- Berita
- Global
- GWM Tuduh BYD Langgar Piawaian Pencemaran Udara China

Great Wall Motor (GWM), pengeluar kereta terkemuka dari China, dilaporkan telah melontarkan tuduhan terhadap pesaingnya, BYD, kerana dikatakan telah melanggar piawaian pencemaran udara China. Namun, BYD menolak tuduhan tersebut dan mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang.
Tuduhan ini membabitkan sedan Qin Plus dan SUV Song Plus, model hibrid plug-in terlaris yang dikeluarkan syarikat BYD. Khabar angin mengenai pelanggaran piawaian itu telah disebarkan oleh GWM melalui WeChat rasmi syarikat.

Song Plus dan Qin Plus
Walaupun tidak disertakan dengan bukti, GWM mengatakan bahawa pada 11 April, mereka telah mengemukakan dokumen kepada Kementerian Ekologi dan Alam Sekitar, Kementerian Industri dan Maklumat serta pengawal selia pasaran teratas China.
Dalam aduan tersebut, GWM mendakwa BYD menggunakan tangki bahan bakar tanpa tekanan pada sedan dan SUV terlaris mereka. Menurut GWM, penggunaan tangki gas seperti itu menyebabkan bahan bakar menjadi wap lebih cepat berbanding tangki yang memiliki tekanan.

Sedan Qin Plus
Isu tangki bahan bakar bertekanan penting bagi kenderaan hibrid plug-in, di mana bahan bakar direka untuk kekal dalam tangki lebih lama berbanding kenderaan ICE konvensional kerana sistem hibrid dicipta untuk memberi keutamaan kepada penggunaan sistem elektrik. Oleh itu, terdapat peraturan yang mengehadkan jumlah wap yang boleh terhasil, termasuk penguapan daripada tangki.
Reuters melaporkan bahawa BYD menolak tuduhan tersebut dengan menyatakan bahawa GWM telah membeli kenderaan BYD dan menjalankan ujian tanpa penyeliaan pihak ketiga. BYD juga menolak dakwaan yang dilemparkan GWM dengan menyatakan bahawa ujian yang dilakukan oleh syarikat tersebut melebihi jarak yang ditetapkan dalam peraturan China.

SUV Song Plus
Dalam kenyataan mereka, BYD menyatakan bahawa mereka menentang sebarang tingkah laku persaingan yang tidak adil dan akan mempertahankan hak mereka dengan mengambil tindakan undang-undang.
"Kami berharap semua pihak bertindak dengan cara yang memberi manfaat kepada industri dan jenama-jenama Cina. Pembangunan perniagaan kenderaan tenaga baru bukanlah perkara yang mudah,” kata BYD dalam satu kenyataan.

Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
A Bachelor of English Language and Literature graduate with an obsession for the finer details. Sofea uses her background in translation to decode the technicalities of automotive innovation. She is dedicated to delivering impactful, meticulously researched articles that provide a narrative far beyond the spec sheet. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv

