- Berita
- Pandu Uji
- Perasaan Pandu Uji Proton e.MAS 5: EV Lincah, Senyap, Selesa! Nampaknya EV Paling Sesuai Untuk Wanita
Perasaan Pandu Uji Proton e.MAS 5: EV Lincah, Senyap, Selesa! Nampaknya EV Paling Sesuai Untuk Wanita

Pada awal bulan ini, Proton membuat kejutan kepada rakyat Malaysia apabila mengumumkan model kenderaan elektrik (EV) keduanya bakal dijual antara harga RM60,000 hingga RM80,000 sahaja.
Sejak penggumuman itu dibuat, penulis pula dihujani mesej yang bertanyakan mengenai Proton e.MAS 5.
Sebelum itu, sebagai media kami hanya diberi peluang melihat luar dan dalam kereta kompak segmen-B itu, tanpa dibenarkan mendedahkan rupa parasnya. Pendek kata, dapatlah belek sekejap!

Namun pada minggu lepas, terima kasih kepada Proton kerana menjemput Carz.com untuk memandu uji Proton e.MAS 5 di Pusat Kecemerlangan Proton (COE), Shah Alam.

Walaupun, saya sudah melihat rupa parasnya yang sebenar namun pihak media masih belum diberi kebenaran untuk mendedahkan bahagian luarannya sehinggalah ia akan dilancarkan dalam tempoh terdekat ini.
Memandangkan tarikh pelancaran Proton e.MAS 5 masih dirahsiakan, sempatlah kami memandu uji lebih kurang 20 minit secara bergilir-gilir.
Ini bukan pandu uji lengkap kerana cuma atas trek namun tempoh singkat itu sudah membuatkan kami memahami keupayaan hatchback EV ini.
Menerusi sesi pandu uji, penulis berpeluang merasai pemanduan di litar jenis separa kelajuan tinggi (bujur), selain memandu pada had kelajuan 50 km/j ke 80 km/j dan dari 80 km/j ke 120 km/j termasuk di beberapa selekoh tajam yang berbentuk 8, selain menguji keupayaan keupayaan breknya.

Pandu uji ini lebih menyentuh mengenai hamburan kuasa, pecutan, dan pengendalian kerana sesi ujian dibuat atas trek lurus dan sendeng sahaja.
Namun, saya cukup yakin Proton e.MAS 5 bakal menawan hati rakyat Malaysia terutamanya wanita!
Ini sebabnya!
1. KERETA LINCAH UNTUK KEGUNAAN BANDAR!
Melihat luarannya, saiznya sebenarnya hampir sama dengan Proton Iriz namun sebaik melakukan pusingan di selekoh berbentuk 8 , ia sudah menunjukkan betapa lincahnya kerana saya dapat merasakan sistem kuasanya agak bertenaga dan responsif.

Untuk makluman, ramai yang ragu-ragu mengenai hamburan kuasanya yang cuma 116 hp dan 150 Nm dimana kuasanya diterima daripada motor elektrik 11-dalam-1 yang dipasang di bahagian belakang.
Saya tidak dapat menafikan ramai mungkin khuatir kerana ia hanya mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat.
Jangan tertipu dengan angka tork yang kelihatan ‘rendah’ dan kadar pecutan yang nampak ‘perlahan’ itu.
Ini kerana tork 150 Nm sebenarnya sudah memadai untuk menggerakkan berat kenderaan e.MAS 5 yang dianggarkan antara 1,215 kg hingga 1,285 kg dengan mudah dari keadaan pegun.
Mungkin apa yang paling mengejutkan ialah betapa cukupnya 116 hp itu, terutamanya ketika melakukan pecutan di selekoh dari 50 km/j ke 80 km/j dan dari 80 km/j ke 120 km/j .
Jarak kelajuan ini adalah situasi biasa semasa memotong di lebuh raya.
Satu perkara yang perlu diterima ialah had kelajuan maksimum sistem kuasa ini, iaitu 140 km/j. Namun, e.MAS 5 mampu mencapai kelajuan tersebut dengan mudah ketika kami mengujinya sedikit di litar ujian bujur.
Bagi sayam ia memang sesuai untuk kegunaan bandar dan yang penting dengan kelajuan yang ditawarkan, ia sememangnya sudah memadai.
2. CUKUP STABIL

Sebagai hatchback kompak dengan saiz dan berat sebegini, mungkin ramai sudah menjangkakan, ia merupakan kereta yang stabil. Ya, fakta ini benar!
Dengan konfigurasi pacuan roda belakang (RWD) yang digunakan selain talaan dan penentukuran sistem suspensi di keempat-empat rodanya, EV ini sebenarnya menawarkan pemanduan yang cukup lembut dan selesa.
Gabungan kedua-dua aspek ini menawarkan tahap kecekapan pengendalian yang mengagumkan. Proton e.MAS 5 menampilkan casis yang amat lincah ketika dipandu di kawasan bandar pada kelajuan rendah, malah mampu membuat pusingan yang lebih rapat pada 4.95 meter.
Walaupun dipandu dengan lebih agresif di litar bujur berkecerunan tinggi yang disebut tadi, e.MAS 5 masih menunjukkan tahap kestabilan yang cukup baik biarpun dipandu laju.
3. SELESA
Bagi sesiapa yang belum pernah memandu kenderaan elektrik (EV), perkara pertama yang mungkin mengejutkan ialah tahap kesenyapannya. Dengan harga permulaan yang dijangka sangat berpatutan seperti yang diumumkan oleh Proton untuk e.MAS 5, tidak hairanlah ramai pembeli EV pertama kali akan terpukau dengan ciri ini.
Walaupun pada mulanya terasa agak janggal bagi mereka yang baru beralih ke EV, tahap kesenyapan wajar dipuji. Hakikatnya, kabin e.MAS 5 menawarkan tahap penebat bunyi, getaran, dan kekasaran (NVH) yang sangat baik.
Digabungkan dengan ciri tunggangan yang lembut dan selesa, EV ini mampu memberikan pengalaman pemanduan yang cukup selesa.
Maah, Proton e.MAS 5 ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan ciri moden yang memenuhi keperluan setiap penumpang.
Dengan pemanduannya yang cukup mantap, keselesaan dan harganya bawah RM80,000, saya cukup yakin Proton e.MAS 5 bakal menarik perhatian pembeli EV.
PELANCARAN TAK LAMA LAGI
Mungkin ramai yang tertanya-tanya mengenai pelancaran rasminya walaupun tempahan Proton e.MAS 5 sudah dibuka sejak beberapa minggu lalu.
Malah, setakat dua hari lepas tempahannya dikatakan sudah mencecah sehingga 3,000 unit. Apapun, kami cukup yakin pelancaran rasminya akan berlangsung dalam tempoh terdekat ini.
Bagi yang berminat tempahan untuk e.MAS 5 kini telah dibuka secara dalam talian dan di pengedar sah Proton e.MAS dengan bayaran tempahan minimum hanya RM99.
Berdasarkan semua yang telah kami kongsikan, apa pendapat anda? Adakah hatchback EV kecil ini berpotensi menjadi kenderaan harian anda yang seterusnya? Kongsikan pandangan anda di ruangan komen di bawah…
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/


