- Berita
- Pandu Uji
- [PANDU UJI] Toyota Corolla Cross GR Sport 2023: SUV 'Stylo' Yang Seronok Dipandu
[PANDU UJI] Toyota Corolla Cross GR Sport 2023: SUV 'Stylo' Yang Seronok Dipandu
Toyota kini menawarkan Corolla Cross dalam versi GR Sport yang lebih sporty bukan sahaja dari segi gaya tetapi juga prestasinya. CariCarz telah berpeluang untuk mencuba Corolla Cross GR Sport untuk perjalanan yang jauh sehingga ke Kota Bharu. Ini ulasan jujur CariCarz…
PANDANGAN PERTAMA TOYOTA COROLLA CROSS GR SPORT 2023
Dari luar, Corolla Cross GR Sport kelihatan lebih rugged jika dibandingkan dengan versi standard. Ini diserlahkan daripada penggunaan gril dan bampar hadapan berwarna hitam dan rim eksklusif GR Sport bersaiz 18 inci. Selain itu, warna kontra badan kereta iaitu hitam turut digunakan pada bahagian bumbung, tiang A, cermin sisi dan spoiler belakang. Logo GR Sport juga dapat dilihat dipasang pada bahagian-bahagian tertentu.
KABIN TOYOTA COROLLA CROSS GR SPORT 2023
Bergerak ke bahagian dalam, bukan sahaja di bahagian luar, tema dua ton GR Sport turut dibawa masuk ke dalam ruang kabin seperti pada tempat duduk, yang mana sandaran kepalanya terdapat logo GR Sport. Selain itu, tikar lantainya juga berwarna hitam dengan logo GR Sport.
Tema hitam merah diteruskan pada beberapa bahagian lain yang dibaluti kulit berwarna hitam dan dikemaskan dengan jahitan merah seperti stereng, tombol gear dan papan pemuka (dashboard).
Dari segi teknologi, model ini dilengkapkan dengan skrin infotainmen bersaiz 9 inci yang boleh disambungkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto, serta boleh memaparkan kamera parkir 360 darjah.
Selain itu, model ini memiliki ciri kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci dan perakam video digital (DVR/dashcam). Pembeli boleh mendapatkan ciri tambahan lain yang ditawarkan iaitu DVR belakang dan pad pengecas tanpa wayar.
Corolla Cross GR Sport menggunakan skrin paparan pemandu separa digital yang mana panel TFT digital yang digunakan adalah jenis berwarna yang bersaiz 4.2 inci.
KESELESAAN DI BAHAGIAN PENUMPANG TOYOTA COROLLA CROSS GR SPORT 2023
Keselesaan tempat duduk belakang tidak diabaikan dengan sandaran belakang yang boleh direbahkan lagi mengikut keselesaan. Penumpang juga kekal sejuk dengan adanya corong udara khas untuk barisan kedua. Turut disediakan, dua port pengecas jenis USB-C.
RUANG SIMPANAN TOYOTA COROLLA CROSS GR SPORT 2023
Ruang bagasi di bahagian belakang SUV sub-kompak ini cukup luas, dengan kapasiti 440L. Tempat duduk belakang boleh dilihat dengan nisbah 60:40 untuk mendapatkan ruang simpanan yang lebih besar.
PENGALAMAN SEBAGAI PEMANDU TOYOTA COROLLA CROSS GR SPORT 2023
Menggunakan trenkuasa yang sama seperti versi standard iaitu enjin 1.8L 4 silinder dengan output 137 hp/172 Nm. Kuasa disalurkan kepada roda hadapan melalui transmisi CVT 7-kelajuan.
SUV sporty ini cukup puas untuk dipandu. Keseronokan pemanduannya banyak dibantu oleh casis yang ditala khas untuk versi GR Sport untuk meningkatkan prestasinya. Versi ini menggunakan sistem suspensi dengan spring dan topang (strut) yang telah diberikan talaan semula dan juga modul stereng kuasa yang telah dipertingkat dengan ciri Sport ECU.
Peningkatan ini memberikan SUV ini dinamik panduan dan pengendalian yang lebih baik, ini yang dapat dirasakan semasa melalui Jalan Karak ketika dalam perjalanan 'balik kampung' ke Kota Bharu, Kelantan. Di sini, penalaan casis yang terperinci memberikan rasa pemanduan yang stabil, sesuatu yang tidak dimiliki oleh varian Corolla Cross standard.
Dari segi ekonomi bahan bakar, tangki penuh Corolla Cross cukup untuk perjalanan menuju ke Pantai Timur yang meliputi jarak sejauh 500 km. Untuk memenuhkan tangki 47L SUV ini hanya memerlukan belanja kurang daripada RM100 menggunakan RON95.
Secara keseluruhannya, Corolla Cross GR Sport merupakan sebuah SUV yang seronok dan puas untuk dipandu, dengan kemampuan melalui selekoh dan mendaki bukit yang lebih baik berbanding kebanyakan pesaingnya. Namun pada pendapat kami, sekiranya model ini diberikan kuasa ‘hibrid’ dengan tork lebih tinggi seperti yang terdapat pada Corolla Cross Hybrid dapat melengkapkan lagi dinamik pemanduan dan pengendalian versi GR Sport ini.
TAHAP KESELAMATAN TOYOTA COROLLA CROSS GR SPORT 2023
Corolla Cross GR Sport memiliki pakej keselamatan ADAS Toyota Safety Sense (TSS) yang lengkap. Ini merangkumi teknologi seperti kawalan jelajah adaptif (ACC) dengan mod perlahan (dihadkan pada 30 km/j), brek kecemasan autonomi (AEB), pemantau titik buta (BSM), bantuan kekal lorong, amaran keluar lorong (LDW) dengan bantuan pengendalian, amaran lintasan trafik belakang (RCTA) dan sebagainya.
Model ini turut dihadirkan dengan ciri keselamatan standard seperti tujuh beg udara, ABS dengan EBD, VSC dan TRC. Selain itu, dengan adanya enam sensor parkir, melengkapkan lagi paparan 360 darjah yang ditawarkan, sekaligus menjadikan model ini cukup selamat dan sempurna untuk penggunaan harian.
Kesemua ciri keselamatan ini dan kejuruteraan hebat casis TNGA yang digunakan membuatkan model ini layak menerima penarafan yang tinggi dalam ujian keselamatan ASEAN NCAP dengan skor 5 bintang.
ADAKAH TOYOTA COROLLA CROSS GR SPORT 2023 BERBALOI UNTUK DIMILIKI?
Model ini dijual pada harga RM142,000 atas jalan, tanpa insurans. Pembelian didatangkan dengan jaminan standard daripada UMWT iaitu perlindungan selama 5 tahun/tanpa had perbatuan.
Dari segi kos pemilikan SUV ini, kami yakin penyelenggaraan enjin yang digunakan tidak semahal model yang menggunakan trenkuasa hibrid atau versi yang berpengecas turbo.
Hadir dengan gaya lebih sporty dan diberikan perincian tambahan untuk meningkatkan dinamik pemanduan dan pengendalian, Toyota Corolla Cross GR Sport 2023 adalah sebuah model yang tidak patut dipandang sebelah mata.
SPESIFIKASI TOYOTA COROLLA CROSS GR SPORT 1.8
ENJIN | 1.8L, 4 silinder 2ZR-FE aspirasi natural dengan Dual VVT-i, petrol |
TRENKUASA | Automatik CVT 7-kelajuan, pacuan roda hadapan (FWD) |
KUASA | 137 HP @6,400 RPM |
TORK | 172 NM @4,000 RPM |
0-100 KM/J | - |
V-MAX | 185 KM/J |
PENGGUNAAN BAHAN API | - |
BERAT | 1,405 KG (bersih) |
HARGA | RM142,000 (Tidak termasuk insurans) |


Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv