- Berita
- Pandu Uji
- [PANDU UJI] Mercedes-Benz C200 Avantgarde Versi CKD, Lebih Seronok Dipandu?
[PANDU UJI] Mercedes-Benz C200 Avantgarde Versi CKD, Lebih Seronok Dipandu?
Inginkan sebuah sedan mewah yang elegan, berteknologi tinggi dan menjanjikan prestasi dan dinamik pemanduan yang dapat memukau jiwa, W206 C200 Avantgarde iaitu C-Class generasi keenam adalah jawapannya.
Dipasang secara CKD di Pekan, Pahang, varian C200 ini memiliki peminatnya yang tersendiri disebabkan oleh kelebihan/ciri-ciri yang akan kami kongsikan dalam artikel kali ini. Bukan sekadar penjelasan spesifikasi, tetapi berdasarkan pengalaman kami sendiri setelah diberikan peluang selama lima hari bersama model mewah ini.
PANDANGAN PERTAMA
Diberi gelaran sebagai ‘baby’ S-Class, reka bentuknya kekal sama, masih lagi dipengaruhi oleh model andalan S-Class, namun dipersembahkan dalam bentuk eksklusif sebagai sebuah C200 Avantgarde yang kelihatan lebih elegan dan ringkas, beserta beberapa sentuhan moden seperti penggunaan lampu depan LED sepenuhnya di bahagian hadapan dan belakang.
Ciri klasik Mercedes-Benz seperti penggunaan gril besar pada bahagian depan, kemasan krom dan rim aloi 18 inci lima jejari masih lagi dikekalkan.
Sebagai sebuah varian Avantgarde, rekaannya kurang sporty berbanding versi prestasi, C300 AMG Line, yang dijual pada harga lebih tinggi, dan juga pesaingnya, BMW 320i Sport.
BAHAGIAN DALAMAN
W206 C-Class bersaiz 65 mm lebih panjang, 10 mm lebih lebar, 9 mm lebih rendah dan dengan jarak antara roda yang 25 mm lebih panjang berbanding model terdahulu. Ini bermakna penumpang kereta dapat menikmati ruang kepala dan kaki yang lebih luas, menambahkan lagi keselesaan ruang dalaman terutamanya untuk penumpang belakang. Keselesaan dimaksimumkan lagi dengan adanya pendingin hawa belakang.
Di bahagian hadapan, ruang kabinnya telah diberikan rekaan semula dengan penambahan pelbagai teknologi baharu seperti infotainmen skrin sentuh yang bersaiz 11.9 inci yang kini dipasangkan lebih rendah di bahagian tengah, berbeza dengan kedudukan biasa skrin pada generasi-generasi Mercedes sebelum ini yang banyak diletakkan pada kedudukan ‘terapung’ atau secara gabungan. Susunan terbaharu ini membuatkan skin lebih mudah untuk dicapai.
Kereta turut dilengkapkan dengan pakej arahan suara Mercedes-Benz User Experience (MBUX), fungsi sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, kamera undur yang jelas, peta navigasi dan sistem Mercedes Me Connect (MMC).
Ciri terbaharu lain yang menarik perhatian ialah reka bentuk corong udara yang berbeza dan penggunaan kemasan aluminium.
KUALITI PEMANDUAN
Reka bentuk yang menarik tidak membawa apa-apa makna sekiranya kualiti pemanduannya kurang mengujakan, dan W206 C200 Avantgarde berjaya membuktikan ‘dirinya’ sebuah kenderaan yang sempurna bukan sahaja pada pandangan mata tapi juga ‘personaliti’ pemanduannya. Penggunaan trenkuasa baharu, hibrid ringan M254 (MHEV) terbukti tidak mengecewakan.
Dilengkapi enjin 1.5 liter turbo 4-silinder, sistem elektrik 48 volt serta penjana pemula bersepadu (ISG) yang dipadankan dengan transmisi automatik 9-kelajuan, model ini boleh mencapai output setinggi 201 hp dan tork sebesar 300 Nm untuk memacu roda belakang.
