- Berita
- Berita Auto
- GWM & Touch ’n Go Jalin Kerjasama Strategik

Beli kereta GWM, anda tidak perlu pusing kepala fikir pasal pelekat tol? Ini bukan lagi satu angan-angan!
Ini kerana GWM Malaysia kini melangkah ke hadapan dalam arena mobiliti pintar apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bersama Touch ’n Go Sdn. Bhd. Kerjasama ini dibentuk khas bagi memberikan pengalaman pemanduan yang lebih lancar, selamat, dan tanpa sentuhan untuk para pemilik kenderaan GWM.
.jpeg)
Bermula 1 Ogos 2026, mana-mana kenderaan baharu GWM yang ditempah dan didaftarkan akan terus dilengkapi dengan tag RFID berjenama eksklusif Touch ’n Go x GWM secara standard. Ini bermakna, pelanggan boleh menikmati kemudahan pembayaran tol tanpa tunai sejak hari pertama kereta keluar dari bilik pameran!
Langkah Awal Menuju Sistem Tol Tanpa Palang (MLFF)
Inisiatif ini bukan sekadar tentang pelekat tol, malah ia merupakan sokongan padu GWM dan Touch ’n Go terhadap aspirasi negara dalam merealisasikan sistem tol aliran pantas pelbagai lorong (Multi-Lane Fast Flow atau MLFF).
Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah berkata, pihaknya mahu melangkaui penghasilan kenderaan yang hebat.
.jpeg)
"Kami sentiasa meneroka peluang untuk meningkatkan pengalaman pemilikan melalui produk, perkhidmatan dan kerjasama strategik yangmemberikan nilai bermakna kepada pelanggan kami. Kerjasama kami bersama Touch ’n Go mencerminkan komitmen tersebut dengan menggabungkan inovasi automotif dan penyelesaian mobiliti digital untuk menawarkan pengalaman pemilikan yang lebih berhubung, mudah dan lancar.”
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Touch ’n Go Sdn. Bhd.,Praba Sangarajoo pula berkata, seiring dengan peningkatan kepentingan mobiliti digital dalam perjalanan harian, kerjasama seperti ini memainkan peranan penting dalam menjadikan penyelesaian berhubung lebih mudah diakses oleh pengguna.
"Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan GWM Malaysia dalam memudahkan pengalaman pemilikan kenderaan melalui pemasangan dan/atau pembekalan tag RFID berjenama Touch ’n Go x GWM pada setiap kenderaan baharu GWM.
"Kami amat menghargai kepercayaan dan kerjasama yang diberikan oleh GWM, serta berharap dapat menyediakan pengalaman pemanduan yang lebih lancar, selamat dan tanpa tunai kepada pelanggan, di samping menyokong aspirasi mobiliti digital Malaysia.”
Untuk makluman, program RFID berjenama Touch ’n Go x GWM ini hanya terpakai untuk pendaftaran kenderaan yang layak di Semenanjung Malaysia sahaja.
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/
