- Berita
- Pandu Uji
- Pandu Uji Ringkas Perodua QV-E, Nampak Gaya Ada Potensi Kalahkan EV "Luar"
Pandu Uji Ringkas Perodua QV-E, Nampak Gaya Ada Potensi Kalahkan EV "Luar"

Perodua baru sahaja mengumumkan harga kenderaan elektrik pertama mereka cuma berharga RM80,000 dan ia cuma didatangkan dengan satu varian. Lebih mengejutkan, tiada sebarang diskaun atau rebat ditawarkan untuk tempahan awal!
Bagaimanapun, sebelum pelancaran hari ini, penulis sudah pun memandu uji kenderaan elektrik pertama Perodua, QV-E di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor kira-kira dua minggu lepas.
Melihat sahaja luarannya, penulis sebenarnya tidak teragak-agak dengan keupayaan EV pertama Perodua ini kerana rupa parasnya sudah menunjukkan ia sebuah EV yang tidak akan menghampakan si pemiliknya.
.jpeg)
Nyata sangkaan saya itu tidak salah sebaik sahaja saya dapat memandu uji QV-E. Walaupun tidak sampai 10 minit, saya dapat merasakan pemanduannya cukup selesa dan yang penting, walaupun hanya menggunakan mod pemanduan Eco, saya sudah dapat merasakan EV Perodua ini sebenarnya memang ada power!
Menerusi sesi pandu uji di litar Sepang, pihak media diberikan peluang untuk menelusuri laluan slalom. Bagi saya, ujian di slalom menunjukkan maklum balas stereng yang diberikan agak meyakinkan. Biarpun, ia kelihatan besar dan tinggi, namun setakat nak mencilok di bandar atau keluar masuk ruang parkir, memang tiada masalah.

.jpeg)
Selain itu, saya juga sempat menguji mod pemanduan Eco, Normal dan Sport. Memang tidak dinafikan, walaupun sekadar menggunakan mod Eco, ia tetap menunjukkan taring sebenarnya!
Pendek kata, walaupun anda menggunakan mod Eco atau Normal, ia tetap menawarkan kelajuan yang tidak akan mengecewakan anda.
Namun ketika menguji di mod pemanduan Sport, saya akui ia cukup lincah di laluan litar Sepang tetapi sterengnya terasa sedikit berat.
Pada hemat saya, Perodua QV-E adalah sebuah kereta EV yang serba boleh dan mampu menawarkan pemanduan dengan cukup baik walaupun di jalan raya biasa mahupun laluan yang mencabar.
Namun yang penting anda tidak boleh melenjannya macam kereta sports.
Pendek kata, QV-E boleh menjadi teman harian untuk anda berulang alik ke tempat kerja, menggunakannya untuk urusan harian termasuk untuk perjalanan jauh.
LUARAN NAMPAK PREMIUM
Selain pandu uji, menjengah bahagian luarannya, reka bentuk Perodua QV-E wajar dipuji kerana ia kelihatan cukup premium. Ini kerana jika sekilas pandang, ia kelihatanseolah-olah kereta konsep dan ada juga iras seperti Toyota C-HR.
Jika mengamati dengan lebih dekat, ia dipasang dengan lampu jenis segi tiga dimana ia akan menjadi lampu isyarat kiri dan kanan serta lampu projektor.


Bagaimanapun, QV-E tidak seperti EV lain kerana ia tidak hadir dengan frunk hadapan kerana Perodua QV-E adalah EV jenis pacuan hadapan.
Sementara itu, Perodua QV-E ini juga hadir dengan pemegang pintu jenis tersembunyi dan untuk membuka pemegangnya, ia sedikit pelik kerana anda perlu menekan dari arah belakang.
Malah, ia juga hadir tanpa gril yang sememangnya sudah sinonim dengan mana-mana EV lain.
Melihat bahagian sisinya, ia didatangkan dengan rim aloi sebesar 18 inci dimana ia adalah antara rim terbesar yang pernah digunakan oleh Perodua setakat ini.
KABIN SEMPURNA
Ketika mahu melangkah masuk ke bahagian tempat penumpang belakangnya, penulis keliru seketika kerana tercari-cari pemegang pintunya, rupa-rupanya ia tersorok macam kereta Toyota C-HR. Sebaik melangkah masuk ke dalam kabinnya, ia menawarkan rekaan cukup moden dan minimalis.

Apabila melabuhkan punggung ke kerusi pemandu, kerusinya boleh dilaraskan secara automatik manakala melihat bahagian papan pemukanya, Perodua sebenarnya menawarkan pelbagai ciri menarik yang sememangnya cukup memadai dengan harga yang ditawarkan.
Apa tidaknya, ia hadir dengan skrin instrumen 10-inci, skrin infotainmen sebesar 10.25-inci yang turut menyokong sambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Yang agak menarik ialah anda boleh mengubah tetapan penghawa dinginnya dengan menggunakan butang fizikal.
Bagi yang sudah terbiasa dengan butang-butang fizikal, ciri ini mungkin akan membuatkan anda sedikit berpuas hati kerana tidak perlu bergantung 100% ke kepada skrin. Satu lagi, ini mungkin kali pertama Perodua menggunakan tombol gear jenis bulat untuk menukar gear.
Setakat ini, tiada mana-mana model Perodua menggunakan tombol gear berbentuk bulat.
.jpeg)

Bagi saya, kabinnya agak luas namun ia mungkin bergantung kepada saiz badan penumpangnya. Jika anda mempunyai ketinggian cuma 157 sentimeter dan seberat 57 kilogram, mungkin ia tidak menjadi masalah besar untuk anda.
Selain itu, terdapat juga perehat tangan dengan tempat letak cawan untuk penumpang belakang termasuk port pengecasan USB-A dan USB-C. Melihat bahagian belakangnya, ia kelihatan cukup kemas dan tidak begitu sarat dengan rekaan lampu yang serabut.

