- Berita
- Berita Auto
- Bayi Tertinggal Dalam Kereta, Cermin Gelap Diharamkan?

Isu penggunaan cermin gelap pada kenderaan kembali panas lantaran kekerapan kes bayi meninggal dunia tertinggal anak di dalam kereta, sejak kebelakangan ini.
Bagaimanapun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri sekali lagi menegaskan sebarang keputusan mengenai penggunaan cermin gelap pada kenderaan persendirian bagi mengelak kematian kanak-kanak yang ditinggalkan hanya boleh diputuskan Kementerian Pengangkutan.
“Mengharamkan penggunaan cermin gelap pada kenderaan persendirian itu sebenarnya adalah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan.
"Namun Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat sudah memaklumkan Kementerian Pengangkutan mengenai kerisauan masyarakat susulan peningkatan kes kematian bayi yang ditinggalkan secara tidak sengaja di dalam kenderaan yang antara lain disebabkan cermin kenderaan gelap.
"Saya sebenarnya ada berbincang dengan Anthony Loke (Menteri Pengangkutan) supaya beliau lihat perkara ini,” katanya.

"Sama ada perlu diambil tindakan (mengharamkan cermin hitam) kerana ia menjadi antara punca kes kematian bayi ditinggalkan dalam kenderaan yang semakin meningkat kebelakangan ini, sudah pasti Kementerian Pengangkutan ada penilaian mereka sendiri sebelum mengambil sebarang keputusan akhir," katanya
Terdahulu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendakwa pihaknya ada menerima cadangan supaya pihak berkuasa mengharamkan penggunaan cermin gelap pada kenderaan bagi mengelak kematian kanak-kanak yang ditinggalkan di dalam kereta.
Cadangan itu dibuat selepas tiga kanak-kanak meninggal dunia sejak dua bulan lalu selepas ditinggalkan bersendirian di dalam kenderaan.
Gallery
Tag:
Ditulis pada
Suhana Veru
Suhana Veru merupakan bekas wartawan Kosmo. Berkecimpung dalam dunia wartawan hampir 14 tahun. Linkedin https://www.linkedin.com/in/suhana-veru-92020a31a/