- Berita
- Kereta Baru
- Pendaftaran Minat Jaecoo J5 Kini Dibuka – Lancar Jan 2026 Nanti?
Pendaftaran Minat Jaecoo J5 Kini Dibuka – Lancar Jan 2026 Nanti?

Hanya beberapa minggu sahaja lagi tahun 2025 bakal berakhir. Menjelang ketibaan tahun baharu, OMODA | JAECOO Malaysia secara rasmi telah membuka laman pendaftaran minat (ROI) bagi model terbarunya, Jaecoo J5.
SUV segmen B ini bukanlah model yang asing bagi peminat tegar jenama premium bawah naungan Chery ini, memandangkan ia telah dipertontonkan di Malaysia sejak Ogos lalu dan membuat kemunculan istimewa di ekspo gaya hidup LahLahLand 2025 November lepas.
Apakah Pilihan Trenkuasa Yang Ditawarkan Bagi Jaecoo J5 Di Malaysia?
Berbeza dengan pasaran Indonesia yang baru sahaja menerima varian elektrik sepenuhnya (BEV) bulan lalu, pasaran Malaysia dijangka akan menerima unit enjin pembakaran dalaman (ICE) terlebih dahulu.
Enjin yang digunakan ialah petrol 1.5 liter 4 silinder turbo dengan output 147 PS dan tork 210 Nm. Kuasa disalurkan kepada roda hadapan (FWD) melalui sistem transmisi automatik CVT.
Sebesar Manakah Jaecoo J5 Berbanding Pesaingnya?
Walaupun nampak kompak, Jaecoo J5 sebenarnya memiliki dimensi yang sangat kompetitif, malah lebih panjang daripada pencabar utamanya dalam aspek jarak roda.
J5 memiliki kepanjangan standard bagi model segmen B pada 4,380 mm, dari segi kelebaran, ia berukuran 1,860 mm, yang membuatkannya kelihatan gah di jalan raya. Untuk jarak antara rodanya, model ini berkepanjangan 2,620 mm, yang 10 mm lebih panjang daripada HR-V dan 20 mm lebih daripada X50.

Jika gaya mewah Jaecoo J7 telah berjaya memukau hati anda sebelum ini, kemungkinan besar, mudah untuk anda turut jatuh hati kepada J5. Ia mengekalkan DNA rekaan ‘kotak’ elegan yang sama, namun dengan sedikit perbezaan seperti pemegang pintu jenis konvensional (bukannya jenis pop-out rata seperti pada J7).
Bagaimanakah Keadaan Ruang Kabin Jaecoo J5?
Di bahagian dalam, Jaecoo J5 kekal menyerlah dengan sentuhan mewah dan canggih di segenap sudut. Model ini dilengkapi panel instrumen digital 8 inci dan skrin infotainmen potret bersaiz 13.2 inci yang boleh disambungkan dengan sistem Apple CarPlay dan Android Auto. Kemasan kulit tiruan yang digunakan bukan sahaja menyerlahkan aura mewah, malah bersifat anti-bakteria dan tahan calar.

Model ini juga sangat praktikal dengan ruang kargo 480 liter, yang boleh diperbesarkan sehingga 1,180 liter.
Dalam aspek keselesaan, sistem suspensinya berbeza jika dibandingkan dengan kebanyakan SUV segmen B lain yang menggunakan torsion beam, kerana J5 dilengkapi sistem MacPherson strut di depan dan multi-link di belakang untuk keselesaan pemanduan yang lebih premium.
Untuk keselamatan pula, Jaecoo J5 didatangkan dengan pakej teknologi keselamatan termaju (ADAS) lengkap yang menyokong pemanduan separa autonomi Tahap 2.5.
Berapakah Anggaran Harga Jaecoo J5 di Malaysia?
Setakat ini, harga rasminya masih dirahsiakan. Namun, jika kita melihat strategi harga yang digunakan bagi model-model seperti J7 dan J8 sebelum ini yang agak kompetitif berbanding pesaing masing-masing, kita boleh membuat anggaran berdasarkan harga pesaingan semasa J5 iaitu:
- Proton X50 (Executive): Dari RM85,800.
- Chery Tiggo Cross (1.5T): RM88,800.
- Honda HR-V (S): Dari RM115,900.
Melihat kepada spesifikasi mewah dan kualiti premium yang ditawarkan, ada kemungkinan Jaecoo J5 akan diletakkan pada julat harga antara RM90,000 hingga RM110,000. Model ini berkemungkinan besar akan dipasang secara tempatan (CKD) di kilang syarikat yang bertempat di Shah Alam.
Baca: OMODA | JAECOO Buat Promosi – Bukan Sekadar Diskaun, Jimat Cecah RM14,000!
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv





