[PANDU UJI] Honda City Hatchback RS e:HEV: Berbaloikah Bayar Lebih Hampir RM20K Untuk Hibrid?
Sofea Najmi
25-9-2022
Baru-baru ini penulis diberikan kesempatan untuk memandu uji Honda City Hatchback versi hibrid, RS e:HEV. Ini pandangan jujur penulis sebagai seorang pemandu wanita yang tinggal di kawasan bandar.
Reka Bentuk Luar Honda City Hatchback RS e:HEV
Pertama kali memandang bentuk badan kereta ini, penulis tertarik dengan sudut hadapannya dengan gril yang bercorak sarang lebah. Turut menarik perhatian ialah rekaan lampu hadapan LED kereta yang kelihatan unik.
Reka bentuk lampu hadapan LED yang menarik
Jika dibandingkan dengan versi sedan, reka bentuknya tidaklah kelihatan terlalu jauh berbeza, namun tidak dinafikan, versi hatchback nampak lebih sporty.
Varian RS e:HEV ini sebenarnya berkongsi beberapa ciri luaran sama dengan varian tertinggi petrol seperti lampu hadapan LED, lampu hadapan automatik, cahaya nyalaan siang LED, lampu kabus LED, lampu belakang gabungan LED dan juga rim aloi bersaiz 16 inci.
Kabin Honda City Hatchback RS e:HEV
Semasa duduk di tempat pemandu, mata penulis tertumpu pada reka bentuk papan pemuka yang kelihatan mewah dalam balutan kulit. Material kulit yang sedap dipegang ini turut digunakan pada banyak titik sentuhan lain di ruang kabin kereta seperti tombol gear, stereng serta perehat lengan di bahagian tengah dan juga pada bahagian pintu.
Setiap ruang juga dilihat digunakan dengan optimum sebagai ruang simpanan seperti yang dikongsikan dalam foto di bawah:
Setiap ruang dimanfaatkan dengan baik: Tempat letak telefon bimbit di bawah butang kawalan penyejuk udara
Kemasan benang merah yang digunakan pada sesetengah bahagian yang dibalut kulit seperti stereng, papan pemuka, tempat duduk dan konsol tengah memberikan kereta aura lebih agresif dan sporty. Ini turut disempurnakan lagi dengan penggunaan set pedal aloi dan tempat duduk Ultrasuede.
Secara keseluruhanya, gaya yang diketengahkan untuk ruang kabin kereta sesuai dengan harganya. Namun satu perkara yang membuatkan penulis kecewa adalah ketiadaan pengecas tanpa wayar. Pada pendapat penulis, pada harga lebih daripada RM100,000, ciri ini dapat menyempurnakan lagi kereta.
Namun, kekurangan ini walau bagaimanapun ‘ditebus’ dengan adanya kemampuan sambungan lengkap (berwayar) iaitu Apple CarPlay/Android Auto pada sistem infotainmen kereta.
Sistem infotainmen kereta
Pengalaman Sebagai Pemandu Honda City Hatchback RS e:HEV
Sebagai sebuah kereta hibrid, tidak pelik mengapa enjin kereta agak senyap terutama sekali semasa kereta baru mula bergerak. Pada pergerakan perlahan, hanya motor elekrik yang menggerakkan kereta.
Kalau anda memberi perhatian kepada bunyi yang keluar, dapat didengar ‘suara halus’ motor tersebut. Pada pendapat penulis, bunyi tersebut tidak mengganggu, tetapi menambahkan lagi keseronokan menggunakan kereta sistem hibrid/elektrik. Sebagai seorang pemandu, hal-hal sekecil bunyi juga memainkan peranan untuk memberikan kepuasan sebenar pemanduan.
Sistem hibrid dua motor yang digunakan kereta akan menukar tiga mod pemanduan secara automatik bergantung kepada situasi pemanduan. Tiga mod tersebut ialah elektrik sepenuhnya (EV), gabungan elektrik serta enjin (hibrid) dan juga enjin petrol.
Untuk mengetahui sistem apakah yang membantu menggerakkan kereta semasa anda memandu, paparan digital pelbagai informasi kereta menunjukkan Power Flow atau aliran tenaga yang mengalir pada roda kereta.
Power Flow merupakan salah satu jenis informasi yang boleh dipilih untuk dipaparkan
Dari segi prestasi, menurut Honda, ia boleh melakukan pecutan abad dalam masa 9.7 saat, bermakna ianya 1 saat lebih laju berbanding varian petrol yang mencapai 100 km/j dalam masa 10.7 saat. Walaupun penulis belum pernah merasa City Hatchback versi petrol, yang pasti RS e:HEV yang dicuba dapat memecut laju dengan mudah apabila pedal minyak ditekan. Semasa dipandu laju, kereta kekal stabil walaupun dalam rekaan badan kecil.
Kestabilan sama turut dirasakan semasa melalui selekoh dengan laju. Ini mungkin kerana bateri lithium-ion yang dipasangkan pada kereta menjadikan kereta lebih berat dan sekaligus meningkatkan kestabilan kereta.
Namun hati-hati, understeer mungkin berlaku jika dipandu pada kelajuan terlalu tinggi semasa mengambil selekoh.
Kadar Penggunaan Minyak Honda City Hatchback RS e:HEV
Lebih berkuasa daripada versi petrol? Adakah ini bermakna RS e:HEV menggunakan lebih banyak minyak? Di sinilah terserlahnya kecanggihan dan kehebatan teknologi hibrid yang diketengahkan Honda.
Di atas kertas, Honda mengatakan kadar penggunaan bahan apinya ialah 3.6 liter/100 km, berdasarkan penggunaan penulis selama beberapa hari di kawasan bandar dan lebuh raya, meletakkan kadar penggunaannya pada 18.7 km/liter bersamaan 5.3 liter/100 km.
Paparan kadar penggunaan bahan api RS e:HEV yang diuji penulis
Butang ECON boleh diaktifkan untuk mendapatkan lebih penjimatan minyak. Ciri ini ditawarkan pada semua varian
Sepanjang sesi pandu uji model ini, penulis tidak langsung menggunakan mod ECON yang disediakan, bayangkan sekiranya mod ini diaktifkan, pasti lebih jimat!
Pengalaman Sebagai Penumpang
Semasa mendapat peluang menggunakan kereta ini, penulis membawa adik-adik ronda di sekitar Lembah Klang dan ini pendapat mereka:
“Duduk tiga orang dekat belakang, tak berapa selesa.”
Rekaan tempat duduk tengah di bahagian belakang tidak sesuai untuk tiga orang dewasa. Jadi, sekiranya anda merancang untuk membawa lebih daripada dua orang dewasa di bahagian belakang, ini tidak begitu sesuai untuk perjalanan jarak jauh, hanya sesuai untuk perjalanan singkat, makan angin atau dalam kes kecemasan.
Selain itu, perehat kepala juga terasa agak keras, tidak begitu selesa untuk dijadikan penyandar buat masa lama ketika perjalanan jauh. Namun perkara ini mungkin boleh diselesaikan dengan menanggalkan perehat kepala.
Buat pertama kali dalam segmen ini, walaupun sebuah hatchback, ia dilengkapkan dengan pendingin udara di barisan tempat duduk belakang. Ciri menarik ini hanya terdapat pada varian RS dan tiada pada versi petrol. Dengan kepanasan cuaca di Malaysia, ciri ini memang penting untuk keselesaan penumpang belakang.
Selain itu, turut boleh dipuji ialah ruang kaki yang luas walaupun lebih kecil daripada sedan, siapa sangka?
Ruang Simpanan Honda City Hatchback
Dari segi ruang simpanan, City Hatchback menampilkan ciri praktikal Ultra Seats pertama dalam kelasnya.
Apa maksud Ultra Seats? Ini bermaksud tempat duduk belakang boleh dilipat rata atau dilipat ke atas untuk memberikan empat konfigurasi simpanan berbeza sama ada Utility, Long, Tall atau Refresh.
Kualiti Noise, Vibration, and Harshness (NVH)
Dari segi kualiti NVH dalam kereta, pada pendapat penulis, agak baik namun masih boleh dipertingkatkan lagi.
Bagi seorang pemandu kereta biasa (bukanlah sebuah kereta mewah) terasa perbezaannya dari segi kesenyapan dan gegaran pada ruang kabin. Ini disebabkan Honda memasukkan buih poliuretana pada tiang A dan B kereta selain meletakkan penyerap bunyi yang tebal pada sudut enjin.
Namun ini tidak bermakna tiada langsung bunyi kedengaran dalam kereta, kadangkala terdengar juga bunyi tayar kereta atau semasa kereta dipecut.
Ciri Keselamatan Honda City Hatchback RS e:HEV
Honda City Hatchback RS e:HEV didatangkan dengan pakej keselamatan lengkap, Honda Sensing ADAS (turut terdapat pada versi petrol 1.5L V-Sensing), pakej ini merangkumi ciri berikut:
Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
Sistem Pembrekan Mitigasi Pelanggaran (CMBS)
Amaran Keluar Lorong (LDW)
Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS)
Mitigasi Keluar Dari Jalan (RDM)
Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
Lampu Suluh Tinggi Auto(AHB)
Ciri menarik lain yang terdapat pada RS dan turut ditawarkan pada varian V ialah Honda LaneWatch Camera (LWC). Pemandu dapat melihat pandangan cermin sisi kiri melalui sistem infotainmen apabila signal kiri diaktifkan atau apabila butang LaneWatch ditekan.
