- Berita
- Berita Auto
- Siapa Sebenarnya Boleh Langgar Lampu Isyarat Merah?

Setiap kali nampak lampu beacon menyala dari jauh, sebagai pemandu kita sudah tentu panik dan tergesa-gesa memberi laluan.
Malah, ada kalanya kita sanggup mengelak hingga hampir melanggar kenderaan lain semata-mata mahu memberi jalan.
Namun, adakah kenderaan yang menyalakan lampu suar ini mempunyai 'lesen kebal' untuk memandu mengikut kelakuan sendiri?
Hakikatnya, penggunaan beacon atau suar tidak memberi hak keutamaan lalu lintas kepada sesebuah kenderaan untuk mengabaikan lampu isyarat merah atau mengetepikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
TL;DR — Ringkasan Artikel
Penggunaan lampu suar (beacon) atau siren tidak memberi 'lesen kebal' kepada mana-mana kenderaan untuk memandu secara berbahaya atau melanggar lampu isyarat merah.
- Hak Keutamaan Terhad: Hak mengatasi aliran trafik semasa kecemasan hanya diperuntukkan kepada 6 agensi rasmi (PDRM, Bomba, Ambulans, JPJ, Jabatan Penjara, dan Kastam) dengan siren atau amaran bunyi yang jelas.
- Tindakan Undang-Undang: Pemandu kenderaan kecemasan yang memandu secara melulu atau membahayakan orang lain tetap boleh didakwa di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali.
Menurutnya, penggunaan lampu amaran khas pada sesebuah kenderaan tertakluk kepada Jadual Keenam (Kaedah 24B), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959.
“Walau bagaimanapun, kebenaran menggunakan lampu suar atau siren tidak dengan sendirinya memberikan hak keutamaan lalu lintas kepada sesebuah kenderaan.
“Penggunaan lampu amaran atau siren juga tidak boleh dianggap sebagai kebenaran untuk mengabaikan lampu isyarat merah atau mengetepikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau kawasan kemalangan maut di Jalan Sultan Ismail.
Hanya 6 Agensi Mempunyai Hak Keutamaan Kecemasan
Beliau menjelaskan, di bawah Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, hak keutamaan mengatasi lalu lintas lain ketika menjalankan tugas kecemasan hanya diperuntukkan kepada kenderaan khas daripada agensi berikut:
- Polis Diraja Malaysia (PDRM)
- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)
- Ambulans
- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
- Jabatan Penjara Malaysia
- Jabatan Kastam Diraja Malaysia
“Kenderaan-kenderaan tersebut hendaklah memberi amaran mengenai kehadirannya melalui siren, loceng atau hon dua nada sebagaimana yang diperuntukkan,” tambah beliau lagi.
Siren Nyala Tetap Boleh Kena Tindakan Undang-Undang
Tegas JSPT, sebarang keutamaan lalu lintas yang diberikan di bawah Kaedah 9 masih tertakluk kepada pertimbangan pemandu kenderaan kecemasan itu sendiri demi keselamatan lalu lintas.
Sekiranya pemandu kenderaan kecemasan dipandu secara berbahaya atau melulu, mereka tetap boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Oleh itu, kehadiran lampu suar dan bunyi siren berfungsi sebagai amaran kehadiran kecemasan untuk meminta kerjasama pengguna jalan raya, bukannya tiket mutlak untuk meredah lampu merah tanpa menghiraukan nyawa orang lain.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/


