- Berita
- Teknologi
- Proton X Watch Kini Di Pasaran! Hanya RM1,499! Boleh Kawal Fungsi Kereta?
Proton X Watch Kini Di Pasaran! Hanya RM1,499! Boleh Kawal Fungsi Kereta?
Proton baru sahaja melancarkan jam tangan pintar, Proton X Watch, yang kini boleh didapatkan pada harga RM1,499.
Proton X Watch telah dibangunkan dengan kerjasama ACO Tech – syarikat sama yang terlibat dalam pembangunan sistem infotainmen ATLAS yang digunakan dalam X50 dan X70. Sekiranya anda pengguna kedua-dua model SUV keluaran Proton ini, anda boleh mendapatkan jam tangan X Watch untuk memaksimumkan lagi ‘nikmat’ sebagai pengguna.
Jam tangan yang dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon ini menggunakan skrin 1.3-inci AMOLED HD Retina yang dilindungi oleh lapisan yang dipanggil Corning Gorilla Glass DX+. Jam ini diperkukuh dengan penggunaan keluli tahan karat, selain tampil eksklusif dengan penggunaan bezel jenis seramik.
Mengenai fungsinya, X Watch boleh menyokong rangkaian 4G dan juga sambungan Bluetooth. Di dalamnya tersedia aplikasi muzik Joox. Dengan cas yang penuh, bateri jam mampu bertahan sehingga 26 jam.
Kawal Kenderaan Menggunakan X Watch
Terdapat pelbagai fungsi kenderaan yang boleh dikawal dari jarak jauh menggunakan jam tangan pintar Proton X Watch ini iaitu:
Mengunci atau membuka kunci pintu kereta
Membuka atau menutup tingkap
Membunyikan hon
Membuka lampu
Membuka but
Membuka atau menutup pendingin udara*
Menghidupkan enjin*
*Hanya untuk X50 varian Premium & Flagship sahaja
Selain itu, pengguna juga boleh mengakses informasi kenderaan yang lain melalui X Watch misalnya baki bahan api, kadar penggunaan bahan api, dan juga baki perbatuan sebelum servis yang seterusnya.
X Watch Sebagai Teman Aktiviti Sukan
Sepertimana jam pintar yang lain, X Watch juga boleh dimanfaatkan sebagai ‘teman sukan’ kerana dihadirkan dengan teknologi pengesan pergerakan masa nyata (real-time) dan dengan ciri penjejak kecergasan untuk 8 mod sukan yang termasuk larian, berjalan, mengayuh basikal dan mendaki. Ciri lain ialah fungsi pemantauan degup jantung serta tahap oksigen dalam darah.
Untuk makluman pembaca, jam tangan pintar ini dikategorikan sebagai alat ganti X50 dan X70, bukannya sebagai aksesori.
Berminat? Anda boleh cuba dapatkan maklumat mengenai ketersediaan jam tangan ini dengan menghubungi pengedar Proton yang terdekat.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv