- Berita
- Global
- Nio ES9 Bakal Dilancar, Harga Belum Didedahkan!

Penampilan luaran Nio ES9.
Presiden Nio, Qin Lihong mengesahkan SUV Nio ES9 Flagship bakal dilancarkan secara rasminya pada Mei nanti manakala penghantarannya pula akan bermula pada 1 Jun ini.
Buat masa ini, China akan menerima model ini terlebih dahulu.
Difahamkan, Nio ES9 menerima pakai semua teknologi daripada ET9 yang dilancarkan sebelum ini. Ia juga bakal menjadi crossover BEV China yang akan dihasilkan secara besar-besaran.
Memandangkan lesen jualan sudah dimohon pada Januari lalu, maka spesifikasinya juga telah didedahkan baru-baru ini.

ES9 di uji di sebuah kawasan salji di Yakeshi.
Malah, model ini dikesan menjalani ujian ketika musim sejuk di Yakeshi, Mongolia. Terdahulu, presidennya ada berkongsi bahawa Nio ES9 akan didedahkan secara rasmi pada 10 April.
Pelancarannya ke pasaran dijangka bermula pada bulan Mei manakala penghantarannya bermula 1 Jun nanti.
Menurut Lihong, kenderaan ini akan menggunakan semua teknologi daripada sedan perdana ET9, termasuk sistem steer-by-wire, sistem voltan tinggi 900V dan suspensi aktif. Pada masa yang sama, ES9 akan ditawarkan dalam pelbagai varian, termasuk model asas yang lebih mampu milik.

Bahagian belakang Nio ES9.
Bagaimanapun, setakat ini tiada maklumat rasmi mengenai harga Nio ES9.
Sementara itu, laman berita automotif, CarNewsChina menjangkakan kenderaan ini akan dijual sekitar 500,000 yuan RM283,442). Dengan cara ini, tidak akan berlaku persaingan dalaman antara ES9 sebagai model perdana dan model terlaris semasa Nio, ES8 III.
Nio ES9 ialah SUV bersaiz penuh dengan dimensi 5365 (P)/2029 (L)/1870 mm (T) dan jarak roda 3,250 mm.
Sebagai perbandingan, ia hanya 17 mm lebih pendek berbanding Cadillac Escalade, namun ES9 mempunyai jarak roda 179 mm lebih panjang.
Berat tanpa muatan kenderaan ini mencecah 2,915 kg dan hadir dalam versi 6 dan 7 tempat duduk.
Mengenai trenkuasanya, ES9 dilengkapi sistem pacuan semua roda (AWD) dwi-motor dengan kuasa maksimum 520 kW (697 hp).
Kelajuan maksimum kenderaan ini dikatakan mampu mencapai 220 km/j. Seperti model berjenama Nio yang lain, ES9 menyokong teknologi penukaran bateri.
BEV ini menggunakan pek bateri berkapasiti 102 kWh dengan pilihan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya dan mampu melakukan perjalanan sejauh 580 km, 600 km dan 620 km (mengikut varian nanti).
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/

