- Berita
- EV
- Harga Rahmah: Perodua QV-E Kini Lebih Mampu Milik Bermula RM63,499
Perodua sekali lagi membuktikan statusnya sebagai "Juara Rakyat" dengan membawa revolusi dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) tempatan. Melalui model Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) pertamanya, Perodua QV-E, syarikat automotif nasional ini berjaya meningkatkan kandungan komponen tempatan, sekali gus membolehkan harga jualan diturunkan secara drastik!
Langkah agresif ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan asing, malah memastikan bekalan alat ganti (terutamanya bahagian badan kenderaan) sentiasa poket-selamat dan sedia ada untuk pengguna domestik. Lebih mengagumkan, kapasiti pengeluaran QV-E kini telah melonjak melebihi 500 unit sebulan.
Harga Runtuh Lindungi Poket Rakyat (Masa Terhad!)
Memahami bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, mengumumkan harga promosi istimewa yang sah sehingga 30 September 2026 ini:

| Pakej Pemilikan | Harga Standard (Asal) | Harga Istimewa (Sehingga 30 Sept 2026) |
| Pemilikan Penuh | RM93,999 | RM87,499 |
| Pakej Battery as a Service (BAAS) | RM69,999 | RM63,499 (+ RM215/bulan selama 9 tahun) |
“Harga baharu QV-E untuk pemilikan penuh adalah RM93,999 atauRM69,999 menerusi pakej Battery as a Service (BAAS) dengan tambahan bayaran bulanan sebanyak RM215 (termasuk cukai) selama 9 tahun.
“Bagaimanapun, kami memperkenalkan harga khas untuk tempoh terhad (berkuatkuasa serta merta) bagi membantu pengguna yang berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup,” katanya.
Beliau berkata sepanjang tempoh terhad itu, Perodua menawarkan harga khas sebanyak RM87,499 untuk pemilikan penuh QV-E atau RM63,499 menerusi pakej BAAS dengan bayaran bulanan sebanyak RM215 (termasuk cukai) selama 9 tahun. Tawaran ini akan berakhir 30 September 2026.


Pakej BAAS menawarkan pakej bateri EV yang komprehensif merangkumi perlindungan untuk bateri, penghapusan dan penggantian serta insurans bateri sepanjang tempoh sewaan 9 tahun.
BAAS ditawarkan untuk memberi ketenangan kepada pelanggan dengan menyerahkan kepada Perodua untuk menguruskan sepenuhnya bateri EV mereka sepanjang tempoh sewaan tersebut.

“Bagi mereka yang mahu membeli QV-E secara pemilikan penuh, Perodua turut menawarkan pembelian bateri apabila sudah sampai masa untuk ia dihapuskan,”tambahnya.
Penarafan 5-Bintang
QV-E yang memperoleh penarafan 5 bintang dari ASEAN-NCAP menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate (52.5kW) dengan julat perjalanan sehingga 445 kilometer (NEDC) bergantung kepada cara pemanduan, suhu dan keadaan jalan.
QV-E sesuai digunakan untuk pemanduan sederhana dan jauh tanpa kerap dicas, yang mana ia boleh memanjangkan jangka hayat bateri.
Berita Baik Buat Pemilik Sedia Ada!
Perodua tidak melupakan pelanggan awal mereka. Pelanggan sedia ada QV-E bakal menerima pulangan wang khas (cashback), dan komitmen bulanan BAAS mereka akan dikurangkan secara automatik daripada RM275 kepada RM215 sebulan. Penasihat jualan Perodua akan menghubungi anda dalam masa terdekat!
Bagi yang berminat, muat turun super app P- Circle untuk menempah QV-E atau kunjungi bilik pameran berdaftar Perodua di seluruh negara.


Untuk makluman, Perodua melancarkan secara rasminya kenderaan elektrik (EV) pertama mereka yang digelar sebagai QV-E itu pada harga RM80,000 ke pasaran tempatan,1 Disember 2025.
QV-E, yang bermaksud ‘Quest for Visionary-Electric’ menelan kos pembangunan sebanyak RM800 juta dan dikeluarkan di kemudahan pengilangan terbaharu Perodua iaitu Smart Mobility Plant.
Model EV pertama 100 peratus buatan Malaysia ini hadir dengan hanya satu varian.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/