Bagi yang terbiasa memandang cermin sisi kiri, ciri Honda LaneWatch Camera ini memerlukan kebiasaan untuk digunakan. Ciri ini sebenarnya dapat memudahkan pemanduan memandangkan segalanya telah dipaparkan dalam ruang pandangan mata semasa memandu.
Namun kadangkala agak menggangu sekiranya kita sedang merujuk Google Map. Tetapi jangan risau kerana ciri ini mudah untuk dimatikan, hanya tekan butang LaneWatch yang terdapat pada hujung batang signal.
Adakah Honda City Hatchback RS e:HEV 2022 Berbaloi Untuk Dimiliki?
Pada pendapat penulis, berbaloi atau tidak bergantung kepada keperluan dan kemampuan pembeli. Pada harga hampir RM110k, ini kelebihan yang anda dapat yang tiada pada varian lain:
Lebih penjimatan minyak
Lebih kuasa
Gaya luaran dan dalaman eksklusif RS yang sporty
Penyejuk udara untuk tempat duduk belakang
Pakej keselamatan lebih lengkap (turut ditawarkan pada varian V-Sensing)
Pada harga RM109,800.00 (harga jualan tanpa insurans), lebih hampir RM20,000 berbanding varian tertinggi petrol, adakah semua kelebihan ini berbaloi? Tepuk dada, tanya selera. Diharapkan artikel ini sedikit sebanyak dapat membantu anda membuat pilihan terbaik.
Baca: Honda Kecilkan Produksi Kilang Jepun Hingga 40%, Ini Puncanya...
Baca: Penampakan Honda CR-V 2023 Di Thailand
Baca: Honda HR-V & BR-V 2022 Terima ASEAN NCAP 5 Bintang!
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv
Nombor Plat JPJ Terbaru
KUALA LUMPUR
VPB6823
SELANGOR
BSE3819
JOHOR
JXW3362
PULAU PINANG
PRQ2639
PERAK
ANV2504
PAHANG
CFB6374
KEDAH
KGA3928
NEGERI SEMBILAN
NEF6675
KOTA KINABALU
SJK6701
KUCHING
QAB2775L
Terakhir Kemas Kini 30 Apr, 2025
Harga Bahan Bakar
Petrol
RON 95
RM 2.05
RON 97
RM 3.18
RON 100
RM 5.00
VPR
RM 6.23
Diesel
EURO 5 B10
RM 2.88
EURO 5 B7
RM 3.08
Terakhir Kemas Kini 24 Apr, 2025
Berita Terkini
[Pandu Uji Ringkas] Zeekr 009: MPV Elektrik Mewah Yang Canggih & Lincah
CariCarz berpeluang untuk memandu uji MPV elektrik mewah, Zeekr 009, dalam acara eksklusif bersama media anjuran Zeekr Malaysia.
15-04-2025
6 Sebab Kenapa Toyota Corolla Masih Berbaloi Untuk Dimiliki Pada Tahun 2025
Sejak diperkenalkan pada tahun 1966, Toyota Corolla telah menjadi salah satu model paling berjaya dalam sejarah automotif.
18-03-2025
Sudah Diuji: Kia Sportage CKD 2025
Kami berpeluang memandu uji Kia Sportage CKD 2025, baru-baru ini.
28-02-2025
[PANDU UJI RINGKAS] 6 Ciri Ini Menyerlah Pada Leapmotor C10
Dalam sesi pandu uji hari ini penulis berpeluang untuk merasai sendiri keistimewaan Leapmotor C10 walaupun hanya untuk beberapa jam. Teruskan membaca untuk kupasannya...
26-02-2025
Sudah Diuji: EV9 GT-Line, Nampak Besar Macam Raksasa, Harga Pun Boleh Tahan!
Carz.com.my berpeluang memandu uji KIA EV9 GT-Line AWD baru-baru ini.
03-02-2025
Pandu Uji BYD Seal Performance: EV Paling Hot Di Malaysia
Kami berpeluang memandu uji BYD Seal Performance, baru-baru ini.
27-01-2025
Sudah Diuji: Ramai Betul Geram Tengok Peugeot 408 GT, Design Memang Stylo Habis
Penulis berpeluang memandu uji varian tertinggi, Peugeot 408 GT beberapa bulan lalu.
24-01-2025
Sudah Diuji: GWM Tank 500 Kental Habis Redah Salji Tebal, Sah Masuk M'sia
Carz.com berpeluang memandu uji GWM Tank 500 Hi4-Z di kawasan pergunungan di China, baru-baru ini.
20-01-2025
Tunjuk Lebih
trending_flat