- Berita
- Pandu Uji
- EV Mampu Milik Tapi Nampak Macam Kereta Beetle
Ruang pasaran EV tempatan dilihat semakin mengujakan apabila sebilangan besar jenama EV dari China bertubi-tubi masuk ke pasaran tempatan.
Tidak terkecuali jenama Great Wall Motors (GWM) yang turut tidak mahu ketinggalan untuk memperkenalkan jentera comelnya macam kumbang, iaitu Ora Good Cat.
Seperti mana namanya, hatch EV kompak ini menampilkan nilai estetika dan reka bentuk bertemakan kucing.
Bagi merasai pemanduan sebenar, GWM sudi meminjamkan Ora Good Cat kepada CariCarz.com untuk rebiu selama beberapa hari.
Jadi, penulis juga berkesempatan merasai pemanduan sebenar varian 500 Ultra Ora Good Cat pada bulan lepas walaupun terpaksa bergilir-gilir dengan penulis Bahasa Inggeris, Mukhlis Azman.
GAMBARAN KESELURUHAN:
Terlebih dahulu, penulis ingin memaklumkan bahawa jenama GWM bukanlah satu jenama baharu dalam pasaran tempatan memandangkan ia pernah menawarkan pelbagai model yang menggunakan enjin pembakaran dalamannya misalnya seperti Haval.
Biarpun, ia cuma mendapat sambutan pasaran yang suam-suam kuku namun ia tidak mematahkan semangat GWM untuk bangkit semula dengan memperkenalkan Ora Good Cat yang menggunakan tenaga elektrik secara sepenuhnya.
Apa tidaknya, ketika penulis membawa bersiar-siar di ibu kota, Ora Good Cat berjaya mencuri perhatian pemandu dan pejalan kaki.
Ini mungkin kerana bentuknya yang bulat dan comel. Yang pasti, penulis bangga sekejap apabila mata orang ramai hanya tertumpu pada kereta ini.
Apa tidaknya, lampu depan jenis LED dilihat seakan-akan kereta sport Porsche memandangkan ia adalah hasil ciptaan bekas pereka dari Porsche iaitu Emanuel Derta.
Beliau ada mengatakan bahawa penampilan jentera ini sebenarnya diilhamkan daripada jenama mewah Jerman, Porsche.
Ora Good Cat dilihat banyak dipengaruhi Porsche terutama bahagian roda lima jejari 18 inci, dimana ia mirip dengan roda Porsche 911 klasik.
Bercerita mengenai sisinya, walaupun profil sisinya menampilkan siluet hatchback yang tipikal, namun bahagian belakang Ora Good Cat memiliki lengkungan membuatkan ia kelihatan agak lebar.
Sebaliknya, lampu belakangnya kelihatan agak tersembunyi sedikit kerana lampu bar LED itu itu dipasang di bahagian cermin belakang.
Kereta ini juga dilengkapi dengan bumbung panaromik bagi membolehkan sinaran matahri menembusi cahaya ke dalam kabinnya.
Mengenai ukurannya pula, Ora Good Cat mempunyai ukuran dimensi 4,235 mm panjang, 1,596 mm tinggi dan 1,825 mm lebar manakala jarak roda pula sekitar 2,650mm.
Malah, jarak roda Ora Good Cat tidaklah begitu ketara berbanding pesaingnya, BYD Atto 3 yang mempunyai jarak roda 2,720 mm.
KABIN MEWAH:
Sebaik penulis melangkah masuk ke tempat duduk pemandu, penulisnya dapat merasakan suasananya yang agak premium memandangkan kesemua tempat duduknya dibaluti dengan material yang dijahit.
Bahagian papan pemukanya dibaluti dengan fabrik namun bahagian bawahnya pula hanya menggunakan plastik keras yang membuatkan ia kelihatan sedikit murah.
Apapun, sebagai EV yang agak mampu milik, Good Cat menampilkan pelbagai trim plastik keras untuk melapisi kabin yang 'bersembunyi' di sebalik upholsteri suede tiruan.
Selain itu, ia juga dilengkapi paparan infotainment bersaiz 10.25 inci dengan paparan instrumen digital 7 inci, paparan kamera 360.
Ketika membelek skrin itu, anda mungkin akan tertanya-tanya bagaimana untuk memperlahankan pendingin hawa.
Ingat, semuanya perlu dikawal daripada skrin yang dipasang di atas papan pemuka.
Pendek kata, susun atur di bawah papan pemuka cukup ringkas memandangkan terdapat beberapa butang sahaja.
Namun beberapa aplikasi Android seperti Spotify dan Google Maps sebenarnya boleh diakses melalui sambungan Android Auto.
Difahamkan, pendingin hawa automatik didatangkan bersama penapis udara PM2.5 selain terdapat enam unit pembesar suara, port USB untuk dashcam dan pengecas tanpa wayar.
Namun apa yang saya sedari ialah Ora Good ini tidak didatangkan dengan pelaras teleskopik pada sterengnya.
Ini agak menyukarkan bagi pemandu yang tinggi jika mahu mendapatkan kedudukan yang selesa manakala tali pinggang keledarnya juga tidak mempunyai pelaras ketinggian.
Sebaliknya, bahagian tempat duduk belakang juga tidak didatangkan dengan penghawa dingin.
Namun anda jangan risau, dengan hanya saluran penghawa dingin di bahagian hadapan, ia sudah mampu menyejukkan jentera ini hanya dalam beberapa saat.
Sebelum terlupa, bagi varian 500 yang digunakan untuk pandu uji ini terdapat fungsi urutan. Sempatlah penulis mengurut badan seketika sementara membelek kereta ini.
PANDU UJI:
Apa yang cukup menarik ialah anda mungkin sedikit kaku jika anda memandu Ora Good Cat buat pertama kali.
Ini yang berlaku pada penulis.
Saya blur sekejap apabila rakan sekerja, Mukhlis memaklumkan bahawa ia dilengkapi dengan sistem Smart Key dan QuickStart
Apa tu QuickStart Mukhlis, soal saya!
“Kau kena letak tombol gear pada D dan terus tekan pedal minyak,” jawab Mukhlis.
Walaupun saya terkedu seketika namun saya tetap menuruti panduan memandu seperti mana yang diajar Mukhlis.
Sebaik saya melabuhkan punggung ke tempat duduk, saya cuba menolak gear ke Drive (D) dan terus menekan minyak secara perlahan-lahan.
Ya lah, nama pun kereta test drive, maka kena pandu elok-elok!
Jika anda mahu parkir, anda cuma perlu tukar ke ‘Neutral’ (N), keluar, dan tekan kunci kereta.
Cukup mudah!
Difahamkan, ia dilengkapi dengan satu motor elektrik namun ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 134hp dan tork 210Nm tork.
Jentera ini digandingkan dengan sistem pacuan roda depan, manakala kelajuan maksimum pula hanya 152 kilometer sejam.
Bagi merasai pemanduannya, saya memulakan perjalanan dari Putra Height, Subang Jaya hingga ke Nilai, Negeri Sembilan.
Butang gearnya kelihatan berbeza kerana ia seolah-olah butang volume. Bulatan itu hanya tertera perkataan Reverse (R), Neutral (N) dan Drive (D).
Jika anda mahu memandu, pusingkan volume itu pada D, tutup pintu dan terus tekan pedal.
Bagi saya, butang seperti ini lebih selesa berbanding gear yang terpaksa turun dan naikkan.
Di sisi tempat duduk pemandu, terdapat juga pad pengecas untuk telefon bimbit tanpa menggunakan sebarang wayar.
Pada masa itu, sempat juga penulis menekan hon kereta ini beberapa kali, ia kedengaran tidaklah seperti hon pondan.
Biarpun baru beberapa kilometer bergerak, saya dapat mendengar bunyi tayar dan angin di dalam kabin.
Sebenarnya bunyi dari tayar ini boleh diperbaiki dengan menukarkannya kepada set tayar yang lebih senyap.
Sebaik memulakan perjalanan yang agak lama, apa saya dapat rasakan apabila melepaskan pedal minyak, ia akan buat brek regeneration dimana kita boleh rasa kereta boleh berhenti dengan begitu cepat.
Tanggapan pertama saya ialah bunyi motor elektriknya boleh tahan manakala suspensi ditala dengan sporty membuatkan pemanduan cukup selesa.
Ketika tayar terperosok ke dalam lubang, hentamannya tayarnya tidaklah dapat dirasai dengan begitu ketara.
Memandangkan ini adalah sesi pandu uji, saya terpaksa menekan pedal untuk merasai pemanduan yang sebenar.
Kesan pikapnya agak lembut kerana apabila setiap kali menekan pedal, ia tidak mendatangkan kesan pikap yang mendadak.