Penggunaan sistem ISG berbanding BSG yang digunakan sebelum ini memberikan perubahan yang ketara yang dapat dirasakan semasa enjin dapat dihidupkan semula yang lebih lancar melalui sistem enjin henti-mula.
Dari aspek pemanduan dan pengendalian, prestasi kereta terasa lebih baik berbanding model sebelumnya disebabkan oleh dinamik pemanduan kereta yang telah dipertingkat. Kelebihan ini jelas dapat dirasakan melalui 'nikmat' pemanduan, walaupun pengendaliannya tidaklah ‘setajam’ yang mampu diberikan pesaingnya, BMW, ia terasa lebih bertenaga jika dibandingkan dengan model sebelum ini.
Hanya satu perkara yang menjadi isu iaitu bunyi tayar yang menerjah masuk ke dalam ruang kabin semasa kereta dipandu pada kelajuan lebuhraya. Namun ini bukanlah masalah besar apabila dipertimbangkan pelbagai kelebihan lain kenderaan yang dijelaskan dalam poin seterusnya…
KOS PEMILIKAN DAN KETAHANAN
Selain kos cukai jalan yang lebih rendah, penggunaan enjin lebih kecil, MHEV turbo 1.5L, turut membuatkan kos pemilikannya lebih murah, terutamanya dalam perbelanjaan harga minyak. Mencatatkan purata penggunaan bahan api sekitar 6.6L/100 km, membuktikan bagaimana penggunaan teknologi elektrifikasi separa dapat membantu mencapai kecekapan yang lebih tinggi.
Walaupun sesi pandu uji selama lima hari tidak cukup untuk membuktikan ketahanan jangka panjang model ini, kami yakin, servis dan juga perlindungan pasca jualan yang ditawarkan syarikat Mercedes-Benz Malaysia dan pengedar-pengedarnya seperti Cycle & Carriage Bintang dan Hap Seng Star dapat mengurangkan kebarangkalian kerosakan kenderaan yang serius buat tempoh yang lama.
Selain itu, kebanyakan kereta keluaran terbaharu Mercedes-Benz, termasuklah kenderaan elektrik tulen dan elektrik separa, secara umumnya tidak mudah menghadapi kerosakan. Lebih-lebih lagi sekiranya anda mengikuti jadual penyelenggaraan kenderaan yang telah ditetapkan.
KESELAMATAN
Walaupun ini hanyalah sebuah varian asas, Mercedes-Benz telah melengkapkan C200 Avantgarde dengan ciri bantuan pemandu (ADAS) semi-autonomi sebagai teknologi standard, membuatkannya mampu berdiri setanding dengan varian S-Class yang lebih tinggi.
Ciri lain yang dilengkapkan pada model ini antaranya ialah amaran pelanggaran hadapan (FCW) dan mitigasi (AEB), pemantau titik buta (BSM), amaran keluar lorong (LDW), bantuan kekal lorong (LKAS), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), serta bantuan lampu suluh tinggi automatik (AHB).
Teknologi keselamatan tersebut ditawarkan secara standard bersama pelbagai ciri asas lain iaitu 7 beg udara, ABS dengan EBD dan BA, pakej kawalan cengkaman (TCS) dan kestabilan (ESP), serta cangkuk ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak.
ADAKAH C200 AVANTGARDE BERBALOI UNTUK DIMILIKI?
Jika dilihat dari segi harga, kereta dengan empat pintu ini boleh dikatakan agak mahal, model lebih kecil, A200 Progressive Line ditawarkan pada harga yang jauh lebih murah, RM235,888. Bagaimanapun, sekiranya anda menginginkan ruang yang lebih luas dengan prestasi yang setanding dan dinamik pemanduan yang tidak mengecewakan, model CKD terbaharu ini, C200 Avantgarde, pilihan yang berbaloi, walaupun dijual lebih tinggi, RM292,888.
Bagi yang berminat dengan kereta yang lebih sporty, pesaingnya ialah, BMW 320i Sport. Namun, dari segi keselesaan, C200 masih berada pada kedudukan teratas.
Adakah anda setuju dengan pendapat kami? Kongsikan pandangan di ruangan komen yang disediakan di bawah.
SPESIFIKASI
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv