- Berita
- EV
- Mercedes-Benz EQS 500 4MATIC, CKD Di Pekan, Padu Semacam, Harga Pun Boleh Tahan!
Mercedes-Benz EQS 500 4MATIC, CKD Di Pekan, Padu Semacam, Harga Pun Boleh Tahan!

Selepas pelancaran Mercedes-Benz EQS pada pertengahan tahun lepas, Mercedes-Benz Malaysia pula mengumumkan bahawa pihaknya akan melaksanakan operasi pemasangan tempatan (CKD) model EQS 500 4MATIC di kilangnya yang terletak di Pekan, Pahang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia (MBM), Sagree Sardien berkata, pihaknya telah mencatat satu lagi pencapaian dengan menghasilkan EQS 500 4MATIC pemasangan tempatan yang pertama di negara ini.

“Ia menyokong strategi perniagaan kami dalam menawarkan rangkaian model EQ yang komprehensif kepada para pelanggan, seterusnya menyumbang ke atas peralihan kenderaan elektrik yang lebih tinggi di Malaysia.
“Untuk itu, kami akan terus mencipta ekosistem mobiliti elektrik, bukan sahaja menerusi produk, tetapi turut melibatkan perkhidmatan, teknologi dan inovasi,” katanya.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sekadar info, Mercedes-Benz EQS 500 4MATIC sudah boleh didapati bermula pertengahan Mac ini.
Ia cuma hadir dalam satu varian.

Menyentuh mengenai perincian jentera ini, ia merupakan sedan elektrik mewah pertama daripada rangkaian model Mercedes-EQ yang dibina di atas seni bina modular.
Ia cukup sarat dengan ciri-ciri kemewahan, teknologi canggih, reka bentuk yang mengancam selain fungsi dan ketersaambungan.
Difahamkan, ia disumbat dengan konfigurasi dua motor elektrik. Ini bermakna, ia mampu menghamburkan kuasa setinggi 449 hp dan tork 828 Nm.
Mengenai daya pecutannya pula, ia mampu memecut dari 0-100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam 4.8 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 210 km/j.

Menyentuh mengenai pemanduannya pula, jentera ini mampu mencapai jarak gerak sehingga 696 kilometer dengan hanya sekali cas penuh.
Ia juga menyokong pengecasan pantas DC 200 kW, dengan hanya mengambil masa kira-kira 31 minit dari 10 hingga 80 peratus.
Bagi pengecasan AC 11 kW di stesen pengecasan umum atau Mercedes-Benz Wallbox, ia boleh bateri dicas selama 10 jam dari 10 hingga 100 peratus.
Selain itu, percaya atau tidak, dengan pekali seretan hanya 0.20 ia menjadikannnya sebagai sebuah kereta produksi paling aerodinamik di dunia.
Fuhh cukup hebat!

Bukan itu sahaja, jentera ini juga digandingkan dengan rekaan Electric Art yang menampilkan rim aloi ringan lima jejari baharu bersaiz 20 inci.
Terdapat juga gril radiator dengan rekaan corak ikonik Mercedes-Benz dan bumbung panaromik selain disumbat dengan lampu utama DIGITAL LIGHT yang cukup moden dan canggih.
Menjengah bahagian kabinnya, penulis cukup tertarik dengan bahasa rekaan Electric Art. Ia kelihatan bukan sahaja mewah malah menonjolkan hasil pertukangan yang cukup kemas dan berkualiti.
Ini dapat dilihat dengan begitu jelas terutama bahagian papan pemuka, panel pintu, tempat duduk, balutan kulit nappa pada sereng dan trim kayu.
Malah, terdapat juga sistem paparan MBUX Hyperscreen, kamera 360 darjah dan sambungan Apple CarPlay & Android Auto.
Dari segi ciri-ciri keselamatan pula, ia dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan.

Antaranya, Driving Assistance Plus Package yang mempunyai ciri Re-start automatik semasa kesesakan jalan raya, Active Distance Assist DISTRONIC, Bantuan Kekal Laluan Aktif, Bantuan Steering Aktif, sokongan tukar laluan, PRE-SAFE, sensor belakang dan perlindungan Urban Guard.
Untuk makluman anda, Mercedes-Benz EQS 500 4MATIC 2023 dijual pada harga bermula dari RM648,888 (atas jalan tanpa insurans, dengan pengecualian cukai jualan 0%).
Apa pula komen anda?
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/