada.
Kabin C10 PLUS kekal premium dengan penggunaan fabrik silikon OEKO-TEX® Standard 100 yang mesra bayi dan alam sekitar. Pilihan warna tema dalaman adalah seperti berikut:
- Hitam: Untuk warna badan Pearly White, Canopy Grey dan Tundra Grey.
- Camel Brown: Eksklusif untuk warna badan Glazed Green.
Edisi Terhad: C10 PLUS Night Edition
Inginkan gaya yang lagi eksklusif? Leapmotor menawarkan varian Night Edition yang terhad kepada 50 unit sahaja. Dengan tambahan RM8,000, anda akan mendapat:
- Kemasan dua tona dengan bumbung hitam yang nampak lebih ranggi.
- Kit badan aerodinamik baharu.
- Rim "Trident" 20 inci berwarna hitam kusam atau matte black.
Dekati Jentera Terbaru Leapmotor Di Sunway Pyramid
Seperti yang dinyatakan di awal artikel, model ini ditawarkan pada harga diskaun hanya RM139,000 sehingga 31 Mac 2026. Pembelian adalah termasuk jaminan kenderaan selama 6 tahun atau 150,000 km dan jaminan bateri selama 8 tahun atau 160,000 km.
Kedua-dua model ini boleh dilihat dengan lebih dekat di Sunway Pyramid (Orange Concourse) bermula 27 Februari hingga 1 Mac 2026.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv

.jpg)

.jpg)
.jpg)




