- Berita
- Global
- Ini Dia Kenderaan Pertama EREV Chery, Chery iCAUR V27

Chery iCaur V27 yang sudah mula dihasilkan sebenarnya adalah kenderaan elektrik jarak lanjutan (EREV) pertama yang berada di bawah lencana iCaur.
Tempahan awal untuk SUV lasak lima tempat duduk ini telah dibuka pada Disember 2025, dengan pelancaran rasmi pasaran dijadualkan pada suku pertama tahun ini.

Dari segi penampilan, iCaur V27 menampilkan siluet berkotak dan tegak, diserlahkan oleh gril sempit, perumah lampu hadapan berbentuk segi empat dengan ciri pencahayaan bulat yang tersendiri.
Bagi menonjolkan ia lasak, V27 hadir dengan pelapik fender hitam, pelindung bawah hadapan berwarna perak, lampu belakang menegak bertindan, serta pintu belakang berengsel sisi dengan tayar simpanan yang dipasang di luar.


Pada pelancaran, pembeli boleh memilih daripada lima warna luaran: perak, kuning, beige, hitam dan biru. Dilihat dari sisi, V27 sangat menyerupai profil bersegi dan berotot V23 yang lebih kecil, lengkap dengan tiang badan yang tebal serta garisan bahu yang menonjol.
Salah satu ciri menonjol ialah modul berfungsi pada panel sisi hadapan, yang menggabungkan pengesanan NFC dan perkakasan kamera, menandakan sokongan kepada akses pintar serta keupayaan bantuan pemandu termaju.
Dari segi saiz, V27 jelas ditempatkan dalam segmen SUV sederhana hingga besar. Ia berukuran 4,909 mm panjang, 1,976 mm lebar dan 1,855 mm tinggi, dengan ketinggian mencecah 1,894 mm bergantung kepada konfigurasi.


Jarak roda yang panjang iaitu 2,910 mm turut mengukuhkan kedudukan premiumnya.
Menjengah bahagian kabinnya, V27 meneruskan tema kabin berorientasikan keluarga iCaur, dengan penambahbaikan halus berbanding V23.
Terdapat skrin sentuh tengah terapung mendominasi papan pemuka dan berfungsi sebagai satu-satunya paparan, menggabungkan sistem infotainmen dan instrumen dalam satu antara muka.
Walaupun reka bentuknya berfokuskan skrin, butang fizikal masih dikekalkan untuk fungsi penting.
Konsol tengah turut menempatkan pad pengecasan tanpa wayar dan pemilih mod pemanduan jenis putar, manakala penumpang belakang menikmati tiga tempat duduk penuh serta corong penghawa dingin khas, menekankan fokus praktikal SUV ini.


Mengenai trenkuasa, iCaur V27 memperkenalkan rangkaian kuasa pemanjang jarak pertama jenama tersebut. Sistem ini menggabungkan enjin petrol turbo 1.5 liter yang menghasilkan 105 kW (141 HP) dengan motor elektrik tunggal atau berkembar.
Buta masa ini, dua pilihan bateri telah disahkan masing-masing berkapasiti 34.317 kWh dan 20.638 kWh, walaupun perincian kimia bateri masih belum didedahkan.
Konfigurasi pacuan roda belakang (RWD) dan pacuan semua roda (AWD) akan ditawarkan. Varian RWD menghasilkan sehingga 185 kW (248 hp), manakala versi AWD utama memberikan output besar sebanyak 335 kW (449 hp).
Dalam bentuk AWD, V27 didakwa mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.5 saat, menawarkan jarak pemanduan elektrik tulen sehingga 210 km mengikut penarafan CLTC, serta jarak pemanduan gabungan sekitar 1,200 km.
Di pasaran domestiknya, iCaur V27 dijangka mula dijual pada suku pertama 2026 dengan harga antara 200,000 yuan (RM116,000) hingga 300,000 yuan (RM175,000).
Di Malaysia pula, peluasan agresif rangkaian model dan pengedar Chery, ditambah dengan dorongan kumpulan ini ke arah rangkaian kuasa hibrid, berkemungkinan menjadikan kehadiran V27 tidak begitu jauh lagi.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/