Ini membuatkan ia lebih sesuai untuk wanita. Saya berpendapat ia akan menjadi idaman setiap wanita di Malaysia.
Selain itu, sterengnya agak berat sedikit memandangkan brek regeneration mengambil tenaga kinetik.
Sebaik saya mengambil selekoh, saya dapat merasakan jentera ini tidaklah begitu terbuai-buat di atas jalan raya.
Ketika saya menekan pedal minyak, apa saya sungguh tertarik ialah sistem breknya yang cukup efektif dan biarpun ia dilengkapi dengan motor tunggal, ia masih mampu memberikan daya pikap yang cukup mantap.
Kadang kala ada juga yang menganggap kereta elektrik kurang berkuasa namun sangkaan saya meleset apabila memandu uji Ora Good Cat.
Biarpun ia adalah EV sepenuhnya namun ia masih mampu menyalurkan kuasa yang cukup padu.
Bagi saya dari segi pengendaliannya, ia menang berbanding dengan beberapa model Nissan dan Toyota.
Secara kesimpulannya, sistem brek Ora Good Cat wajar dipuji.
PENGECASAN:
Jika dengan pengecas biasa (AC, sehingga 6.6 kW), varian 500 Ultra memerlukan 10 jam namun, dengan pengcesan pantas DC (sehingga 60 kW), tahap 0-80% bagi varian ini, ia cuma mengambil masa 60 minit dari 0-80% (40 minit jika dari 30-80%).
CIRI-CIRI KESELAMATAN:
Mujur, Ora Good Cat sarat dengan ciri-ciri keselamatan seperti mana kebanyakan pembeli mengharapkan untuk mana-mana kereta baharu.
Antara ciri ADAS yang ditawarkan ialah Kawalan Jelajah Adaptif, Traffic Jam Assist, Brek Kecemasan Autonomi, Sistem Amaran Perlanggaran Hadapan, Sistem Bantuan Kekal Lorong, Amaran Keluar Lorong, Amaran Lintasan Trafik Belakang dan Amaran Perlanggaran Belakang.
Walaupun kami tidak dapat menguji kesemua ciri ADAS ini namun saya ingin menambahkan bahawa ciri Traffic Jam Assist berfungsi dengan begitu baik ketika saya mengharungi kesesakan luar biasa di ibu kota.
Malah, ia yang dilengkapi dengan Agihan Brek Elektronik, Sistem Kawalan Traksi, Kawalan Brek Selekoh serta enam beg udara membuatkan Ora Good Cat selamat dipandu.
Dari sudut keselamatan itu mendorong Euro-NCAP memberikan penarafan 5 bintang kepada jentera ini.
PATUT KE BELI?
Untuk makluman anda, ia didatangkan dengan dua varian iaitu ORA Good Cat 400 PRO ( RM139,800) dan ORA Good Car 500 Ultra pula dijual pada harga (RM169,800).
Melihat sahaja kepada luarannya, kereta comel ini sarat dengan rekaan yang moden dan ciri-ciri keselamatan yang canggih.
Maka, tidak hairanlah mengapa ia dijual pada harga yang cukup mampu milik.
Lebih menarik, jika anda memilih varian 500 Ultra, ia kini hadir dengan warna Pistachio Green
Buat masa ini, GWM menawarkan pakej jualan '4 - in 1 Purr-fect' yang merangkumi pengecas mudah alih dan pengecas rumah, waranti kenderaan 5 tahun atau 150,000km, waranti bateri 8 tahun atau 180,000km dan 5 kali kos penyelenggaraan percuma.
Untuk keterangan lanjut layari gwm.com.my.
SPESIFIKASI:
GWM ORA GOOD CAT 500 PRO EV
MOTOR | Single Permanent Magnet Synchronous (Front-Mounted) |
TRANSMISI | 1-Speed Direct Drive, Front-Wheel Drive (FWD) |
KUASA | 143 HP |
TORK | 210 NM |
0-100 KM/J | 7.9 saat |
V-MAKS | 152 KM/J |
BATERI & PENGECAS | Kapasiti & Jenis: Charging: |
JARAK | 500 KM |
BERAT | 1,510 KG (kerb) |
HARGA | RM169,800 (tidak termasuk insurans) |
Gallery


































Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Biarpun syarikat Utusan Melayu, tempat saya bekerja sudah ditutup namun semangat juang sebagai wartawan tetap mekar dalam sanubari