- Berita
- EV
- Kia EV5 Diperkenal Suku Ke-4 Tahun Ini, Sasar Jualan 1.6 Unit EV Menjelang 2030
Kia EV5 Diperkenal Suku Ke-4 Tahun Ini, Sasar Jualan 1.6 Unit EV Menjelang 2030
Kia 2023 CEO Investor Day menyaksikan pengeluar automotif tersebut membuat beberapa pengumuman penting, termasuk empat strategi teras untuk menjadikan pengeluar automotif ini menjadikan syarikat sebagai 'Pembekal Penyelesaian Mobiliti Mampan.’
Untuk mencapai matlamat ini, pengeluar automotif Korea Selatan ini akan melancarkan kenderaan elektrik (EV) crossover baharu, Kia EV5 pada penghujung tahun ini, bersama-sama model lain yang akan diberikan nafas baharu, Kia Rio dan EV kecil, Kia Ray.
SUV elektrik EV5 itu nanti akan diperkenalkan terlebih dahulu ke pasaran China, di mana versi konsepnya telah diperkenalkan di negara tersebut awal tahun ini.
EV5 adalah versi mini model EV9 dengan bentuk badan SUV yang sama, cuma dalam pakej yang lebih kecil, lengkap dengan lampu berbentuk futuristik. Perincian tambahan mengenai model baharu ini akan didedahkan pada masa akan datang apabila pengeluarannya akan dimulakan secara rasmi nanti.
Menjelang akhir tahun ini, lebih banyak pilihan EV ditawarkan syarikat dengan EV5 dan EV9 dijadualkan akan menyertai barisan model EV yang kini hanya terdiri daripada EV6.
Sementara itu, untuk Rio generasi seterusnya, Kia merancang untuk memulakan pengeluaran pada suku ke-4 tahun ini di kilang firma itu yang terletak di Mexico. Model EV subkompak terbaru Kia, Kia Ray, pula dijangka akan diperkenalkan pada suku ke-3 tahun ini. Butiran tambahan mengenai kedua-dua model tersebut masih belum didedahkan buat masa ini.
Selain tiga model yang disebutkan tadi, Kia juga merancang untuk memperbaharui sekurang-kurangnya lima model sedia ada, yang mana kesemuanya akan diperkenalkan menjelang akhir tahun ini. Walaupun pengeluar automotif ini tidak menyebutkan nama model ini secara spesifik, banyak spekulasi yang menunjukkan beberapa model Kia ini layak untuk menerima kemaskini iaitu Sorento, Picanto, K5, dan juga MPV Carnival.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Kia telah mengumumkan pelan jangka panjangnya untuk menjadi pemain utama dalam segmen elektromobiliti. Pada jangka masa panjang, pengeluar automotif ini menyasarkan untuk menjual sejumlah 1.6 juta EV menjelang akhir dekad ini, sambil memperluas barisan EV sehingga 15 model menjelang tahun 2027. Selain itu, firma ini juga merancang agar jualan kenderaan elektrik (EV) dapat mencapai 55% daripada jumlah penghantaran keseluruhan pada tahun 2030.
Selain pelancaran model EV baharu, Kia turut mendedahkan perancangan untuk mengubahsuai kilang Gwangmyeong bagi tujuan pengeluaran EV, dengan matlamat jangka pendek untuk memulakan pengeluaran dua model pada tahun 2024. Kia juga akan memulakan pengeluaran EV di kilang antarabangsa seperti di Amerika Syarikat, Eropah, China dan India.
Selain daripada segmen kereta penumpang, Kia juga merancang untuk memulakan perniagaan kenderaan yang direka khusus (PBV) menjelang tahun 2025. Perniagaan baharu ini akan melibatkan pembentukan rangkaian PBV penuh yang terdiri daripada robotaksi autonomi bersaiz sederhana dan banyak lagi - semuanya dikuasakan oleh elektrik.
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv