- Berita
- Global
- Nissan Z Nismo Diperkenalkan – Enjin V6 420 HP & Casis, Brek, Suspensi Diperbaharui
Nissan Z Nismo Diperkenalkan – Enjin V6 420 HP & Casis, Brek, Suspensi Diperbaharui
Nissan akhirnya mendedahkan Nissan Z Nismo yang baharu kepada dunia semalam. Model kali ini tampil dengan kuasa, talaan enjin dan prestasi aerodinamik yang lebih baik, selain turut diberikan pembaharuan gaya yang menjadikannya lebih menyerlah.
Walaupun Z Nismo menggunakan enjin 3.0 liter V6 turbo yang sama dengan model Z standard, Nismo kali ini telah diberikan boost yang lebih tinggi serta sistem penyejukan yang lebih baik. Hasilnya, enjin V6 yang sama ini kini mampu mencapai kuasa sebanyak 420 hp dan 521 Nm yang juga 20 hp dan 46 Nm lebih tinggi berbanding model Z standard. Kuasa ini disalurkan kepada roda belakang (RWD) melalui sistem transmisi automatik 9 kelajuan yang telah diubahsuai.
Selain daripada peningkatan kuasa, Z Nismo juga mendapat pembaharuan casis, di mana pihak Nismo telah memasang sway bar baharu, dengan beberapa pendakap tambahan di bahagian bawah untuk menambahkan kekukuhan badan, serta beberapa bushing yang lebih keras untuk kedua-dua sistem suspensi dan stereng. Mengenai suspensi kali ini, sistem peredam telah diberikan talaan semula, menjadikannya 2.5% lebih keras berbanding Z standard, manakala sistem brek mendapat rotor lebih besar - 15 inci di bahagian depan, 13.8 inci di bahagian belakang.
Selain komponen mekanikal, Z Nismo yang baharu juga hadir dengan pelbagai elemen penggayaan Nismo - yang menambah baik prestasi aerodinamik dan penampilan kereta. Di bahagian depan, Z Nismo mendapat 'Grand-Nose' baharu, iaitu penutup gril hadapan dalam warna hitam berkilat dan lip spoiler hadapan yang menonjol dengan aksen merah dan kanard di tepinya.
Kesemua ini disempurnakan lagi dengan ambang sisi Nismo dan spoiler ekor lebih besar untuk gaya yang lebih agresif selain meningkatkan downforce kereta. Z Nismo memiliki bonet belakang inspirasi daripada GT-R dengan aksen bampar hitam berkilat.
Dari sudut tepi, dapat dilihat ia menggunakan rim eksklusif Nismo yang bersaiz 19 inci dengan tayar Dunlop SP Sport Maxx GT600s - tayar yang sama digunakan pada GT-R Nismo versi AS.
Di dalam, Z Nismo mendapat peningkatan estetika khas Nismo yang termasuk tempat duduk Recaro berwarna hitam dan merah dengan sulaman tulisan Nismo, kemasan dan aksen merah di pelbagai bahagian, serta animasi khas Nismo pada kluster instrumen digital. Selain itu, Z Nismo juga mendapat mod pemanduan Sport+ baharu, yang menjadikan peralihan gear lebih responsif dan agresif.
Z Nismo dilengkapi dengan beberapa peralatan moden dan ciri keselamatan penting seperti skrin infotainmen 9-inci yang menyokong kedua-dua Android Auto dan Apple CarPlay, serta fungsi ADAS seperti pemantau titik buta (BSM), amaran pelanggaran hadapan (FCW) dan amaran keluar lorong (LDW).
Nissan Z Nismo (kiri) & Nissan Z Performance (kanan)
Nissan Z Nismo ditawarkan dalam lima pilihan warna - merah Passion Red TriCoat, perak Brilliant Silver, hitam Black Diamond Pearl, putih Everest White Pearl TriCoat dan warna eksklusif Nismo, kelabu Stealth Gray.
Walau bagaimanapun, Nissan masih belum membuat pendedahan rasmi mengenai harga Z Nismo. Berdasarkan pasaran semasa, Nissan Z Performance yang tertinggi dijual pada harga $52,085 (~RM235,137), tidak mengejutkan jika model Nismo baharu ini berharga lebih daripada $60,000 (~RM270,870).
Tag:
Ditulis pada
Sofea Najmi
Sebelum menjadi penulis automotif, Sofea pernah bekerja sebagai penulis bebas, penterjemah & guru Bahasa Inggeris. Graduan Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris. LinkedIn: https://bit.ly/3C018vv