- Berita
- Berita Auto
- Prestasi Terbaik 15 Tahun: Jualan PROTON Pintas 100,000 Unit Separuh Pertama 2026
Prestasi Terbaik 15 Tahun: Jualan PROTON Pintas 100,000 Unit Separuh Pertama 2026

PROTON secara rasminya mencatatkan prestasi jualan separuh pertama terbaiknya dalam tempoh 15 tahun, selepas berjaya melepasi angka keramat 100,000 unit bagi enam bulan pertama tahun 2026.
Momentum luar biasa ini dipacu oleh strategi serampang dua mata PROTON yang kukuh, mengimbangi penguasaan pasaran kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) serta lonjakan drastik segmen kenderaan tenaga baharu (NEV).
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Abdul Rashid Musa menyifatkan kejayaan melepasi angka 100,000 unit jualan sebelum pertengahan tahun merupakan satu pencapaian penting buat PROTON.
"Apa yang lebih membanggakan ialah pertumbuhan ini disokong secara menyeluruh oleh keseluruhan portfolio produk kami. Permintaan terhadap model-model ICE kekal kukuh, manakala Proton e.MAS terus berkembang pesat.
"Ini membuktikan keupayaan PROTON memenuhi keperluan pelanggan di setiap peringkat perjalanan mobiliti mereka dan memberi keyakinan kepada kami untuk mencapai sasaran jualan 200,000 unit tahun ini," katanya.
Difahamkan, sebanyak 16,052 unit telah diserahkan kepada pelanggan pada Jun lalu, menjadikan jumlah jualan keseluruhan Kumpulan bagi tempoh Januari hingga Jun meningkat kepada 100,346 unit, iaitu pertumbuhan 39.1% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pencapaian itu merupakan prestasi jualan separuh pertama terbaik PROTON sejak tahun 2011 serta meletakkan syarikat berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran 200,000 unit jualan bagi tahun 2026.
Model ICE terus menjadi tunjang pertumbuhan PROTON

Walaupun industri automotif negara semakin beralih ke arah elektrifikasi, model-model ICE PROTON terus menjadi pemacu utama jualan dengan beberapa model mengekalkan kedudukan sebagai peneraju dalam segmen masing- masing.
Proton Saga kekal sebagai model paling laris syarikat apabila mencatat 7,000 unit jualan pada Jun, sekali gus meningkatkan jumlah jualan tahun ke tarikh (YTD) kepada 44,375 unit, meningkat 40% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Proton S70 pula terus mengukuhkan kedudukannya sebagai sedan segmen-C paling laris di Malaysia apabila mencatat tambahan 2,307 unit jualan pada Jun. Ini menjadikan jumlah jualan YTD meningkat kepada 12,832 unit, atau 37.3% lebih tinggi berbanding tahun 2025.
Dalam segmen SUV, Proton X50 terus mengekalkan status sebagai SUV segmen-B dan SUV paling laris di Malaysia dengan 2,378 unit diserahkan pada Jun, menjadikan jumlah jualan YTD mencecah 15,345 unit, meningkat 35.1%.
Sementara itu, Proton X90 yang diperbaharui terus menguasai pasaran SUV tujuh tempat duduk segmen-D selepas mencatat 388 unit jualan pada Jun, sekali gus meletakkan prestasinya 50% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.
PROTON CATAT PRESTASI JUALAN SEPARUH PERTAMA TERBAIK DALAM TEMPOH 15 TAHUN
Sepanjang enam bulan pertama 2026, sebanyak 17,920 unit Proton e.MAS berjaya diserahkan kepada pelanggan, mewakili peningkatan luar biasa sebanyak 321% berbanding tempoh sama tahun lalu sekali gus mengukuhkan kedudukan Proton e.MAS sebagai jenama kenderaan tenaga baharu paling laris di Malaysia.
Proton e.MAS 5, yang kini dipasang secara tempatan, terus mendominasi pasaran kenderaan elektrik (EV) negara dengan 1,436 unit diserahkan pada Jun, menjadikan jumlah jualan YTD meningkat kepada 10,793 unit.
Model Proton e.MAS 7, yang turut dipasang di kilang pemasangan NEV PROTON di Tanjung Malim, pula mencatat tambahan 659 unit jualan pada Jun untuk meningkatkan jumlah keseluruhan kepada 3,053 unit.
Sementara itu, Proton e.MAS 7 PHEV terus mengukuhkan kedudukannya sebagai model hibrid plug-in (PHEV) paling popular di Malaysia. Dilancarkan pada 4 Februari lalu, model tersebut mencatat bulan ketiga berturut-turut dengan jualan melebihi 1,000 unit, apabila 1,138 unit diserahkan kepada pelanggan pada Jun. Jumlah jualan YTD kini mencecah 4,074 unit.
Susulan pratonton teknologi generasi baharu dan model-model akan datang semasa KLIMS 2026, PROTON kini bersedia memperkenalkan lebih banyak produk baharu dalam tempoh beberapa bulan akan datang sebagai sebahagian daripada usaha mencapai sasaran 200,000 unit jualan bagi tahun 2026.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/