Apa yang membuatkan saya tertarik di bahagian belakang ialah lampu belakangnya jenis penuh dan bercantum dengan kedua-dua lampu belakang manakala spoiler belakang disepadukan dengan begitu sempurna dengan lampu brek ketiga.
Bagi saya, ini antara ciri yang agak menarik.
Ketika membeli bahagian belakangnya, saya sekali lagi terpinga-pinga untuk membuka but belakangnya, ingatkan perlu mengayunkan kaki tetapi rupa-rupanya perlu menekan logo Perodua di belakang untuk membuka butnya.


Meengenai ruang butnya, ia seluas 450 liter namun boleh dibesarkan sehingga 1,238 liter.

Apapun, tahniah kepada team Perodua yang telah menaik taraf kabinnya pada satu tahap yang luar biasa.
QV-E ADA POWER!
Sebaik pelancaran tadi, ramai yang tertanya-tanya mengenai platfrom Perodua QV-E ini, bagi yang tidak tahu, ia merupakan platform yang dibangunkan oleh Perodua dan syarikat kejuruteraan automotif berasal dari Austria, Magna Steyr.
Mengenai trenkuasanya pula, Perodua QV-E disumbat dengan motor berkuasa 150kW dimana ia mampu menghamburkan kuasa setakat 201 hp dan tork 285Nm.

Untuk itu, ia mampu memecut dari 0-100 kilometer sejam hanya dalam 7.5 saat manakala kelajuan maksimumnya pula 165km/j.
Menyentuh mengenai jarak geraknya, Perodua QV-E menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate (52.5kW) dan mempunyai kapasiti julat sehingga 445 kilometer (NEDC), namun bergantung kepada cara pemanduan, suhu dan keadaan jalan.
Malah, QV-E turut menyokong pengecasan AC 6.6 kW di mana bateri boleh dicas penuh 0-100 peratus hanya dalam masa 8 jam.

Jika menggunakan pengecasan pantas DC 60 kW, difahamkan baterinya boleh dicas sepantas 30 minit dari 30-80 peratus.
Dari segi ciri keselamatan, anda jangan risau kerana ia cukup sarat dengan pelbagai ciri keselamatan seperti mana yang ada pada EV lain.
Perodua QV-E ini hadir dengan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) tahap dua dimana terdapat Amaran dan Pencegahan Perlanggaran Hadapan (FCW & AEB),Amaran Keluar Laluan (LDW), Pemantauan Titik Buta (BSM), Amaran Trafik Lintasan Belakang (RCTA) dan enam beg udara.
Ia juga hadir dengan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar, boleh buat panggilan SOS, kamera pandangan sekeliling dan pengesanan dan amaran kanak-kanak (Child Presence Detection).
Sistem ini akan mengingatkan pemandu sekiranya ada kanak-kanak ataupun binatang peliharaan yang tertinggal di dalam kereta kerana ia boleh mengesan pergerakan serta tanda vital (seperti bunyi nafas) di bahagian tempat duduk belakang.
Sistem itu juga boleh mengesan pergerakan walaupun dilitupi oleh selimut atau fabrik lain.
Bagi yang berminat, Perodua QV-E hanya hadir dengan dua pilihan warna iaitu Ice Blue dan Caviar Grey.
BANGGA PERODUA HASILKAN EV PERTAMA MALAYSIA
Apapun, penulis berpendapat, EV buatan Malaysia ini mampu melangkah jauh kerana ia bukan sahaja sebuah EV mampu milik namun dari segi rekaan dan kabinnya, ia pastinya bakal menarik lebih ramai pembeli EV pertama.
Dengan skim pajakan bateri yang pertama kali diperkenalkan di Malaysia, ini mungkin satu langkah yang wajar dipuji kerana ia sekurang-kurangnya dapat mengelakkan harga EV jatuh menjunam dengan begitu ketara.
Pendek kata, dengan hasil reka bentuknya yang agak mengancam serta harga yang cukup mampu milik, Perodua sebenarnya tampil dengan sebuah EV yang tiada tolok tandingannya.
Malah, Perdana Menteri turut meletakkan harapan tinggi untuk Perodua QV-E sebagai pemula ekosistem EV mampu milik negara.
Sebagai rakyat Malaysia, saya cukup berbangga melihat sekurang-kurangnya ada syarikat dari Malaysia seperti Perodua membangunkan kenderaan elektrik pertama dan Malaysia sebenarnya ada kepakaran dalam pembuatan EV.
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/

