- Berita
- Pandu Uji
- Jaecoo J8 AWD Tidak Gentar Tempuhi Laluan Off-Road Sepang Bay 13
Omoda Jaecoo Malaysia (O&J Malaysia) baru-baru ini melancarkan SUV premium terbaru, Jaecoo J8, yang membawa imej mewah berserta kemampuan off-road yang mengagumkan, aura sama yang diserlahkan ‘adiknya’, J7. Bagi membuktikan kemampuan Jaecoo J8 yang sebenar, pihak media telah dijemput untuk menguji sendiri keupayaan off-road varian AWD di litar ekstrem Sepang Bay 13 Off-Road Ranch.
Platform T1X & Sistem Kawalan Tork Canggih
Jaecoo J8 AWD dibangunkan berasaskan platform modular T1X milik Chery yang memang direka untuk kemampuan off-road dan praktikal, diambil daripada pengalaman Chery sebagai pemasang kontrak Land Rover. Rekaan badan yang tinggi, sudut sua (approach angle) 30 darjah serta keupayaan meredah air sehingga 450 mm menyerlahkan jiwa off-road SUV ini.
Enjin Turbo Bertenaga Dengan 7 Mod Pemanduan
J8 dikuasakan oleh enjin petrol 2.0L turbo empat silinder berkuasa 245 hp dan 385 Nm, dipadankan dengan sistem transmisi automatik lapan kelajuan dibangunkan oleh Aisin, sama seperti Omoda C9.
Namun, J8 AWD menawarkan lebih teknologi seperti sistem suspensi aktif Kawalan Peredam Berterusan (CDC), pacuan semua roda (AWD) dan kawalan vektor tork yang memaksimumkan cengkaman setiap roda. Malah, tujuh mod pemanduan termasuk Mud, Sand, Snow dan Off-Road disediakan untuk pelbagai situasi laluan yang mencabar.
Enam Halangan Off-Road Ditempuhi Tanpa Gentar
Halangan 1: Rock Crawl
Halangan 2: Side Slope
Ujian bermula dengan halangan Rock Crawl yang menguji kawalan tork perlahan dan jarak kelegaan bawah jentera. Dengan mod Off-Road diaktifkan, J8 dapat meluncur dengan mudah.
Seterusnya, di laluan Side Slope, kawalan vektor tork dan sistem kestabilan elektronik J8 membuktikan kehebatannya untuk mengekalkan kestabilan badan dalam situasi laluan yang curam, di mana hanya satu sisi kenderaan berada di atas permukaan tinggi. Sistem ini secara aktif mengagihkan kuasa dan mengawal cengkaman setiap roda, memastikan SUV kekal seimbang tanpa risiko tergelincir atau terbalik.
Halangan 3: Log Run
Halangan 4: Big Hill
Halangan Log Run atau permukaan tidak rata juga berjaya ditempuh dengan lancar, dengan penumpang kekal selesa, membuktikan suspensi CDC berfungsi cemerlang. Cabaran Big Hill menguji kemampuan mendaki jentera ini yang dapat dilakukan dengan mudah. Semasa menuruni bukit curam pula, sistem Hill Descent Control (HDC) mengambil alih sepenuhnya ketika turun bukit, tanpa memerlukan sentuhan brek.
Halangan 5: Elephant Steps
Ujian Elephant Steps pula menguji kekuatan casis dan pergerakan gandar. Di sini J8 tetap stabil, walaupun bertapak hanya pada dua roda.
Halangan 6: Water Wading
J8 AWD menamatkan ujian off-road ini dalam gaya penuh ‘dramatik’ apabila berjaya meredah air kolam tanpa sebarang masalah dalam ujian Water Wading kerana kedudukan corong ambilan udara atau air intake yang diletakkan tinggi. Turut menjadi faktor kemampuan J8 untuk meredah air ialah pemasangan pelindung underbody yang membuatkan komponen bawah badan terlindung dengan baik.
Jaecoo J8 SUV Mewah Yang Terbukti Lasak
Jaecoo J8 AWD jelas membuktikan dirinya bukan sekadar SUV premium dengan reka bentuk dan kemasan mewah, tetapi turut disematkan dengan pelbagai ciri canggih yang membolehkannya melalui cabaran off-road sebenar. Walaupun besar kemungkinan kebanyakan pemilik tidak akan menggunakannya untuk menempuhi laluan ekstrem, sekurang-kurangnya potensi sebenarnya diketahui, bukan sekadar untuk jalan berturap.
SUV Jaecoo J8 dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Chery Malaysia Shah Alam dan dijual bermula RM178,800 bagi varian asas 2WD, sementara AWD yang diuji ini berharga RM198,800. Semua varian didatangkan dengan jaminan 7 tahun atau 150,000 km.
Pembeli awal yang menempah sebelum 21 Julai dan mendaftar sebelum suku ketiga (Q3) turut menerima waranti enjin tanpa had perbatuan selama 10 tahun serta akses pengalaman pemanduan off-road eksklusif.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv