- Berita
- Teknologi
- SUV Sporty Omoda 7 Miliki Teknologi Parkir Luar Biasa

Omoda 7 kini menerima perhatian sepenuhnya daripada Omoda | Jaecoo Malaysia selepas ia dipertontonkan buat pertama kali di negara ini di bawah nama Omoda C7 semasa acara Malaysia Autoshow (MAS) 2025 yang lalu. SUV yang diposisikan sebagai model segmen C ini tampil dengan rekaan sporty yang menarik perhatian golongan muda. Bagaimanapun, tarikh pelancarannya belum diumumkan buat masa ini.
Bantuan Parkir Automatik (APA) Dengan Kecanggihan Luar Biasa

Semasa kemunculan globalnya, Omoda 7 diperkenalkan sebagai model yang membawakan inovasi baharu dalam teknologi parkir pintar. Teknologi utamanya, Bantuan Parkir Automatik (APA), direka untuk mengendalikan setiap senario parkir harian. Sama ada parkir menegak, selari, serong atau di ruang yang sempit, sistem ini mampu mengenal pasti petak parkir yang sesuai, menggerakkan kereta secara automatik dan menyelesaikan pergerakan masuk atau keluar dengan lancar.
Sistem APA ini dilengkapi ciri seperti:
- Unduran Jejak (Traced Reversing): Membolehkan kenderaan mengingati laluan sempit yang pernah dilalui sebelum ini dan mengulanginya dengan selamat.
- Pemilihan Parkir Sendiri (Custom Parking Selection): Memberi fleksibiliti kepada pemandu untuk memilih petak parkir tertentu.
Menurut jenama tersebut, APA membuat tugasan ini dengan kawalan stereng yang minimum dan kitaran masa yang lebih pantas berbanding pesaing. Ini menjadikannya amat sesuai untuk kawasan-kawasan seperti pusat beli-belah yang sesak, pejabat, mahupun lorong sempit di kawasan perumahan.

Selain daripada APA, fungsi Bantuan Parkir Kawalan Jauh (RPA) membawa kemudahan ini ke tahap yang lebih tinggi. Dalam ruang yang sangat sempit atau kawasan yang padat dengan halangan, pemandu boleh keluar dari kereta dan mengawal kenderaan menggunakan kunci pintar, mengurangkan risiko calar atau perlanggaran. RPA sangat berguna untuk parkir selari di jalan yang sempit atau memasuki ruang parkir di sisi dinding yang kebiasannya memerlukan ‘kesabaran’ yang tinggi.
Reka Bentuk Omoda 7
Dari segi dimensi, Omoda 7 berukuran 4,621 mm panjang, 1,872 mm lebar dan 1,673 mm tinggi, dengan jarak roda 2,700 mm. Ukuran ini secara langsung meletakkannya sebagai pesaing utama kepada model laris lain di Malaysia seperti Honda CR-V, Kia Sportage dan Mazda CX-5.



Omoda 7 turut membawakan reka bentuk sporty dan ekspresif diinspirasikan daripada model C9 dan C5. Ia diberikan lampu depan LED yang tampak tajam, gril honeycomb, garis bumbung ala coupe, pemegang pintu jenis terbenam dan lampu LED belakang berbentuk zig-zag.
Sistem Trenkuasa Omoda 7
-full_normal.jpg)
Pilihan sistem trenkuasa untuk Omoda 7 dijangka merangkumi varian 1.6 liter turbo dan hibrid plug-in SHS yang menawarkan jarak EV tulen sehingga 95 km dan jarak perjalanan gabungan melebihi 1,250 km.
Pelancaran Omoda 7 Di Malaysia


Dengan momentum yang semakin memuncak di sebalik teknologi pintar Omoda 7 dan pratontonnya di MAS 2025, perhatian kini tertumpu kepada model mana yang akan dilancarkan dahulu di Malaysia. Selain 7, Omoda C9 PHEV dan Jaecoo J5 dalam varian ICE dan EV turut berada dalam perancangan. Ini menjadikan suku pertama tahun depan sebagai masa yang dinanti-nantikan para pembeli di Malaysia.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv

